Lazimnya banyak perkara yang perlu difikirkan termasuk kos dekorasi, pemilihan pereka dalaman, konsep yang digemari dan yang paling susah untuk dilakukan adalah menguruskan barangan lama, sama ada perlu dibuang, dikekalkan atau diganti baharu.

Apa pun, semuanya boleh dilakukan jika mempunyai keinginan, wang masa dan bijak memilih pereka dalaman yang tahu dan faham konsep diinginkan.

Itu antara tugas AL Deco Design. Siapa sangka kediaman jenis apartmen tiga bilik dengan keluasan 1,000 kaki persegi yang berusia 20 tahun, bertukar wajah sehingga menjadi tular dalam media sosial dek kerana sentuhan baharu itu.

Diubah suai dengan konsep moden geometri kontemporari dengan sedikit elemen Morocco, kediaman berkenaan mendapat sentuhan dua anak muda iaitu Muhammad Arif Abd. Latif, 27, dan Muhammad Faiz Mohd. Fauzi, 27, yang merupakan pengasas bersama syarikat berkenaan.

Mengambil masa selama dua bulan untuk memberi nafas baharu kepada seluruh ruang kediaman berkenaan, menurut Muhammad Faiz, proses pengubahsuaian dimulakan dengan kerja-kerja simen terlebih dahulu di bahagian dapur, lantai, tandas dan plaster siling, serta beberapa bahagian lain. Selain itu, mereka turut mengecat dinding dan pintu serta memasang jubin.

Direncana sebaik mungkin, konsep moden geometri kontemporari dimulakan dengan pemilihan warna bumi seperti hitam, coklat, kelabu gelap, serta sedikit gabungan warna neutral seperti putih dan krim merangkumi kabinet dapur, pemilihan lantai, cat dinding, set bilik tidur serta hiasan di ruang makan.

“Menariknya pemilik rumah ini menyerahkan sepenuhnya kepada kami untuk mengubah kediaman mereka. Jadi, apa yang dibuat ini adalah idea kami sepenuhnya dan pemilihan konsep moden kontemporari amat sesuai dengan kehendak pemilik rumah.

“Memastikan konsep ini tidak terlalu sarat dengan hiasan, kami memilih perabot yang kelihatan moden dan mewah bermula dari ruang dapur, bilik tidur hingga ke ruang tamu,” katanya.

Bagi membentuk keseragaman konsep, ujar Muhammad Arif, setiap dekorasi disuntik elemen moden termasuk penggunaan kertas dinding yang bermotifkan corak geometri yang menambahkan seri ruang tamu dan bilik tidur.

Melengkapkan ruang dapur, kabinet menggunakan material melamin dengan bahagian atas (table top) adalah batu quartz.

Gaya moden menambahkan suasana selesa, selain memberikan ruang kerja di bahagian dapur lebih fleksibel untuk pergerakan dan mempunyai ketahanan yang lebih baik sesuai dengan fungsi dapur.

Bahagian bilik tidur pula, pemilihan warna langsir dan cadar turut memainkan peranan penting. Justeru, bagi menyeragamkan konsep, pilihan hitam dan kelabu gelap memberi impak sangat mewah pada ruang berkenaan.

Penggunaan fabrik langsir yang tebal dan mempunyai fungsi menahan panas matahari, bukan sahaja membantu memberi suasana sejuk di dalam rumah, malah suntikan mewah pada setiap ruang. Tidak mahu terlalu bosan dengan warna polos, Muhammad Arif turut memilih jubin dinding dan lantai bilik air dengan suntikan etnik Morocco yang menyerikan ruang privasi itu bagi memberi sedikit kelainan.

“Elemen moden geometri sememangnya memberi nuansa yang mendamaikan seperti berada di spa mewah dan pemilihan hiasan yang minimum membantu memberikan lebih aura kepada ruang untuk kelihatan elegan.

“Konsep moden suai padan begini sebenarnya lebih sesuai dibuat dengan kediaman jenis ini selain tidak memerlukan kos yang terlalu tinggi iaitu sekitar RM30,000 yang merupakan kos ideal untuk hiasan dalaman sebuah apartmen,” ujarnya yang boleh dihubungi di Facebook ALDecodesign.

.........................................................

Gambar gaei uchel & Ihsan ALDecodesign