Turki berkeluasan 783,000 kilometer persegi, lebih kurang dua kali ganda saiz Malaysia dan mempunyai 81 juta penduduk. Uniknya, Turki menggabungkan warisan Tamadun Greek, Parsi Kristian Roman, Seljurk dan Uthmaniyah. Kekayaan warisan itu menjadi kebanggaan rakyat Turki dan terbukti negara berkenaan mempunyai 16 buah tapak Warisan Dunia yang diiktiraf Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).

Kunjungan penulis ke Turki bersama 32 pelancong Malaysia baru-baru ini adalah pada musim dingin. Suhu di kebanyakan tempat adalah kira-kira 6 darjah Celsius tetapi di sebahagian Cappadocia dan Bolu, suhunya mencecah -13 darjah.

Menelusuri Istanbul dan menyeberang jambatan Bosphorus, kami terpesona dengan persekitaran yang indah. Lautnya yang membiru. Bot serta kapal berlayar tanpa henti manakala bangunan lama dan baharunya pula tersergam indah.

Di luar Masjid Biru, ramai peniaga menjual jagung dan buah berangan bakar. Ada juga dermawan yang memberikan roti secara percuma. Kami juga tidak melepaskan peluang menaiki feri persiaran selat, dipanggil Bosphorus Cruise. Sambil menikmati kopi Turki, kami melihat pelbagai hotel mewah di kiri kanan selat selain menyaksikan burung-burung berterbangan.

Tidak sah ke Turki jika tidak ke Grand Bazaar, pusat perniagaan yang menempatkan 3,000 peniaga. Pusat perniagaan ini telah wujud sejak tahun 1455 Masehi. Oleh sebab terlalu besar, ramai yang tersesat. Pelbagai barangan seperti manisan (Turkish Delight), kekacang, baklava, pakaian dan cenderamata dijual di sini. Majalah Travel and Leisure menyatakan, Grand Bazaar merupakan tarikan nombor satu di Turki, dengan 91 juta melawatnya pada tahun 2017.

Melihat tarian Darwis ( Whirling Dervishes) berdekatan Muzium Mevlana di Konya juga satu pengalaman menarik. Tarian yang berasaskan konsep sufi kerohanian yang dicetuskan oleh Sheikh Jalaludin al-Rumi pada abad ke 16. Falsafah tentang ketuhanan menerusi zikir, doa, kehidupan dan kematian serta pergerakan berpusing, kesemuanya diadun dalam persembahan.

Di Muzium Mevlana turut tersimpan barang peribadi milik Sheikh Jalaludin, al-Quran lama dan barang peribadi sultan-sultan Kerajaan Uthmaniyah.

Satu lagi tarikan Turki ialah Ataturk Mausoleum di Ankara. Dalam bahasa Turki disebut Anitkabir (tugu peringatan). Terdapat sebuah muzium yang menyimpan pelbagai barangan milik Mustapha Kamal Pasha, Bapa Turki Moden.

Tidak kurang menariknya ialah lawatan ke Muzium Kebudayaan Turki dan Islam di daerah Fateh, Istanbul. Muzium ini asalnya milik Pargali Ibrahim, wazir kepada Sultan Sulaiman The Magnificent, pada abad ke-16. Di sini tersimpan seni lukis Islam dan warisan budaya Turki sejak abad pertengahan. Malah mengandungi pameran barangan tamadun Islam. Sememangnya melihat jubah milik Saidina Ali dan pakaian Saidatina Fatimah adalah begitu mengujakan.

Perjalanan seterusnya ialah ke Pamukkale, terkenal dengan keajaiban alam semula jadinya yang unik, iaitu teres-teres kolam air panas dan lapisan garam kalsium di permukaan bumi berbukit-bukau. Lebih terkenal dengan nama Cotton Castle (Istana Kapas). Kawasan itu seperti padang salji yang memutih saujana mata memandang. Pelancong tidak melepaskan peluang merendamkan kaki di kolam air panas tersebut.