Pengurus program tersebut, Noor Azwan Mohd. Taib berkata, perkhidmatan itu mula diperkenalkan pada 2 Februa­ri lalu sebaik sahaja pihaknya menerima sebuah tram terbuka dan sebuah van daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah melalui Program Desa Lestari.

Menurutnya, sumbangan tersebut diluluskan pada 2017 dan diserahkan kepada Homestay Labu Kubung pada 18 Janua­ri lalu bersama sebuah van untuk tujuan di sewa.

Katanya, ia merupakan program baharu untuk pelancong mengelilingi kampung dengan cara lebih mudah.

“Tram terbuka ini boleh memuatkan seramai 15 orang bagi satu perjalanan antara 30 dan 45 minit dengan bayaran RM1 seorang.

“Pelancong dapat melihat secara langsung kawasan homestay Labu Kubung dan kawasan persekitarannya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Noor Azwan berkata, pelancong akan dapat melihat kawasan sawah padi, dusun buah-buahan, kebun getah, industri kecil dan sederhana seperti kraf tangan, seni dan budaya yang terdapat di Kampung Labu Kubong.

Katanya, pelancong juga diberikan penerangan mengenai kawasan yang mereka lalui.

“Sejak perkhidmatan ini diperkenalkan, ia mendapat sambutan mengga­lakkan dengan setiap perjalanan tram ini dipenuhi pelancong,” katanya.

Bagi mudahkan orang ramai dan pelancong, pihak pengurusan menyediakan jadual perjalanan tram.

“Jadual pada cuti umum, hari Sabtu dan Ahad ialah dari pukul 9 pagi hingga pukul 11 pagi dan pukul 4.30 hingga 7 petang.

“Jadual perjalanan bagi hari bekerja ialah dari 4.30 hingga 7 petang,” katanya.

Sebarang pertanyaan atau maklumat mengenai tram boleh menghubungi Noor Azwan melalui tele­fon 017-5476517.