Perjalanan dari Kota Bharu ke Jeti Merang mengambil masa satu setengah jam. Walaupun suasana hari raya, perjalanan ke jeti tenang dan tiada kesesakan lalu lintas seperti yang berlaku sebelum ini.

Kami memilih untuk menggunakan bot laju dari tanah besar ke Pulau Redang melalui Jeti Merang walaupun ada pilihan menggunakan feri melalui Jeti Syahbandar, Kuala Terengganu. Banyak perkara yang perlu diberi perhatian apabila menggunakan perjalanan dengan bot laju. Ubat tahan muntah perlu diambil terlebih dahulu bagi mereka yang alah dengan alunan ombak.

TELUK Dalam merupakan lokasi menarik kerana di sini para peminat hidupan laut pasti akan berasa takj
TELUK Dalam merupakan lokasi menarik kerana di sini para peminat hidupan laut pasti akan berasa takjub dengan penyu yang hidup bebas dalam laut. 

Sebaik sahaja tiba di Pulau Redang, kami disambut oleh wakil hotel dengan penuh mesra. Penat lelah hilang sejenak dengan layanan mesra tersebut. Kami dibawa dengan van ke hotel. Pakej percutian kami di Pulau Redang adalah tiga hari dua malam.

Sepetang kami mundar-mandir melihat suasana keindahan pulau dan mengenal pasti laluan ke tempat-tempat tertentu bagi memudahkan pergerakan pada keesokan hari. Malamnya kami menikmati makanan di restoran berdekatan.

Aktiviti melawat empat tempat popular di persekitaran pulau berlaku pada hari kedua. Tempat tersebut dinamakan dengan check point. Pasir Akar, Taman Laut, Pasir Panjang dan Teluk Dalam adalah antara tempat wajib dilawati jika ke Pulau Redang.

Untuk ke tempat tersebut kami menyewa bot. Kadar sewa bot laju bersama dengan pemandu pelancong pantai bertauliah adalah RM400 untuk ke semua destinasi sepanjang satu hari. Penulis berasa berbaloi kerana khidmat yang diberikan oleh pemandu pelancong sangat memuaskan.

Kami juga diberi taklimat dan penerangan tentang tempat yang dilawati, pemakaian jaket keselamatan dan peraturan snorkling serta ‘berinteraksi’ dengan kehidupan laut secara teratur. Di check point Pasir Akar dengan bantuan alatan menyelam kami dapat melihat pelbagai jenis ikan dan terumbu yang berbagai-bagai warna. Sahlah, tempat ini merupakan salah satu tarikan utama bagi penggemar hidupan laut dan terumbu karang.

Kemudian, kami ke check point Taman Laut yang mana pemandangannya sangat menakjubkan seperti berada dalam alam lain. Kami dapat melihat ikan-ikan yang berenang bebas, berwarna-warni dan saiznya berbagai-bagai. Semestinya penulis dan keluarga sangat teruja dengan hidupan yang ada di Taman Laut.

Check point Pasir Panjang pula merupakan tempat yang menarik bagi melihat anak ikan jerung atau baby shark dan hidupan laut lain yang pelbagai. Perkara ini dimaklumkan oleh pemandu pelacong kerana kami tidak sempat beraktiviti melihat anak jerung.

Selepas itu kami bergerak destinasi tumpuan iaitu check point Teluk Dalam. Teluk Dalam merupakan lokasi menarik kerana di sini para peminat hidupan laut pasti akan berasa takjub dengan penyu yang hidup bebas dalam laut. Bukan itu sahaja kami dapat berenang bersama-sama dengan penyu. Bagaimanapun kami dilarang menyentuh haiwan ini. Penyu adalah antara hidupan laut yang semakin terancam akibat daripada perbuatan manusia.

Selama tiga hari dua malam di Pulau Rendang memberi peluang penulis berlibur dengan anak-anak serta cucu-cucu.

Kesimpulannya, bak kata anak-anak penulis, Pulau Redang memberi dan menyediakan peluang terbaik untuk kami sekeluarga bercuti. Di samping itu Pulau Redang adalah tempat terbaik bagi sesiapa yang ingin menyelami sendiri kehidupan laut yang sebenar. Alangkah ruginya mereka yang berkemampuan dari segi ekonomi dan masa jika tidak bertandang ke Pulau Redang. Pulau pelancongan yang menjadi tumpuan segenap lapisan masyarakat dalam dan luar negara.