Namun atas tuntutan melaksanakan amanah tugas, saya tetap bertekad pergi ke Iran baru-baru ini bersama ketua jabatan dan timbalan ketua jabatan bagi tujuan kolaborasi antarabangsa. 

Alhamdulillah perjalanan di Iran, kami tidak mengalami masalah sama sekali dan tidak pernah merasa tidak selamat atau apa pun. Kami sentiasa ditemani oleh pegawai-pegawai daripada Kedutaan Malaysia di Iran yang telah kami hubungi terlebih dahulu sebelum memulakan program di Iran. 

Perjalanan di Iran tidak banyak perbezaan dari perjalanan ke mana-mana negara lain di Timur Tengah. Pastikan anda menyesuaikan diri dengan peraturan tempatan supaya perjalanan anda berjalan lancar.

 

TIPS MELANCONG DI IRAN:

1 VISA IRAN
Pemegang pasport Malaysia yang ingin ke Iran atas tujuan melancong dikecualikan visa (visa free) sehingga 14 hari.Jika ingin membuat lawatan lebih dari masa itu, perlu memohon visa sama ada di Kedutaan Iran atau di Jabatan Imigresen Iran semasa di negara ini. Urusan di kaunter Imigresen Lapangan Terbang Teheran juga mudah dan tiada banyak soalan yang diajukan oleh pegawai-pegawai imigresennya.

2 PATUHI KOD PAKAIAN
Kod pakaian Iran adalah berkuatkuasa setiap saat. Jika tidak dipatuhi, ada pasukan khas yang akan menegur anda atau jika tidak bernasib baik, akan disoal siasat. Antaranya wanita perlu menutup rambut mereka dengan tudung. Bukan bermakna anda perlu berburka atau bertudung litup. Cukup sekadar berselendang nampak jambul sikit adalah fesyen wanita Iran. Pakaian pula wajib melepasi punggung. 

Cukup memakai kardigan, tak perlu berjubah. Tak perlu juga berpakaian gelap atau hitam. Wanita Iran sangat mementingkan fesyen, jadi pakailah warna-warna kegemaran anda, asalkan melepasi paras punggung. Industri fesyen dan kosmestik di Iran sangat pesat. Memang seronok membeli-belah pakaian dan barangan fesyen seperti beg kulit, kasut kulit dan kot-kot labuh yang cantik. 

3 AMBIL GAMBAR
Berhati-hati semasa mengambil gambar berhampiran bangunan kerajaan atau ketenteraan. Ini dilarang sama sekali. 

4  BERKELAKUAN SOPAN
Pengalaman saya, bersendirian di dalam lif bersama seorang lelaki Iran, sanggup dia keluar dari lif tersebut agar dia tidak berdua-duan dengan saya. Hubungan rapat secara dekat antara lelaki dan wanita yang belum berkahwin adalah dilarang tetapi tidaklah sehingga ditangkap. 

5 TIADA MINUMAN KERAS
Anda tidak akan menemui kelab malam (bar) atau disko di Iran yang semestinya tidak wujud. Wanita tidak dibenarkan menari dan menyanyi di khalayak ramai dan tidak ada minuman beralkohol.

6 HARGA BARANG
Anda tidak memerlukan bajet yang tinggi untuk melancong ke Iran. Tiket kapal terbang Mahan Air (Iran) penerbangan tanpa transit selama tujuh jam boleh didapati dengan harga serendah RM1,500 pergi dan balik. Kos lain seperti makan dan pengangkutan juga sangat murah memandangkan mata wang mereka rendah berbanding mata wang kita. 
 
Harus diingatkan, mereka tidak menerima mata wang Ringgit, justeru anda perlu membawa dolar Amerika (AS$) untuk ditukarkan di pengurup wang di Iran. Ketika saya di sana, tukaran mata wang ialah AS$100 bersamaan 17 juta riyal iaitu kira-kira RM410. Dengan wang sebanyak 17 juta Iranian Rial ini anda boleh bershopping 30 kilogram muat satu bagasi!
Kad kredit asing tidak diterima pakai di Iran, maka dinasihatkan membawa duit tunai  dolar Amerika yang banyak untuk segala urusan di sana.

7 HOTEL
Hotel di sana tidak terlalu mahal. Dengan harga RM250 semalam anda boleh menginap di bilik double room dengan sarapan pagi dan wifi percuma yang laju.

8 SIKAP PENDUDUK
Rakyat Iran yang dikenali sebagai Persian adalah sangat ramah, sopan dan menghormati tetamu. Mereka sangat cantik dan kacak seperti bangsa Eropah. Keramahan dan kemurahan hati mereka pasti akan memukau anda dan anda akan dijemput ke rumah mereka setiap hari. 

9 MAKANAN 
Makanan mereka sangat sedap, namun tiada kuah dan tidak pedas. Makanan utama mereka adalah kebab.Namun nasi dan lauk ayam/daging boleh didapati di mana-mana restoran. 

10 TEMPAT MENARIK
Parsi moden bukan hanya sebuah negara besar, ia juga penuh dengan tempat bersejarah, senibina yang sangat tinggi nilainya dan landskap semula jadi yang terpelihara dan mesra alam sekitar. Bekas kota-kota Empayar Parsi ini mempunyai masjid-masjid yang indah, karya-karya seni bina agung, dan keajaiban semulajadi. 

Negara ini mempunyai 4 musim termasuk salji. Terlalu banyak istana yang cantik serta seni bina bangunan tinggalan sejarah yang unik. Setiap bandar di Iran adalah unik seperti Esfahan, Shiraz dan Persepolis. Esfahan adalah bandar terbesar ketiga dan menjadi destinasi pelancongan nombor satu, dengan sejarah menarik dan seni bina yang luar biasa. Bandar yang pernah dipanggil ‘Isfahan nasf-e jahan’ yang bermaksud ‘Isfahan adalah separuh dunia’. Ia adalah salah sebuah bandar terbesar di dunia dan telah diberi penghormatan menjadi ibu kota Iran dua kali.