Tidak dilupakan, lawatan ke Puerta del Sol bermaksud Gate of the Sun yang merupakan salah satu tumpuan utama pelancong di Madrid kerana di situ adalah antara lokasi paling sesuai untuk melihat matahari terbenam.

Seterusnya, penulis menuju ke Toledo, mengambil masa 33 minit menaiki keretapi dari Madrid. Kota Toledo merupakan kawasan atas bukit yang kaya dengan monumen bersejarah seperti Alcazar of Toledo dan Mezquita del Cristo de la Luz. Toledo juga terkenal sebagai tempat pembuatan pedang secara tradisional dan turun-temurun sejak 500 tahun sebelum masihi.

Kembara menjelajahi Andalusia diteruskan ke destinasi berikutnya iaitu Cordoba. Tempat yang wajib dilawati seperti Mosque Cathedral of Cordoba, Alcazar de los reyes Christianos, Roman Bridge of Cordoba dan Torre de la Calahorra terletak berdekatan antara satu sama lain.

Destinasi berikutnya merupakan Granada. Perjalanan menaiki keretapi mengambil masa selama 2 jam 45 minit dari Cordoba. Kota Granada merupakan lokasi bagi La Alhambra iaitu kubu seluas 100,000 meter persegi yang menjadi daya tarikan utama para pelancong terutamanya bagi penggemar drama Korea, Memories of Alhambra.

La Alhambra dibahagikan kepada tiga kawasan utama iaitu Nasrid Palaces, Alcazaba serta Generalife atau nama lainnya garden of the architect yang cukup menenangkan hati. Usai solat di Granada Mosque, anda boleh melihat pemandangan panorama La Alhambra yang amat menakjubkan terutamanya pada waktu senja dan malam.

Trip seterusnya ke Kota Seville dengan menaiki bas dan peluang mengunjungi Royal Alcazar de Sevilla sangat mengujakan. Bangunan istana lama ini juga mempunyai reka bentuk seni bina serta ukiran yang unik dan menakjubkan.

Dalam pada itu aktiviti berjalan kaki ke Plaza de Espana atau juga dikenali Little Venice sambil melalui taman-taman yang luas dan nyaman tidak langsung melelahkan. Bahkan peluang menaiki Metropol Parasol (atau lebih dikenali sebagai Las Setas – The Mushroom, struktur unik yang mempunyai rupa bentuk seperti waffle) bagi menyaksikan keindahan bandaraya Seville pada waktu matahari terbenam cukup memukau.