Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Dzulkefly Ahmad berkata, acara konvoi selama dua hari itu mula bergerak dari Melaka dan akan melalui enam buah daerah di negeri ini.

Katanya, konvoi akan disertai seramai 133 peserta melibatkan 53 buah kenderaan terdiri daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan antaranya Jabatan Penerangan negeri, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Perbadanan Filem Nasional Negara (Finas), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Laluan konvoi yang mula bergerak dari Melaka akan terus ke Muar, Parit Jawa, Semerah,Batu Pahat, Senggarang, Rengit, Benut, Ayer Baloi Pontian, Pekan Nanas, Gelang Patah dan Johor Bahru.

“Konvoi tersebut juga akan berhenti di Rumah Limas, Kundang Ulu, Tangkak pada hari kedua konvoi (6 Ogos) bagi majlis pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri yang akan dirasmikan Menteri Besar Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Jabatan Penerangan di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengarah Jabatan Penerangan, Zainuddin Ismail.

Dalam pada itu, Dzulkefly berkata, acara perbarisan Hari Kebangsaan 2019 peringkat negeri akan diadakan di Dataran Bandaraya Johor Bahru pada 31 Ogos ini.

Beliau menjelaskan, pada tahun ini tiada sambutan ambang merdeka diadakan kerana menjaga kemuliaan sambutan Awal Muharam yang jatuh pada tarikh 1 September ini.

“Pada waktu pagi sambutan Hari Kemerdekaan, kita ada acara perbarisan manakala pada waktu malam pula diadakan majlis tahlil dan doa kesyukuran sempena hari Kebangsaan disekalikan dengan sambutan Maal Hijrah peringkat negeri yang berlangsung secara serentak di masjid-masjid daerah di negeri ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE