Turut serta dalam lawatan ini ialah Daud Zhou Jun, seorang anak jati Xining yang kini menjadi penduduk tetap Malaysia. Beliau dan isteri merupakan bekas penuntut Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) dan fasih berbahasa Inggeris, Mandarin dan bahasa Melayu. Kehadiran beliau selaku jurubahasa memudahkan komunikasi dengan masyarakat setempat.

Laluan biasa Kuala Lumpur ke Xining adalah melalui Xian. Penerbangan dari Xian ke Xining mengambil masa kurang dua jam. Antara program paling utama dalam kunjungan kami ke Xining ialah menghadiri satu majlis perkahwinan.

Secara ringkasnya Xining adalah sebuah bandar moden. Xining adalah ibu negeri bagi Wilayah Qinghai. Dari sudut geografi Xining terletak di tengah-tengah peta negara China tidak jauh dari Banjaran Pergunungan Tibet. Semasa lawatan suhu purata di bandar pergunungan ini sekitar -2 hingga -10 darjah Celsius.

Sebagai sebuah bandar majoriti Muslim, Xining terkenal dengan Dongguan Grand Mosque yang menggabungkan gaya, seni reka dan seni bina China serta Islam. Bandar ini juga menempatkan Tulou Temple yang dibina dalam gua.

Walaupun terdapat beberapa buah masjid di sekitar bandar raya Xining hanya Dongguan Grand Mosque satu-satunya masjid utama yang dibenarkan oleh kerajaan China untuk mendirikan solat Jumaat dan sunat dua hari raya. Purata jemaah solat Jumaat adalah lebih daripada 15,000 orang. Untuk solat dua hari raya bilangan jemaah biasanya melebihi 250,000 orang sehingga beberapa jalan utama bandar Xining ditutup dan dikawal oleh polis dan tentera.

Di pinggir bandar Xining terdapat sebuah perkampungan terpencil bernama Hongshu. Di sini terletaknya HongShui Spring Mosque, masjid yang diperbuat daripada kayu ini berusia lebih 700 tahun. Di utaranya terletak Tibetan Medicine and Culture Museum yang mana artifak-artifak tradisional dipamerkan. Tidak jauh ke utara Xining terletak Tasik Qinghai yang luas serta kaya dengan kehidupan unggas.

Seperti bandar-bandar majoriti Muslim lain di China, Xining dipelopori oleh etnik China Muslim Hui yang berkait rapat dengan sejarah kemasukan Islam ke China sejak pertengahan abad ke-14.

Seperti yang dinyatakan sebelum ini kedatangan kami ke Xining adalah untuk menghadiri satu majlis perkahwinan. Perkahwinan ini adalah antara Ma Binquan (Idris) dan Zhang Yujie (Sophia). Idris adalah bekas penuntut Sunway College, Subang Jaya manakala pasangannya adalah seorang gadis etnik Hui dari Urumqi, Wilayah Xinjiang. Jaraknya lebih kurang 1,700 kilometer dari Xining.

Pengantin lelaki adalah anak kedua kepada Yusof MaQing iaitu seorang usahawan terkenal di Xining. Selain memiliki hotel, Heyday International Xining, satu-satunya hotel lima bintang patuh syariah di China tempat majlis itu diadakan, Yusof juga mempunyai pelaburan hartanah di bandar-bandar lain termasuk di Malaysia. Beliau juga adalah salah seorang peserta program Malaysia My Second Home (MMSH).