Negara K-Pop ini bersaiz 100,000 kilometer persegi, lebih kecil daripada saiz Semenanjung Malaysia iaitu 131,000 kilometer persegi. Bagaimanapun penduduknya berjumlah 51 juta orang. Di Seoul sahaja, penduduknya sebanyak 10 juta orang. Korea merupakan negara keempat termaju di Asia dan kesebelas kuasa ekonomi dunia.

Penulis dan ahli rombongan dibawa mengunjungi Muzium Diraja Korea (National Palace Museum) di Gyeongbokgung. Di situ disimpan pelbagai peninggalan Kerajaan Dinasti Joseon yang memerintah dari tahun 1392 hingga 1910. Uniknya, rekod, lukisan, pakaian, kesenian, puisi dan lebih 45,000 artifaks tersimpan dengan baik di sini.

Di perkarangan istana lama, kami berpeluang berfoto dengan pengawal yang memakai pakaian tradisional Korea.

MASJID di Itaewon dikenali dengan nama Seoul Central Mosque.
MASJID di Itaewon dikenali dengan nama Seoul Central Mosque.

Seterusnya kami ke Namsangol Hanok Village, untuk melihat kampung kebudayaan Korea. Menariknya, kami berpeluang memakai pakaian tradisional Korea, Hanbok yang mempunyai pelbagai warna. Sekitar bangunan dipenuhi pohon sakura dan ceri yang sedang berbunga. Di perkampungan itu ditunjukkan demonstrasi membuat barangan tradisi serta terdapat persembahan kebudayaan Korea. Rumah pegawai dan rakyat biasa, yang dipanggil Hanok dikekalkan seni binanya bertujuan memperlihatkan corak kehidupan pada zaman Dinasti Joseon.

Dalam pada itu pergerakan kami ke seluruh Seoul menggunakan Tram Subway Metro Seoul, pengangkutan kereta api bersepadu dan efisien. Sebanyak tiga juta orang menggunakan perkhidmatan pengangkutan itu setiap hari. Panjangnya ialah 287 kilometer dan 70 peratus daripadanya adalah di bawah tanah. Sistem itu menggabungkan 22 rapid transit, light metro dan komuter merentasi Seoul hingga ke Gyeonggi, Gangwon dan Suwon,

Sebagai pelancong Islam, kami tidak melepaskan peluang berkunjung ke kawasan Itaewon. Di kawasan berkenaan terdapat banyak kedai makanan halal, termasuk restoran Arab, Iran, India dan Indonesia. Memang harganya mahal iaitu antara RM30-RM40 untuk nasi Arab, kebab atau mi goreng, namun berbaloi bagi mereka yang merindui menu di Malaysia. Masjid di Itaewon dipanggil Seoul Central Mosque, tersergam indah. Masjid tiga tingkat yang dibuka pada tahun 1976 ini terletak pada ketinggian hampir 250 meter.

Pastinya ramai akan berkunjung ke Nami Island, lokasi penggambaran drama Winter Sonata lakonan Bae Yong Joon dan Choi Ji Woo pada tahun 1992. Pulau tersebut berkeluasan 430,000 meter persegi. Untuk ke sana, kami menaiki subway dengan 17 perhentian dan kemudian menaiki feri. Pulau itu memang cantik. Terdapat rumah hantu, taman-taman bunga dan pokok besar, taman jed, restoran, aktiviti berbasikal dan kereta api kecil. Berjalan di taman pokok Ginkgo, Maple Lane dan Pine Tree Lane juga amat mengujakan. Terdapat restoran makanan halal iaitu Restoran Dongmoon selain terdapat surau yang selesa untuk bersolat.

Kami juga tidak melepaskan peluang ke Namdaemun, pusat jualan yang menempatkan peniaga, vendor dan pemborong. Dibuka pada tahun 1964. Suasana di Namdaemun sungguh meriah, ala pasar malam Chow Kit. Pelbagai barangan dijual antaranya aksesori, kerongsang, pakaian, cenderamata dan makanan. Banyak juga makanan halal di sini termasuk kebab, sotong bakar, buah berangan bakar dan pisang goreng.

Kehadiran kami kali ini adalah pada musim bunga yang bermula pada awal April, baru-baru ini. Suhu sangat nyaman, sekitar 11 darjah Celsius. Kelihatan di mana-mana, bunga sakura yang mekar menjadi tarikan pelancong dan penduduk tempatan.

  • Pembaca boleh menyumbang artikel destinasi kepada mingguanmalaysia@gmail.com