Selain kosnya yang agak rendah kerana kedudukannya yang tidak jauh dari Malaysia, Gunung Siguniang menjanjikan keindahan pemandangan alam semula jadi yang masih belum terusik dek arus pemodenan.

Siguniang bermaksud ‘gunung empat beradik’ iaitu merujuk kepada empat dewi yang menjaga pergunungan di kawasan barat daya China dan merupakan anak kepada dewa gunung bernama Balang.

Dewi-dewi itu mewakili keempat-empat puncak yang ada di Gunung Siguniang iaitu Da Feng merujuk kepada dewi sulung, Er Feng (anak kedua), San Feng (anak ketiga) dan Yaomei Feng (adik bongsu).

Puncak paling tinggi ialah Yaomei Feng yang berketinggian 6,250 meter dari paras laut (mdpl) diikuti San Feng (5,355 mdpl), Er Feng (5,276 mdpl) dan Da Feng (5,025 mdpl).

Sehingga hari ini, tidak lebih daripada 40 pendaki pernah menjejakkan kaki di puncak Yaomei Feng kerana bentuk muka buminya yang agak berbahaya dan memerlukan kemahiran teknikal yang tinggi.

Kebanyakan agensi pelancongan di sana hanya menyediakan pakej pendakian ke Da Feng dan Er Feng yang lebih mudah diakses pendaki.

Baru-baru ini penulis berpeluang menyertai ekspedisi ke Gunung Siguniang bersama sembilan lagi pendaki untuk menawan puncak Da Feng anjuran Kelab Jelajah Alpine - Malaysia (KJA-M) dan Puncak Ventures SRA Sdn. Bhd.

Ekspedisi kami bermula di Rilong, sebuah pekan kecil yang terletak kira-kira 200 kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa Shuangliu Chengdu.

Di Rilong yang terletak pada ketinggian 3,200 mdpl, kami menghabiskan masa selama dua hari untuk menyesuaikan tubuh dengan altitud tinggi (acclimatize).

Antara aktiviti yang dilakukan ialah ke Changping Valley, sebuah lembah terletak berdekatan Gunung Siguniang yang mempunyai landskap semula jadi begitu indah.

Changping Valley amat sesuai untuk dikunjungi bersama ahli keluarga. Selain bersantai melihat pemandangan, pelbagai aktiviti lain juga boleh dilakukan seperti menunggang kuda dan berkhemah.

Semasa di Rilong, tahap kesihatan kami dipantau dari semasa ke semasa dengan bacaan kandungan oksigen dalam darah (SPO2) dan denyutan nadi diambil.

Bacaan SPO2 yang tinggi dan kadar denyutan nadi yang rendah menunjukkan seseorang itu berada dalam keadaan baik dan cergas untuk mendaki.

Hari pertama pendakian bermula dari Outdoor Activity Management Center. Pendaftaran perlu dilakukan di sini bagi membolehkan kami memasuki Taman Negara Gunung Siguniang.

Sepanjang pendakian ke Kem Tea House, kami dihidangkan dengan pemandangan menakjubkan dari banjaran gunung serta hutan alpine, suatu pemandangan yang sebelum ini hanya dapat dilihat di dalam poskad.

Selepas hampir lima jam berjalan, kami tiba di Kem Tea House yang terletak pada ketinggian 3,600 mdpl.Terdapat kabin di situ tetapi kami memilih untuk tidur dalam khemah.

Hari berikutnya, kami meneruskan perjalanan ke Kem Induk Da Feng. Perjalanan kali ini lebih mencabar kerana suhu semakin menurun ditambah dengan angin yang kuat.

Kepala pula mula terasa digigit-gigit, tanda-tanda hendak diserang penyakit akut gunung (AMS).

Bagaimanapun, selepas hampir empat jam mendaki, kami semua berjaya tiba di Kem Induk Da Feng yang terletak pada ketinggian 4,300 mdpl.

Di kem tersebut, kami banyak meluangkan masa berehat di dalam khemah kerana angin di luar terlalu kuat dan sejuk. Sesekali kami keluar dari khemah untuk acclimatize, mengisi perut dan membersihkan diri.

Keesokan harinya iaitu seawal pukul 3 pagi, kami dikejutkan ketua ekspedisi, Muhammad Illham Ishak untuk bersiap bagi meneruskan pendakian ke puncak.

Setelah memastikan semua peralatan penting seperti abah-abah, crampon, kapak ais dan helmet dibawa, kami memulakan perjalanan dalam keadaan gelap dengan dibantu oleh lampu kepala.

Pendakian ke puncak agak mencabar kerana terpaksa menempuh trek diliputi salji.

Kira-kira empat jam pendakian, kami tiba di crampon point. Di situ kami memasang crampon bagi memudahkan pendakian di atas permukaan salji yang semakin tebal.

Pendakian diteruskan dengan langkah semakin perlahan. Pada waktu itu, mulalah menyumpah seranah diri sendiri yang malas melakukan latihan sebelum ini.

Sekali-sekala terasa kepala digigit-gigit semula. Namun kami kuatkan mental dan tidak mahu melayan segala perasaan yang boleh membuatkan kami putus asa di tengah jalan.

Kira-kira sejam selepas pendakian dari crampon point, kami akhirnya berjaya menjejakkan kaki ke puncak Da Feng.

Ketika itu pelbagai perasaan menyelubungi penulis. Ada rasa terharu, gembira dan bahagia. Terlintas di hati penulis agaknya inilah kemanisan yang dirasai oleh orang yang berjuang tanpa putus asa.

Kami menghabiskan masa bergambar di puncak selama kira-kira 30 minit sebelum meneruskan perjalanan turun ke Kem Induk Da Feng.

Dari Kem Induk Da Feng, sebahagian daripada kami menunggang kuda untuk turun ke Rilong manakala sebahagian lagi menunggang kuda dari Kem Tea House.

Kira-kira pukul 6 petang, kami tiba di hostel menandakan misi menawan ‘kakak sulung’ tamat dengan rasmi dan jayanya.

Ekspedisi ini membekalkan kami dengan seribu kenangan dan sudah pasti kami akan kembali lagi ke Gunung Siguniang untuk meminang si ‘kakak nombor dua’ pula.