Meskipun sesetengah pihak, melabelkan kumpulan tersebut sebagai ‘pembuat bising’, namun tidak siapa menyangka mereka merupakan pemilik motosikal Yamaha RXZ terbesar di negara ini.

Oleh kerana reka bentuknya yang dianggap ‘seksi’ serta memiliki nilai estetika yang tinggi, tidak hairanlah segelintir mereka sanggup bekerja keras bagi menambah baik motosikal kesayangan.

Menyedari dunia permotoran perlu disatukan, seorang pemilik, Mohamad Faizal Ali, 34, mengambil inisiatif mengumpul mereka yang memiliki minat yang sama bernaung di bawah kelab Fullthrottle.

Diasaskan sejak 2008, kelab tersebut berjaya mengumpul sebahagian besar ahli dalam kalangan mereka yang datang dari negeri Pantai Timur terutama Terengganu.

‘‘Setiap tahun saya bersama dengan dua orang lagi ketua kelab akan membuat perancangan bagi mengadakan aktiviti konvoi bermotosikal. Kebiasaannya kami akan berkumpul sempena menyambut tahun baharu, bercuti pada Tahun Baharu Cina dan konvoi pada 1 Mei sempena Hari Pekerja. Ia bertujuan merapatkan lagi hubungan persahabatan serta berkongsi minat yang sama terhadap motosikal ini,’’ ujar Mohamad Faizal.

Lain orang lain caranya, itu ungkapan yang sesuai untuk merungkai cara bagi setiap orang yang memiliki komitmen hidup yang penuh mencabar dan mencari jalan bagi melepaskannya.

Berbeza dengan wanita, motosikal dianggap sebahagian daripada hidup golongan lelaki. Ini kerana minat yang mendalam boleh menjadi penawar dalam kehidupan seharian.

Menyedari hal ini, sempena menyambut ambang Tahun Baharu 2019, ahli Fullthrottle mengadakan konvoi santai ke Kampung Janda Baik, Pahang .

Bermula dari pusat henti (checkpoint) di Ajil, Terengganu ahli-ahli kelab berkumpul bagi meneruskan perjalanan ke lokasi yang ditetapkan.

‘‘Kampung Janda Baik sebenarnya tidak begitu jauh dari tempat berkumpul, namun kami terpaksa mengorbankan masa yang panjang iaitu kira-kira lapan jam disebabkan oleh kesilapan teknikal dan masalah luar jangkaan.

‘‘Dua buah kenderaan pacuan empat roda (Hilux) telah disediakan, namun masalah jentera di luar jangkaan.

"Kami perlu bekerjasama untuk membaiki motosikal ahli yang mengalami masalah. Menerusi konvoi ini, semangat setiakawan dan kesabaran ahli kelab amat dihargai untuk sama-sama sampai ke lokasi,’’ ujarnya. Oleh kerana 1 Januari 2019 jatuh pada hari Selasa, kebanyakan ahli kelab yang mempunyai anak kecil perlu menyiapkan kelengkapan persekolahan

Bagi Mohamad Faizal, dia menimbangkan semua faktor dan kekangan yang dihadapi ahli kelab sehingga mengambil keputusan untuk menganjurkan konvoi santai di kawasan yang berdekatan.

‘‘Memandangkan konvoi tahun baharu sebelum ini diadakan dua kali berturut-turut ke Langkawi, konvoi ke Janda Baik lebih menekankan konsep santai yang bermula pada 28 Disember sehingga 31 Disember lalu,’’ ujarnya.

Tambahnya, perjalanan memasuki hari kedua, mereka bergerak menuju ke Lemang To’ki dan Restoran Ikan Patin Temerloh. Kebiasaannya kumpulan daripada kelab lain turut berkumpul di kawasan popular berkenaan sebelum meneruskan perjalanan.

Selain menikmati juadah kegemaran , mereka turut berkongsi pendapat serta pandangan masing-masing dalam mengembangkan minat terhadap dunia permotoran.

‘‘Sebagi tanda kenangan,se tiap aktiviti yang diadakan, ahli merakam seberapa banyak gambar yang mungkin.

“Waktu bergerak pantas, namun kenangan sebegini seharusnya diabadikan dalam diri setiap ahli,’’ kata Mohamad Faizal lagi.

Penuhi seruan lima waktu

Bagi setiap ahli yang beragama Islam, sudah pasti mempunyai tanggungjawab mereka terhadap Yang Maha Esa.

Menurut Mohamad Faizal Ali, bukan hanya berkonvoi bersama-sama, ketua kelab itu turut menekankan tentang kepentingan menunaikan solat apabila tiba waktunya.

‘‘Walaupun jelas kami obses terhadap dunia permotoran, namun ia bukan alasan mengabaikan tuntutan agama. Sebagai ketua, saya dipertanggungjawabkan untuk merancang perjalanan yang selamat serta diberkati. Setiap ahli yang menyertai konvoi ini perlu akur dengan rancangan yang telah ditetapkan,’’ kata Mohamad Faizal.

Menurutnya, cara tersebut merupakan amalan yang ditekankan kepada mereka yang ‘liat’ untuk menunaikan solat lima waktu dan sedikit sebanyak membantu mendisiplinkan keseluruhan ahli Fullthrottle.

Jika dibandingkan dengan industri permotoran lain, motor RXZ keluaran Yamaha telah dihentikan keluarannya yang sekali gus menjadikannya sebagai aset berharga kerana bilangan yang semakin terhad dan ‘diburu’ oleh sang jejaka.

‘‘Hal ini telah menyebabkan motor RXZ menjadi satu kegilaan bagi golongan muda masa kini dan memiliki pasaran yang tinggi. Justeru, bagi pemilik RXZ, mereka akan menaik taraf motosikal masing-masing dengan menambah aksesori yang berkualiti,’’ katanya.

Tambahnya lagi, pemilik sanggup ke Indonesia dan Thailand bagi mendapatkan aksesori yang dianggap sebagai edisi terhad.

Situasi sebegini menaikkan nilai aset tersebut sehingga mencecah puluhan ribu ringgit.

Berkongsi lebih lanjut Mohamad Faizal memberitahu, topi keledar adalah elemen yang paling penting bagi seseorang penunggang motosikal bagi memantapkan lagi penampilan mereka.

‘‘Kebiasannya pemilik motosikal sukakan topi keledar keluaran Korea mahu pun Jepun. Harganya mencecah hampir RM60,000, namun berbaloi memandangkan aksesori berkenaan terhad dan sukar untuk diperoleh.

‘‘Kemunculan topi keledar tiruan yang berlambak di pasaran tidak mampu untuk menandingi yang asli.

Mereka yang berpengalaman dalam dunia permotoran mahir mengecam `kecacatannya’ dari aspek warna dan corak,’’ katanya.