Sebenarnya tidak sukar diduga kenapa mudahnya orang ramai ditipu. Ini kerana pakej yang ditawarkan sangat menggoda dengan menawarkan harga yang sangat murah apatah lagi berpeluang melancong ke kawasan tumpuan pelancong dari seluruh dunia.

Menurut Pengarah Urusan Kembara Sufi Sdn. Bhd., Muhammad Al-Fadzil Hidzir, penipuan tawaran pakej percutian bajet sering berlaku sejak akhir-akhir ini dan menyasarkan tempat percutian yang terkenal seperti Korea Selatan, Vietnam dan Guangzhou, China.

Ujarnya, orang ramai mudah terpedaya kerana harga yang ditawarkan sangat murah dan mendapat maklum balas positif daripada pelanggan yang pernah menggunakan perkhidmatan agensi tersebut sebelum ini.

"Harga yang ditawarkan adalah sangat tidak logik contohnya percutian bajet ke Korea Selatan dengan tawaran harga RM2,000 sahaja sedangkan harga tiket penerbangan pergi dan balik sudah mencecah RM1,200 hingga RM1,500 manakala pakej ke Vietnam pula semurah RM680. Itu belum ambil kira harga penginapan dan makan minum di sana.

"Berdasarkan pengalaman daripada mereka yang pernah ditipu, selalunya agensi terbabit akan menyediakan semua kemudahan seperti penginapan dan makanan dengan baik untuk kumpulan awal sahaja sebagai modus operandi mereka untuk mengaburi mata kemudian selepas berjaya mengumpul duit orang ramai mereka akan segera melarikan diri," katanya kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini.

Menurut Muhammad Al-Fadzil, secara umumnya harga pakej ke Korea Selatan ialah sekitar RM2,800 hingga RM3,300 manakala pakej ke Vietnam sekitar RM1,399 hingga RM1,599 termasuk penginapan dan makan minum.

Muhammad Al-Fadzil berkata, bagi mengelakkan terpedaya dengan jerat agensi penipuan terbabit, orang ramai dinasihatkan memeriksa dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya terlebih dahulu sama ada syarikat tersebut berdaftar atau tidak.

Berkongsi lebih lanjut, beliau turut menasihatkan orang ramai yang hendak melancong terutamanya ke negara-negara Eropah supaya sentiasa berhati-hati dengan penyeluk saku yang sentiasa berkeliaran di tempat tumpuan pelancong.

"Kalau hendak simpan duit jangan letak di satu tempat sahaja, letak di tempat-tempat lain macam jaket, baju, seluar dan beg. Sekiranya satu tempat hilang kita masih ada duit yang lain.

"Selain itu, jika kita hendak melancong, persiapan yang rapi perlulah dibuat dari segi kelengkapan, ubat-ubatan dan sebagainya. Pada masa sama, pelancong juga digalakkan untuk mengkaji serba ringkas negara yang hendak dilawati supaya dapat mengetahui perbezaan budaya di negara berkenaan," ujarnya.

Menyentuh lebih lanjut, Muhammad Al-Fadzil turut menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan maklumat yang tepat berkaitan pakej yang ditawarkan sebelum membeli supaya tidak tertipu dengan caj tersembunyi.

PEMBACA boleh menyumbang artikel destinasi kepada [email protected]