Bagi pelancong Malaysia, Pasar Cho Ben Thanh sudah tidak asing sebagai pusat membeli belah, begitu juga pasar malam yang ada di sebelahnya. Anggaran penulis, lebih separuh pengunjung di situ ialah pelancong dari Malaysia. Pelbagai barangan seperti pakaian, kasut , tali pinggang dan aksesori wanita dijual dengan harga yang berpatutan. Pengunjung juga boleh menempah pakaian dan dapat disiapkan dalam tempoh dua puluh empat jam.

Destinasi seterusnya ialah ke Terowong Cu Chi di pinggir Sungai Mekong. Terowong yang mula dibina bermula pada 1945 ini dan memakan masa 25 tahun pembinaan merupakan kubu bawah tanah yang lengkap dengan pejabat, bilik persalinan, stor barang dan makanan, kilang pakaian dan bilik persembunyian yang meliputi kawasan seluas 250 kilometer persegi ketika berhadapan ancaman penjajah Amerika dan Perancis satu masa dahulu.

Seterusnya kami ke Muzium Perang (War Remnant Museum) yang menem­patkan pelbagai peninggalan Perang Vietnam antaranya seperti senjata api, helikopter, senjata kimia, bom, pelbagai foto dan lukisan yang memaparkan kezaliman perang dan kemusnahan yang terjadi kepada manusia, tumbuh-tumbuhan dan alam sekitar. Sungguh menyayat hati apabila berpuluh-puluh ribu kanak-kanak menerima kesan senjata kimia yang digunakan dan cacat hingga dewasa.

ANTARA aktiviti menarik, pengunjung menaiki sampan di Sungai Mekong.
ANTARA aktiviti menarik, pengunjung menaiki sampan di Sungai Mekong.

Pada hari berikutnya, kami pergi ke utara Ho Chi Minh, menaiki feri Sungai Mekong menuju ke kawasan pulau berdekatan. Kami menaiki sampan yang memuatkan dua orang, lalu singgah ke kilang gula-gula dan madu lebah. Terdapat beratus-ratus sampan yang beroperasi membawa pelancong. Kami juga menaiki kereta kuda menyusuri kawasan kampung dan perniagaan. Kemudian kami menikmati makan tengah hari dengan menu ala Asia yang halal dan enak di bawah pepohon menghijau.

Berdekatan pasar Ben Than, terdapat jalan yang dipanggil Jalan Malaysia. Di situ terdapat deretan restoran halal dan kedai perniagaan menjual produk yang digemari pelancong negara kita. Antara restoran halal di sini ialah Haji Osman, Kampung Pandan, Seri Penang dan Kampung Melayu. Kita boleh mencuba menu sup daging Pho, kari kepala ikan, char kuay teow malah roti canai. Elok dicuba minuman kopi Vietnam yang dijual oleh peniaga menggunakan bermotosikal.

Berjalan di sekitar Ho Chi Minh, boleh dilihat begitu banyak motosikal di jalan raya. Menurut perangkaan rasmi, ada lebih tujuh juta pengguna motosikal di Ho Chi Minh sahaja dan 37 juta motosikal di seluruh Vietnam. Kenderaan itu menguasai jalan raya di sana, tambahan pula harga kereta terlalu mahal. Uniknya, kemalangan jalan raya jarang berlaku walaupun jalan raya begitu sesak dari pagi hingga petang.