Percutian musim sejuk saya dan rakan-rakan di Australia adalah selama tujuh hari dan enam malam. Kami menjelajah kota Melbourne dengan membuat jadual perjalanan sendiri. Kami memandu sepanjang berada di bumi Australia. Berdasarkan rekod perbatuan, kami memandu sejauh 1,670 kilometer (km).

Sebaik sahaja mendarat di Tullamarine Airport pada pukul jam 5.30 pagi dan setelah menunaikan solat subuh kami mengambil kereta sewa yang telah ditempah awal secara dalam talian. Destinasi pertama adalah Brighton Bathing Boxes. Kami sampai di pantai tersebut pukul 8 pagi dan ternyata suasana sungguh sejuk dan berangin.

Aktiviti di pantai ini adalah bergambar di hadapan rumah-rumah kotak yang berwarna-warni. Rumah kotak ini adalah ikon Melbourne yang mana setiap rumah kotak itu dimiliki oleh sekumpulan golongan kaya di sekitar Brighton dan digunakan sebagai tempat persalinan pakaian mereka di pantai berkenaan.

Perjalanan seterusnya adalah ke DFO Moorabin, yang merupakan pusat membeli belah Factory Outlet. DFO Moorabin ini bersebelahan dengan Moorabin Airport. Dari DFO kami terus ke EQ Apartment di Melbourne City.

Tempat menarik berhampiran penginapan kami adalah State Library Victoria. Terpukau apabila melihat perpustakaan Melbourne ini kerana masih mengekalkan tarikan klasik dan ia sungguh besar dan cantik. Perpustakaan ini dibuka kepada orang ramai tanpa mengenakan bayaran. Dekorasi dan seni bina dalamannya sangat mengagumkan.

Berkenaan makanan pula, di kota Melbourne ini terdapat beberapa restoran dan kedai makanan halal. Justeru, kami jarang memasak kerana terdapat kemudahan mencari makanan halal di sini. Antara restoran kegemaran kami adalah Briyani House di Flagstaff Garden.

Bagi yang ingin berkunjung ke pusat sanktuari haiwan, Moonlit Sanctuary Wildlife Conservation Park adalah salah satu tempat menarik yang perlu dikunjungi. Perjalanan ke sini hampir satu jam dari Melbourne melalui lebuh raya. Taman ini adalah seluas 10 hektar. Haiwan-haiwan di sini dibiarkan bebas berinteraksi dengan pelawat.

Perjalanan seterusnya adalah ke Sorrento Pier untuk menikmati laut dan melihat feri-feri di jeti. Pemandangan lautan di sini sungguh cantik. Subhanallah! Dengan lautan dan langit biru yang bersatu dan tiupan angin yang segar betul-betul menjadi terapi minda dan emosi. Dalam perjalanan balik ke pusat bandar Melbourne, kami singgah di St. Kilda untuk melihat penguin pulang ke sarang di waktu senja.

Sekiranya anda ingin bermain salji atau berski, maka tempat yang terdekat dengan Melbourne adalah Lake Mountain Ski Resort di Marysville. Perjalanan ke Marysville ini mengambil masa dua jam. Setibanya di bandar Merysville, anda boleh sewa pakaian dan peralatan untuk ski dan toboggan. Dari Marysville ke puncak Lake Mountain, pilihan adalah sama ada memandu dengan menggunakan snow chain atau menaiki bas. Dakam pada itu, dari penginapan kami di Melbourne ke Lorne mengambil masa selama dua jam. Selepas memasuki bandar Lorne, lautan terbentang luas di sepanjang perjalanan. Terlalu indah pemandangannya.

Kesimpulannya, percutian ini benar-benar mengembalikan tenaga positif melalui keunikan dan keindahan alam semula jadinya.