Namun hakikatnya Iran adalah sebuah negara yang selamat dikunjungi, malah mempunyai daya tarikan yang berbeza dan kaya dengan sejarah serta nilai estetika tersendiri,

Keunikan Iran juga telah menambat hati Khairunisa Latif untuk menjejakkan kaki ke negara itu. Apatah lagi, Iran merupakan antara lokasi pelancongan yang menawarkan pengalaman berbeza kepada pengunjung.

Tanpa mempedulikan kata-kata orang tentang keselamatan diri, dia memberanikan diri mengembara ke Iran selama 10 hari hanya ditemani ibu saudaranya.

“Alhamdulillah, sepanjang di Iran kami tidak mengalami masalah dan tidak pernah berasa diri tidak selamat.

“Malah, kami berjalan berdua di malam hari pun rasa selamat lebih-lebih lagi penduduk Iran menerima kunjungan pelancong dengan mesra,” kata Khairunisa.

Penjelajahan bermula

Destinasi pertama mereka adalah ibu negara Iran iaitu Teheran. Seperti dijangka, ketibaan mereka disapa kedinginan angin musim sejuk yang masih bersisa di negara itu. Keadaan di Teheran sama sibuknya seperti bandar raya besar lain di dunia.

Kunjungan ke Istana Golestan merupakan aktiviti yang perlu ada dalam penjelajahan ke Teheran. Tapak Warisan Dunia itu mempamerkan pelbagai ruang menarik antaranya Dewan Kristal (Talar e Brelian), Dewan Cermin (Talar e Aineh), Singgahsana Marmar (Takht e Marmar) dan Muzium Diraja. Unsur-unsur Islamik tercetus menerusi seni bina dan reka bentuk dalamannya, malah setiap jubin mempunyai ukirannya yang tersendiri.

Kepada mereka yang suka membeli belah, jangan ketinggalan mengunjungi Grand Bazaar Teheran yang menyediakan pelbagai barangan kraftangan dan cendera hati untuk dibawa pulang. Antara barangan yang murah dan patut dimiliki ialah manisan, kekacang, saffron, fabrik sutera, dan pelbagai perhiasan rumah seperti permaidani, tembikar serta seramik.

"Kemudahan infrastruktur yang ada memudahkan kami bergerak di sekitar Teheran. Tambahan pula stesen Metro terletak berhampiran dengan tempat tumpuan pelancong seperti Grand Bazaar Teheran, Istana Golestan, dan Menara Azadi,’’ ujar Khairunisa.

Yazd

Menara Angin, itulah nama simbolik yang diberikan kepada kota lama Yadz yang diperbuat daripada lumpur. Perjalanan mendaki ke Menara Angin dan memasuki ruang bawah tanah tempat penyimpanan air merupakan satu pengalaman yang mengagumkan dengan struktur tradisional dibina untuk dwi-musim iaitu panas dan sejuk.

Jangan lupa mengunjungi Masjid Jame’ yang menyediakan dua ruang solat berbeza untuk musim sejuk dan panas. Masjid yang terletak di kota Yazd itu mempunyai sepasang menara yang merupakan antara menara tertinggi di Iran dengan ketinggian 52 meter.

Sekiranya berkunjung ke Yazd, anda digalakkan menginap di hotel tradisional Yazd yang masih mengekalkan struktur binaan lama. Khairunisa berpeluang menetap di hotel tersebut dan menikmati makan malam berbumbungkan langit dengan pemandangan indah kota Yazd.

Walaupun tidak dapat menyaksikan persembahan tradisional Persia, tetapi mereka berkesempatan mengunjungi Muzium Kesenian Yazd yang mempamerkan hasil seni para artis tempatan.

Esfahan

Bagi memastikan mempunyai lebih masa untuk menikmati keindahan Esfahan, mereka bergerak dari Yazd ke sana menaiki kereta api malam yang memakan masa selama lima jam.

Setibanya di Esfahan, mereka terus dibawa bersarapan pagi tradisional Iran di Cafe Nostalgia dan ia diberikan percuma memandangkan mereka pelanggan pertama. Sarapan roti barbari bersama telur hancur dengan tomata beserta teh saffron memang menyelerakan

Destinasi seterusnya adalah Naqsh-e Jahan Square, peninggalan sejarah yang juga dikenali sebagai Imam Square. Ia dikelilingi oleh Istana Aliqapu, Bazar Qeysariah dan dua masjid iaitu Masjid Shah serta Masjid Sheikh Lotfattah.

Seni bina Islamik yang berusia ratusan tahun itu masih dipelihara sehingga kini. Keunikan yang dipaparkan itu menjurus kepada peribahasa Parsi yang berbunyi “Esfahan nesf-e jahan “ – separuh daripada keindahan dunia terdapat di Esfahan (Esfahan is half of the world).

Kalau berkunjung ke Esfahan, jangan lupa berjalan di Jambatan Si-o-seh pol. Jambatan yang terdapat di sepanjang Sungai Zayandeh itu dibina pada kurun ke-17. Uniknya, jambatan sepanjang 300 meter itu dibina berkonsepkan seni binaan 33 gerbang dan merupakan jambatan terpanjang di Esfahan.

Shiraz

Shiraz dikenali sebagai kota penyair dan kota sastera. Kota ini melahirkan ramai sarjana dan seniman, malah dua penyair terkenal, Hafez dan Saa’di berasal dari Shiraz.

Singgah di Shiraz, mereka mengambil kesempatan berkunjung ke Masjid Nasir al-Mulk yang turut dikenali sebagai Masjid Merah Jambu (Pink Mosque).

Berdasarkan sejarah, nama itu diberi berdasarkan reka bentuk dalamannya yang banyak menggunakan jubin merah jambu. Unsur-unsur tradisionalnya jelas terpancar melalui reka bentuk Panj Kase (5 lekuk).

Selain itu, masjid tersebut juga dihiasi kaca pelbagai warna dengan fungsi utamanya untuk mendapatkan sumber cahaya matahari. Keunikan itu menyerlahkan lagi keindahan dalam masjid.

Jika ke Shiraz, jangan lupa untuk melawat Persepolis iaitu kota purba Iran. Perjalanan dari Shiraz ke Persepolis mengambil masa satu jam dengan kereta.

Persepolis adalah kota peninggalan terawal di Iran, wujud sejak sekitar 515 Sebelum Masihi (SM). Ia merupakan kota istiadat Empayar Achaemenid dan tempat meraikan perayaan Nowruz (Tahun Baharu Persia).

Di Shiraz, mereka menyambung aktiviti membeli-belah di Bazar Vakil. Memandangkan Shiraz adalah destinasi terakhir, mereka tidak melepaskan peluang membeli saffron iaitu hasil bumi Iran.

Menariknya di sini, terdapat pelbagai kafe di sekitar Bazar Vakil dan mereka mengakhiri aktiviti dengan menikmati hidangan teh dan kopi saffron bersama pencuci mulut tempatan.

Bumi Iran sememangnya banyak tempat yang menarik untuk dilawati sambil menikmati makanan tempatan yang menyelerakan.

Antara makanan yang patut dicuba ialah Zereshk Polo, Baghali Polo, Cholo Kebab, Dough, Faloodeh dan Fereni.