Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof berkata, pemanduan merentasi 24 buah negara itu akan dilakukan Engku Mohammad Hadri Engku Hassan, 34, bersama dua pembantunya, Sh Nur Sharmila Sh Mohamed Sharer, 38, dan Abdul Rahman Halid, 32.

“Jelajah Dunia VM2020 Retro Havoc ini akan mengambil masa selama 98 hari dan merangkumi negara antaranya China, Mongolia, Latvia, Rusia dan Jerman.

“Mereka perlu memandu secara intensif sambil mempromosikan kempen VM2020 di sepanjang laluan dan dibantu pejabat Tourism Malaysia luar negara dalam menggiatkan publisiti,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Musa berkata, penjelajah akan mengedarkan risalah, brosur dan barangan berkaitan VM2020 kepada penduduk sekitar di setiap lokasi yang disinggah.

Katanya, mereka juga akan mengedarkan soal selidik kepada orang ramai bagi mengumpul maklumat mengenai pengetahuan orang luar terhadap Malaysia.

Sementara itu Engku Mohammad Hadri berkata, pasukannya telah melakukan persiapan sejak tahun lalu menggunakan kereta jenis Toyota Trueno AE86 yang telah diubah suai mengikut kesesuaian misi berkenaan.

“Kos keseluruhan misi ini hampir RM250,000 dan kami turut mendapat tajaan daripada beberapa syarikat automotif lain dari segi tayar dan alat ganti kenderaan.

“Sharifah Nur Sharmila akan menjadi pemandu arah manakala Abdul Rahman bertindak sebagai mekanik serta pemandu kedua dalam misi kali ini,” katanya.

Sementara itu pada majlis sama, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik melepaskan (flag off) Jelajah VM2020 di perkarangan kementerian itu sebagai simbolik bermulanya misi berkenaan. - UTUSAN ONLINE.

habis//