Hampir 400 tahun di bawah pemerintahan Portugis memberi impak yang cukup besar dalam pembentukan kebudayaan unik iaitu budaya Timur bertemu Barat di kota ini.

Hampir sebahagian besar seni bina bangunan di kota ini mempunyai sentuhan Portugis dan dipenuhi dengan bangunan neoklasik berwarna pastel yang dibina semasa zaman kolonial.

Selain itu, Macau yang terbahagi kepada tiga wilayah iaitu Semenanjung Macau, Pulau Taipa dan Pulau Coloane juga terkenal sebagai hotel hopping kerana mempunyai aktiviti popular tersendiri yang membolehkan kita menikmati suasana mewah biarpun tidak menginap di lokasi itu.

Kalau sebelum ini saya berkongsi pengalaman dan tempat-tempat makanan halal serta berasaskan sayur-sayuran (vegetarian) di Macau, kali ini saya mahu berkongsi 10 tempat wajib dikunjungi kepada kaki Instagram di kota kecil yang hanya meliputi hampir 32 kilometer persegi iaitu kira-kira 22 kali ganda lebih kecil dari Perlis. Bersedia saja dengan kamera anda untuk mengabadikan kenangan di sini.

Satu lagi perkara yang menarik kepada pelancongan adalah kebanyakan perkhidmatan bas di sini disediakan secara percuma oleh kerajaan Macau. Jadi mereka yang berkunjung ke kota ini tidak perlu mengeluarkan wang untuk bersiar-siar.

CORAK bangunan, papan tanda hingga lantai Senado Square ini membuatkan anda berasa seolah-olah bera
CORAK bangunan, papan tanda hingga lantai Senado Square ini membuatkan anda berasa seolah-olah berada di Eropah.

Senado Square

Melangkah sahaja ke dataran yang dikenali sebagai pusat bandar ini membuatkan kita terasa seolah-olah berada di Eropah kerana seni bina sehingga papan tanda menggunakan perkataan Portugis. Lantai dataran ini juga cukup unik dengan alunan yang diturap dengan cobbles hitam dan putih.

Pastikan juga, anda tidak melepaskan peluang untuk menikmati keunikannya dengan cahaya lampu yang terang benderang pada waktu malam.

Bangunan yang tersergam indah di Senado Square ini pula membawa anda seperti berada dalam filem. Jika anda ingin beli pelekat bermagnet, baju-T, cenderamata dan sebagainya untuk dihadiahkan kepada rakan-rakan di Malaysia, anda boleh membeli di sini.

Anda pasti rambang mata untuk membeli kerana terdapat pelbagai pilihan di kedai-kedai kecil yang dibuka kira-kira pukul 10 pagi pada setiap hari.

Ruins of St. Paul

Dengan hanya berjalan kaki dari Senado Square, kita oleh sampai ke Ruins of St. Paul.

Ia merupakan antara gereja tertua di Macau yang dibina pada 1640 dan pada 1835 bangunan yang asalnya diperbuat daripada kayu itu terbakar hingga hanya meninggalkan pintu gerbangnya.

Memang tidak sah kalau tidak mengunjungi runtuhan bangunan ikon Macau yang disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) pada 2005.

MENYUSURI Love Lane, anda akan melalui kawasan yang dindingnya dihiasi dengan warna-warna pastel.
MENYUSURI Love Lane, anda akan melalui kawasan yang dindingnya dihiasi dengan warna-warna pastel.

Love Lane

Menyusuri keluar Ruins of St. Paul, anda akan melalui Lorong Travessa da Paixao atau lebih dikenali sebagai Love Lane.

Lorong ini terkenal sebagai lokasi wajib bergambar kepada setiap pasangan kekasih yang bercuti di kota ini.

Latar belakang berwarna-warni yang memberi sentuhan romantik ini pastinya meninggalkan memori indah kepada pasangan kekasih yang ingin mengabadikan kenangan berdua.

Muzium Mount Fortress

Terletak betul-betul bersebelahan dengan Ruins of St. Paul dengan jarak perjalanan kira-kira 10 minit.

Di sini anda berpeluang untuk melihat pemandangan Macau dari puncak bukit yang pernah menjadi kubu pertahanan Portugis.

Malah, tangga bergerak (escalator) disediakan kepada pengunjung untuk naik ke atas.

Untuk mengetahui lebih banyak sejarah mengenai kota Macau, anda boleh ke muzium ini yang dibuka secara percuma pada setiap hari Selasa.

Rua da Felicidade

Juga dikenali sebagai Street of Happiness yang mana semua rumah, restoran dan kedai cenderahati dua tingkat di lorong ini dicat dengan warna merah.

Landskap berwarna merah ini pastinya menjadi latar belakang yang unik dalam gambar.

Kesemua lima lokasi disebutkan ini boleh diteroka dengan hanya berjalan kaki kerana terletak berdekatan.

EIFFEL Tower The Parisian Macao merupakan binaan cantik untuk diabadikan dalam Instagram anda.
EIFFEL Tower The Parisian Macao merupakan binaan cantik untuk diabadikan dalam Instagram anda.

Eiffel Tower 
The Parisian Macao

Menakjubkan! Tidak ada perkataan yang lebih sesuai untuk menggambarkan kecantikan Eiffel Tower ini yang merupakan separuh daripada ketinggian menara ikonik sebenar di Paris.

Memiliki sentuhan ornamen yang mirip seperti Menara Eiffel di Paris membuatkan kita terasa seperti berada di Kota Cinta itu.

Menara ini menjadi tempat tarikan yang romantik bagi setiap pelancong terutama pada waktu malam.

Namun, sempena menyokong kempen Earth Hour, pertunjukan lampu di menara itu dihentikan sejenak dari pukul 8.30 hingga 9.30 malam pada setiap Selasa, minggu pertama.

Macao Tower

Menjadi satu ‘dosa’ besar jika pulang tanpa mengunjungi menara ketinggian 331 meter yang merupakan menara ke-20 tertinggi di dunia. Bukan sekadar panorama 360 darjah, malah anda boleh melakukan aktiviti mencabar seperti terjunan bungee tertinggi di dunia dan skywalk.

Bagi mereka yang gemarkan aktiviti ekstrem boleh cuba melakukan lompatan bebas pada kelajuan sehingga 200 kilometer sejam.

ANDA berpeluang mengabadikan gambar mengikut pakaian karater pilihan di Planet J.
ANDA berpeluang mengabadikan gambar mengikut pakaian karater pilihan di Planet J.

Planet J

Bagi mereka yang mahu mengambil feeling bergambar dalam alam fantasi, anda disaran ke Planet J.

Destinasi interaktif untuk kanak-kanak, keluarga dan dewasa, Planet J menyediakan hiburan role-playing ‘out-of-the-world iaitu anda secara fizikal boleh melakonkan watak fantasi dan mengejar matlamat serta berinteraksi bersama pengembara lain dalam suasana maya.

Anda berasa seolah-olah dibawa masuk ke dalam kehidupan fantasi yang sebenar. Malah anda boleh memilih dan memakai pakaian karakter pilihan sepanjang berada di situ.

Planet J bukan sahaja berbentuk hiburan, malah menjadi medan untuk menguji tahap intelektual anda kerana pelbagai permainan berbentuk kecerdasan dan stamina disediakan sepanjang ‘pengembaraan’.

Taipa Village

Bangunannya yang cantik dan sesuai kepada mereka yang dahagakan gambar-gambar yang berlatarbelakangkan bunga. Sekali imbas nampak seperti berada di Korea Selatan.

Taipa Houses dan Muzium

Di sini anda berpeluang melihat sendiri seni bina Portugis dalam lima buah rumah tradisonal yang dibina sejak 1921.

Kesemua bangunan ini berwarna hijau turquoise dan pastinya akan menjadi lokasi penggambaran yang menarik.

INFO

  • Tiga pin, sama seperti Malaysia, jadi tidak perlu membawa travel adapter.
  • Pelancong dikecualikan daripada sebarang visa.
  • Tidak ada perbezaan waktu antara Macau dan Malaysia.
  • Bersuhu iklim tropika antara 15 dan 30 darjah Celsius.
  • Jarak Macao-Hong Kong hanya kira-kira satu jam perjalanan, boleh pilih menggunakan feri atau bas.
  • Mata wang dolar Hong Kong dan Macanese pataca (MOP) diterima di Macau.

Jangan lupa juga!

  • Bas pelancong konsep bumbung terbuka. Untuk melengkapkan perjalanan di kota ini anda disaran menaiki bas pelancong yang tambangnya MOP 150 (RM77) untuk dewasa dan MOP 100 (RM51) untuk kanak-kanak. Terdapat keseluruhan 11 check point , jadi mereka yang bergerak secara solo tidak perlu menyewa teksi atau kereta persendirian yang tentunya menelan kos yang lebih tinggi.
  • Taman tema maya Zero Latency:
  • Taman tema yang menggunakan alat teknologi agumentasi realiti (AR) dan teknologi realiti maya (VR) ini memberi peluang kepada pengunjung untuk merasai sendiri pengalaman bermain permainan video secara realiti menerusi penggunaan cermin mata AR dan bantuan video sekali gus membayangkan seperti berada dalam permainan tersebut.
  • Elekron Show: Persembahan bertaraf dunia yang begitu mendebarkan. Anda pasti akan terpegun melihat setiap adegan yang dipersembahkan oleh mereka yang berpengalaman luas dalam bidang permotoran, aksi lagak ngeri ala Superman dan akrobat.