Alhamdulillah persidangan akademik kali ini lebih santai yang mana penganjur menganjurkan lawatan ke institusi sekitar Marrakech, Maghribi yang diselang seli dengan program berat seperti pembentangan kertas kerja penyelidikan.

Pada hari pertama, peserta dibawa melawat Perpustakaan Ben Youssef, sebuah perpustakaan yang diwujudkan sekitar tahun 537 Hijrah (1142) pada era pemerintahan Al-Murabitun.

Sebaik sahaja melangkah masuk, penulis merasa seperti memasuki zaman kegemilangan Islam di bumi Maghribi. Penulis dikelilingi kitab-kitab lama dari tahun 1100. Ia menjadi saksi betapa umat Islam terdahulu berlumba-lumba mencari ilmu seterusnya merakam pemerhatian dan pandangan mereka ke dalam kitab-kitab. Terdapat juga al-Quran daripada kulit kijang yang dikatakan dihasilkan pada tahun 100 Hijrah (718 M).

Beberapa peserta dari Itali yang bukan beragama Islam kelihatan berminat dengan kerja-kerja pemuliharaan dan kajian terhadap kitab-kitab lama ini.

Pihak perpustakaan mengalu-alukan sebarang usaha untuk mengkaji dan memulihara kitab-kitab berkenaan.

Lawatan hari pertama itu diakhiri dengan singgah di Masjid Koutoubia. Penulis diberitahu bahawa reka bentuk masjid itu menjadi inspirasi kepada dua lagi masjid iaitu di Rabat dan Seville, Sepanyol. Malangnya masjid di Sepanyol telah bertukar menjadi gereja selepas kejatuhan kerajaan Islam Andalusia.

“Itulah harga sebuah kejatuhan tamadun,” getus hati penulis. Dalam diam penulis berdoa agar nikmat keamanan negara Malaysia terus terpelihara dan tidak runtuh seperti tamadun Andalusia itu.

MUZIUM AIR

Hari kedua bermula dengan pembentangan peserta yang juga penyelidik di institusi masing-masing. Penulis teruja dengan semangat sekumpulan penyelidik yang membentangkan kaedah-kaedah canggih pemuliharaan kitab-kitab Arab.

Walaupun ada yang bukan beragama Islam, tetapi mereka tetap melpenuliskan kerja-kerja penyelidikan tanpa merasa jemu. Begitulah, apabila kita meminati sesuatu, kepuasan adalah motivasi sebenar yang dicari dan bukannya harta atau kemasyhuran.

Usai pembentangan, peserta dibawa melawat Muzium Air Mohammed VI. “Air pun orang buat muzium ke?” penulis bertanya kehairanan. Sebagai seorang yang tinggal di negara beriklim Khatulistiwa, air bukanlah satu perkara yang pelik sehingga perlu dimuziumkan.

Bagaimanapun kehairanan bertukar menjadi kagum apabila muzium itu sebenarnya mempamerkan kelengkapan, peralatan dan teknologi yang dipakai serta dibangunkan oleh manusia semata-mata untuk mencari, menyimpan serta mengalirkan air.

Di tempat seperti Maghribi di mana air sukar diperoleh, air ibarat emas. Sesiapa yang menguasai air akan menguasai kawasan sekitarnya. Banyak konflik terhasil akibat perebutan perigi-perigi air. Untuk menangani isu air, pelbagai teknologi dicipta dan digunakan untuk menguruskan air daripada sumbernya seterusnya mengekalkan kesejahteraan serta keamanan masyarakat.

KAWAN PALESTIN

Penulis berpeluang mengenali seorang peserta dari Palestin, Dr. Feras yang berkeyakinan tinggi dan senang bergaul dengan orang lain. Beliau mendapat ijazah kedoktorannya dari Korea Selatan.

Sepanjang perjalanan kami yang berkongsi teksi ke lapangan terbang, beliau seolah-olah kerap mengulangi doa agar perjalanan pulang ke negaranya selamat tanpa sebarang masalah. Penulis hairan dan perkara itu terjawab apabila kami tiba di lapangan terbang.

  • Pemeriksaan keselamatan di lapangan terbang di Marrakech agak ketat.
  • Ada empat pos pengawal perlu dilalui. Masing-masing akan meminta pasport sebelum membenarkan meneruskan perjalanan ke pos lain.
  • Sebaik sahaja pegawai bertugas melihat pasport Malaysia, tanpa banyak soal mereka akan melepaskan.
  • Berlainan dengan Feras yang akan disoal siasat secara puratanya 4-5 minit bagi setiap pos pengawal.
  • Pengawal akan membelek berkali-kali pasport Palestin Feras sambil bertanya pelbagai soalan tentang tujuannya berada di Maghribi.

Menurut Feras, melayani kerenah pegawai keselamatan adalah perkara rutin yang terpaksa dihadapi setiap kali keluar dari Palestin. Disebabkan pemeriksaan ketat yang sering dihadapi menyebabkannya kurang gemar untuk berkelana.

Bagi beliau pemeriksaan keselamatan di Maghribi tidaklah seteruk dengan pemeriksaan keselamatan Israel apabila tiba di Palestin nanti. Katanya, ada ketika pos sempadan ditutup begitu sahaja tanpa sesiapa pun dibenarkan masuk dan keluar.

Alhamdulillah Malaysia aman. Pasportnya lpenulis di banyak negara tanpa visa. Penulis tidak pernah dilayan dengan penuh syak wasangka. Kebiasaannya proses pengesahan pasport Malaysia amat mudah dan berjalan lancar. Sekarang penulis faham kenapa Feras asyik berdoa berulang kali apabila beliau berbicara mengenai perjalanan balik ke negaranya.

Selain itu, Feras juga semasa bermusafir keluar dari negaranya terpaksa membawa wang tunai yang banyak dalam bentuk mata wang Amerika Syarikat. Katanya, sistem perbankan di Palestin agak rumit yang menyebabkan penggunaan kad kredit atau debit adalah mustahil baginya. Wang pula bergantung pada mata wang Israel atau Jordan.

Begitulah betapa sukarnya kehidupan warga Palestin, sudahlah pasportnya tidak diyakini, wangnya pula tiada. Penulis amat bersyukur kerana tidak perlu membawa wang tunai yang banyak atas dasar keselamatan.

Sistem perbankan kita bertaraf antarabangsa, kad kredit atau debit boleh dikatakan diterima oleh berpuluh-puluh negara tanpa banyak masalah. Penulis sentiasa berdoa agar Malaysia terus kekal aman dan makmur. Penulis tidak dapat bayangkan bagaimanakah keadaannya jika Allah menarik nikmat keamanan ini!