Pengalamannya menanggung kesakitan akibat penyakit kanser limfoma sebanyak dua kali menyedarkan Prof. Datuk Dr. Noordin Darus, 65, bahawa perubatan moden bukanlah jawapan kepada semua penyakit.

Berasal dari Kubang Semang, Bukit Mertajam, beliau mula disahkan menghidap kanser limfoma tahap tiga pada 2001 dan terpaksa menjalani rawatan kimoterapi yang menyakitkan namun amalannya meminum air zam zam yang diberi rakan-rakan berjaya menghilangkan kesan sampingan rawatan itu.

“Air zam zam rupa-rupanya dapat meleraikan racun yang terdapat dalam kimoterapi. Badan saya jadi ringan dan saya mula mendekati konsep air berkenaan untuk mencari formula yang hampir kepada air zam zam semata-mata kerana tidak mahu menjalani rawatan kimoterapi,’’ katanya yang merupakan Pengasas dan Pengerusi Eksekutif WorldWellness Network Sdn. Bhd.

Menurut Dr. Noordin, hasil kajiannya mendapati konsep air hanya ada tiga iaitu alkali, mineral dan tenaga. Sehubungan itu beliau melakukan kajian berulang kali dan akhirnya berjaya menghasilkan penapis air berkonsepkan aura dikenali Rx Water yang mula dipasarkan pada 2003.

Selepas disahkan bebas kanser selama hampir 19 tahun, pada 2011 beliau diuji lagi dan disahkan menghidap kanser yang sama namun kali ini Dr. Noordin tekad untuk tidak mengambil sebarang ubat-ubatan moden.

“Kali pertama saya disahkan menghidap kanser, saya tahu semuanya berpunca daripada tekanan hidup yang merupakan baja kepada kanser dan kali kedua saya dapati ia berpunca daripada amalan pemakanan yang tidak dijaga. Saya terima semua itu kerana bagi saya ia adalah ilmu yang hendak diberikan Allah kepada saya,’’ katanya.

Beliau ke hospital hanya untuk mengesahkan penyakit tersebut kemudian nekad mengamalkan diet yang disusun sendiri selain mengamal pemakanan sunnah melalui terapi air dan garam serta tidak mengambil gula, susu dan daging. Akhirnya selepas dua bulan beliau bebas daripada kanser.

Kata Dr. Noordin, beliau tidak mahu menyimpan ilmu yang diterima itu sebaliknya mahu memanfaatkan kepada semua rakyat negara ini. Justeru beliau mengadakan program khusus `Sembuh Tanpa Ubat’ untuk orang ramai dengan hanya mengenakan bayaran RM25 seorang. Mereka akan diberikan maklumat tentang perincian tentang penyakit sehinggalah ke peringkat protokol pemakanan.

“Hendak menjadi hero kepada dunia tidak boleh dan saya juga tidak mampu menukar sikap penduduk Malaysia. Namun saya rasa jika saya boleh mengubah beberapa orang dan kita gembelengkan tenaga perjuangan yang positif ke arah kesihatan sendiri, kesihatan adik-beradik dan keluarga maka kita akan menghasilkan beratus-ratus malah beribu-ribu orang yang sihat,’’ katanya.

Ujar beliau, penyakit diabetes, kolesterol dan darah tinggi adalah penyakit yang paling mudah sembuh jika mengamalkan protokol diet yang diberinya iaitu sepantas tiga hari.

Ramai yang tidak mempercayainya, kata Dr. Noordin malah kali pertama program tersebut dimuat naik dalam Facebook miliknya ramai netizen yang `membantainya’ kerana dakwa mereka kaedah itu sukar untuk dipercayai.

“Kaedah ini bukan perkara baharu malah sudah popular di Mexico, Australia dan Switzerland. Mereka lari daripada perubatan moden dan hasilnya mereka sembuh lebih cepat tanpa kesan sampingan selain kesihatan terjamin,’’ ujar beliau.

Tegas Dr. Noordin, untuk sihat bukannya susah dan mahal malah untuk menjaga kesihatan juga tidak memerlukan kos yang tinggi jika mereka mengamalkan konsep diperkenalkannya itu.

“Penyakit ini ada pelbagai peringkat. Ada yang mudah diubati seperti diabetes, kolesterol dan darah tinggi dan ada yang memerlukan tempoh yang lebih lama untuk diubati seperti kanser, tiroid, arthritis, gout dan penyakit hati selain autisme tetapi semuanya boleh sembuh

“Susah atau senang ada jawapannya kerana Islam mengajar bahawa setiap penyakit ada penawarnya dan jika kita faham kita tidak akan berputus asa. Bagi saya doktor yang menggunakan perkataan there is no cure (tidak ada kesembuhan) atau there is no chance to live (tiada peluang hidup) adalah salah. Siapa mereka untuk menyangkal bahawa setiap penyakit ada ubatnya,’’ tegas beliau.

Kata beliau, falsafah perubatan sepatutnya melihat lebih ramai masyarakat yang sihat namun perkara sebaliknya berlaku dengan industri farmaseutikal menjana keuntungan berbilion-bilion ringgit melalui penghasilan ubat-ubatan moden. Oleh itu beliau mahu membetulkan falsafah tersebut.

“Terus terang saya katakan. Saya mahu betulkan falsafah ini walaupun nanti hanya saya yang tinggal seorang diri di Malaysia. Namun saya melihat banyak doktor di dunia yang sudah mempunyai konsep sama seperti ini.

“Kalau ada orang marahkan saya kerana memperjuangkan konsep tersebut, saya mahu bertanya adakah mereka yang marah ini berteraskan kepada wang sahaja. Jika tiada pesakit maka tiadalah wang?’’ tanyanya.

Beliau telah lali bukan sahaja dengan kecaman malah maki hamun daripada pelbagai pihak dalam memperjuangkan konsep perubatannya daripada perubatan frekuensi sehinggalah perubatan kuantum.

“Malah keluarga saya turut menasihatkan agar tidak terlibat dalam isu-isu sensitif kerana `takut’ melihat bahasa yang digunakan netizen terhadap saya. Namun saya beritahu mereka, saya minta maaf dan tidak boleh ikut cara mereka kerana gentar kepada gertakan manusia yang tidak masuk akal.

“Apabila saya berjaya menghasilkan produk yang berasaskan perubatan kuantum golongan tersebut juga `membantai’ saya seolah-olah apa yang diperkenalkan ini adalah teknologi pelik. Mereka lupa Jepun dan Korea telah membawa teknologi itu dan saya pula memajukannya melalui tenaga,’’ katanya.

Menurut Dr. Noordin, ada ilmu yang telah beliau jumpa namun banyak yang masih belum diketemukan. Oleh itu beliau mahu segera menyebarkan ilmu yang diperoleh kepada masyarakat kerana bimbang ajal menjemputnya terlebih dahulu.

“Usaha ini perlu disegerakan kerana umur saya kini sudah melebihi umur bonus. Tidak tahu bila Allah hendak tarik. Umur mengejar saya. Saya perlu sebarkannya kepada masyarakat sebanyak mungkin supaya ia boleh diterima pakai walau apa halangan yang terpaksa saya lalui,’’ katanya.

Kini beliau giat mempromosikan program jelajah negara `Diabetes Sembuh Tanpa Ubat’ bermula pada 5 April di Johor Bahru dan Kota Bharu pada 15 April lalu; Kuala Terengganu (2 Mei); Menara Worldwellness Petaling Jaya (4 Mei); Alor Setar (14 Jun); Pulau Pinang (15 Jun); Kota Kinabalu (22 Jun); Kuching (23 Jun); Melaka (29 Jun) dan Kuantan pada 6 Julai.