Yang pasti, kenangan percutian di pulau lagenda Mahsuri itu pasti akan lebih manis sekiranya mendapat penginapan yang memenuhi kehendak dan cita rasa. Aseania Resort antara nama yang sering dicadangkan terutama bagi yang mencari penginapan di tepi pantai dan jauh daripada kesibukan di pulau yang semakin pesat membangun itu. Terletak di Pantai Tengah, Mukim Kedawang, resort ini mempunyai 217 bilik lengkap dengan fasiliti dan dekorasi moden.

Meskipun tidak sepopular seperti Pantai Cenang, suasana tenang Pantai Tengah yang tidak terlalu sibuk boleh dianggap satu bonus bagi mereka yang menginap di resort ini. Ditambahkan lagi dengan pemandangan matahari terbenam di hujung garisan laut pada lewat petang.

Selain keindahan yang mengelilingi tempat penginapan, kemesraan dan keramahan kakitangan resort yang tidak lokek dengan senyuman juga adalah antara satu kelebihan. Daripada pengemas bilik hinggalah ke petugas kaunter pendaftaran semuanya sedia untuk membantu dan menyelesaikan masalah pelawat.

Bagaimanapun peti keselamatan yang diperlukan oleh pelanggan untuk menyimpan barang-barang berharga tidak disediakan dan untuk lebih selamat, pelawat boleh menyerahkan barang berharga mereka kepada petugas di kaunter resort.

Bagi yang tidak turun ke pantai, sebuah kolam renang tersedia di tengah-tengah kawasan resort. Dengan saiznya yang besar untuk menampung jumlah tetamu ia adalah salah satu tarikan paling utama di resort ini.

Peluang untuk berendam dalam kolam sambil ditemani deruan ombak dari pantai dan hembusan bayu laut pastinya cukup mengujakan apatah lagi bersama anak-anak. Resort dengan hamparan pasir putih dan bersih itu juga menjadi lokasi yang menarik untuk bermandi-manda.

Disenaraikan dalam Malaysia Book of Records sebagai kolam renang terpanjang di negara ini meliputi 154.4 meter, kolam itu menyediakan pelbagai jenis kolam seperti kolam gelombang, kolam cendawan, air terjun, jakuzi dan sungai buatan. Pengunjung juga boleh bersantai atau memanjakan diri dengan jakuzi mewah sementara anak-anak bermain di kolam.

Resort ini turut menyediakan pelbagai hidangan kegemaran rakyat Malaysia. Mahsuri’s Kitchen mempunyai kios makanan yang menyajikan hidangan seperti dim sum, yee mee dan pelbagai lauk-pauk beserta nasi. Tidak ketinggalan, kafe santai, Pool Bar yang menghidangan masakan tempatan dan Barat.

Terdapat juga pertunjukan Makan Malam Kebudayaan yang menampilkan persembahan nyanyian dan tarian tradisional Melayu di samping pertunjukan tarian api yang dramatik. Aseania Resort turut mempunyai spa, Sari Dewi Spa yang terletak di pinggir taman tropika. Urutan dalaman dan luaran menjadi tarikan pengunjung lebih-lebih lagi mereka boleh menikmati urutan Sari Melayu Tradisional.

Dalam pada itu, orang ramai sekitar Langkawi yang ingin merancang mengadakan rumah terbuka untuk keluarga, sahabat, rakan sekerja, jiran dan pelanggan boleh mencuba pakej Rumah Terbuka Raya de Aseania. Pakej harga terdiri daripada tiga kategori iaitu Do-RM29 seorang, Re- RM39 seorang dan Mi- RM49 seorang dengan pelbagai pilihan menu bufet. Untuk tempahan boleh hubungi 04-9552020 sambungan 6055 atau hubungi 011-5680 0590 (Alim).