Sementara itu, di sekelilingnya pula penuh dengan khazanah flora dan fauna serta hidupan liar daripada pelbagai jenis spesies burung sekali gus menjadikan persekitaran di kawasan berkenaan kelihatan tenang 
dan nyaman setiap kali dikunjungi.

Oleh itu, tidak hairanlah di sekitar Damai Laut terdapat rumah-rumah penginapan dan tempat percutian yang diibaratkan sebagai cendawan tumbuh selepas hujan dek kerana keindahan alam sekitar di sekelilingnya.

SGI Vacation Club adalah antara kelab peranginan yang menawarkan pelbagai aktiviti menarik kepada pengunjung dengan menggunakan sumber-sumber alam sekitar. Tujuannya untuk memberi pengalaman kepada mereka agar berasa lebih dekat dengan alam.

Antara aktiviti menarik yang ditawarkan adalah menjaring ikan di sekitar pantai Damai Laut dengan menggunakan pukat tarik yang dikendalikan oleh petugas di kelab tersebut.

Melalui cara itu, pengunjung-pengunjung kelab boleh merasai sendiri pengalaman menarik pukat (sepanjang kira-kira 50 meter) dari arah 30 meter dari laut menuju ke pantai bagi mendapatkan hasil tangkapan.

Aktiviti yang memerlukan sekurang-kurangnya penglibatan antara enam hingga lapan orang ini adalah salah satu kaedah paling mudah dan cepat bagi mendapatkan pelbagai jenis ikan seperti bawal, kembung, siakap, gelama dan pari.

Dalam tempoh tidak sampai 30 minit selepas menarik pukat dari dua penjuru secara serentak dengan empat orang pada setiap bahagian, pelbagai jenis ikan dapat ditangkap yang secara puratanya adalah sebanyak 20 kilogram.

Hasil tangkapan itu kemudian dimasak oleh pengunjung sendiri. Kebanyakan hasil tangkapan itu dipanggang dan ini memberi peluang kepada pengunjung-pengunjung untuk merasai rasa kesegaran hidupan marin yang ditangkap terus dari laut.

Selain itu, aktiviti meneroka hutan simpan yang terdapat di sekeliling Damai Laut juga wajib dilakukan oleh ahli-ahli kelab. Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa terdapat banyak pokok hutan yang masih dipelihara dengan baik oleh pihak berkaitan.

Antara spesies pokok yang boleh ditemui termasuk tongkat ali, kelubi, nipah dan rumbia liar. Dengan cara ini, pengunjung-pengunjung yang berasal dari kota boleh mengenali hidupan hutan dengan lebih dekat.

Justeru pihak kelab menyediakan laluan khas untuk aktiviti jungle walk dalam satu kawasan hutan yang dikenali sebagai nature walk untuk membolehkan mereka melihat tumbuh-tumbuhan, pokok-pokok dan buah-buahan hutan.

Biasanya, perjalanan akan mengambil masa selama sejam dan mereka diiringi oleh petugas daripada kelab berkenaan. Yang pasti mereka akan dapat merasai suasana dalam hutan tetapi pada masa sama harus berwaspada jika bertembung dengan babi 
hutan.

Bagi yang suka memancing, pihak kelab juga menyediakan kemudahan menyewa bot di sekitar pesisir pantai Damai Laut berdekatan Pulau Pangkor yang sememangnya kaya dengan pelbagai spesies 
ikan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SGI Vacation Club, Ivan Ting, aktiviti-aktiviti itu adalah antara tarikan yang ditawarkan kepada ahli-ahlinya sejak ia mula beroperasi pada 2001 sehingga kini.

“Kelab ini tidak hanya menawarkan kemudahan-kemudahan seperti kolam renang, padang golf dan pusat spa serta gimnasium semata-mata, tetapi aktiviti-aktiviti outdoor seperti ini juga boleh menarik pengunjung,” katanya.