Selepas berbincang dan meneliti pakej percutian yang ditawarkan banyak agensi kembara atau pelancongan, kita akan membuat pilihan tentang destinasi untuk ‘jalan-jalan makan angin’.

Tentunya lokasi percutian dan tumpuan pelancong menjadi tarikan. Dalam keadaan ekonomi sekarang, sudah pasti kita tidak mahu berbelanja besar semata-mata mahu bercuti pada hujung minggu.

 

Apa kata kita berlibur di lokasi percutian berdekatan tempat tinggal. Bagi warga ibu kota dan penduduk negeri Selangor, kawasan tumpuan ramai pada hujung minggu iaitu Bukit Malawati yang terletak di Kuala Selangor menjadi salah satu destinasi yang semakin popular. Malah, pengguna jalan raya pantai barat turut memilih bukit tersebut untuk melepaskan lelah memandu.

Faktor pemandangan indah dari kawasan puncak bukit dan kemudahan yang disediakan sentiasa menggamit kedatangan pengunjung, malah menjadikannya satu tarikan yang tidak bernoktah.

Berada di puncak bukit setinggi kira-kira 100 meter itu membuatkan hati mahu ‘beradu’ lebih lama di situ.

Tambahan pula kehadiran bersama ahli keluarga untuk melihat keindahan Kuala Selangor dari pandangan atas bukit menggamit perasaan.

Bukit Malawati terkenal dengan kisah sejarah panjang berusia ratusan tahun ketika era pemerintahan Kesultanan Selangor.

Kawasan itu menjadi pusat pentadbiran bagi kerajaan Kesultanan Selangor sebelum berpindah ke Jugra, Banting dan Bandar Diraja Klang.

Perigi Beracun antara kawasan bersejarah yang masih boleh dilihat
Perigi Beracun antara kawasan bersejarah yang masih boleh dilihat 

Selain Rumah Api Kuala Selangor yang dibina pada 1907, kesan sejarah lain yang masih dapat dilihat di Bukit Malawati ialah Busut Malawati, Kota Malawati, Tangga Seratus, Meriam 3 Sederet dan Meriam Penggawa.

Di situ juga terletak Makam Diraja Kesultanan Selangor dan Perigi Beracun serta Muzium Sejarah Daerah Kuala Selangor.

Perigi Beracun mempunyai kisahnya apabila dikatakan digunakan untuk menghukum penderhaka dengan meletakkan mereka di dalam perigi yang berisi air beracun sehingga ke paras dada sebagai satu bentuk penyeksaan.

Terdapat juga batu hampar yang masih wujud sehingga kini, yang dahulunya dipercayai digunakan untuk memancung kepala pesalah.

Batu Hampar yang digunakan untuk memancung kepala pesalah.
Batu Hampar yang digunakan untuk memancung kepala pesalah. 

Di Bukit Malawati juga, terdapat tapak istana lama yang kini dibangunkan dan dipromosi oleh pejabat Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dengan kerjasama beberapa agensi lain seperti Lembaga Muzium Negeri Selangor. Tapak itu menempatkan pelbagai artifak kesultanan negeri daripada tiga sultan yang memerintah Selangor.

Bagi yang menggemari aktiviti riadah, mereka boleh sampai ke puncak Bukit Malawati menggunakan trem yang disediakan pada hari cuti hujung minggu dan cuti umum.

Dianggarkan seramai 3,000 pengunjung datang ke Bukit Malawati menggunakan perkhidmatan itu pada masa kini.

Harga untuk perkhidmatan trem Bukit Malawati adalah RM3 bagi dewasa dan RM2 bagi kanak-kanak, manakala sewaan satu trem bagi kumpulan dikenakan RM100 satu perjalanan pada hari biasa.

Sementara pada hari bekerja biasa, pengunjung boleh berjalan kaki atau naik dengan kenderaan sendiri sehingga ke puncak bukit.

Apa yang menarik, terdapat beberapa spesies monyet mendiami bukit ini.

 

Haiwan itu kini menjadi satu tarikan utama kepada pengunjung yang mahu melihat keletah dan melayan gelagat sang monyet yang nakal itu.

Mesra dan jinak, merupakan antara sifat beratus-ratus ekor monyet daripada spesies Silver Leafed dan Marcaques yang hidup bebas di bukit itu.

Monyet jenis Silver Leafed atau lotong lebih mesra dan tidak ‘nakal’ seperti spesies Marcaques.

Rupanya yang unik juga menjadi tarikan pengunjung.

Haiwan tersebut akan segera mengerumun seseorang apabila terlihat ada makanan di tangan pengunjung terbabit.

Ada juga yang ‘melepak’ di kereta pengunjung semata-mata mahu meminta makanan.

Sikap sabar haiwan jenis itu membuatkan pengunjung berasa selesa untuk melayan gelagatnya.

 

Sementara monyet jenis Marcaques atau kera yang biasa dilihat kebanyakan orang pula lebih agresif sekiranya terhidu atau nampak pengunjung memegang makanan.

Bukan sahaja pelancong tempatan tetapi pengunjung dari luar negara juga betul-betul tertarik dengan gelagat monyet-monyet Bukit Malawati ini.