“Kalau saya beri suplemen kalsium untuk anak saya, bolehkah doktor?”

“Kalau masuk besi tulang anak saya lagi cepat bercantumkah doktor?”

Ini adalah antara soalan yang kerap ditanya oleh ibu bapa kepada doktor apabila membawa anak mereka ke hospital akibat terjatuh dan mengalami kepatahan tulang. Situasi ini selalunya terjadi apabila kanak-kanak terjatuh ketika sedang asyik bermain, lebih-lebih lagi semasa memanjat monkey bar di taman permainan atau pokok yang tinggi di pekarangan rumah. Biasanya kanak-kanak ini jatuh dalam keadaan lurus atau bengkok sambil bahagian tapak tangan menekan ke tanah untuk mengelakkan bahagian muka atau kepala daripada tercedera.

Ini akan menyebabkan patah tulang lengan pada bahagian atas siku. Kanak-kanak yang cedera ini kemudian akan dibawa ke unit kecemasan dalam keadaan kesakitan akibat siku bengkak dan kadang kala bengkok. Dalam kes-kes yang serius, kepatahan ini boleh menyebabkan kecederaan pada saraf di bahagian lengan atau menekan salur darah utama, brachial artery yang mana boleh menyebabkan tangan pesakit mati atau gangrene.

Menurut Pakar Runding Ortopedik, Arthroskopik Bahu dan Lutut, Hospital Columbia Asia Cheras, Dr. Azfar Rizal Ahmad, kepatahan tulang bererti repihan pada tulang dan keadaan ini dikelaskan sebagai patah terbuka atau kompaun apabila salah satu atau kedua-dua hujung tulang yang patah menembusi kulit.

DR. AZFAR RIZAL menunjuk bahagian tangan yang sering mengalami kepatahan tulang.
DR. AZFAR RIZAL menunjuk bahagian tangan yang sering mengalami kepatahan tulang.

“Tulang kanak-kanak adalah lebih fleksibel dan kurang cenderung untuk pecah atau patah. Kepatahan tulang kanak-kanak dialami oleh mereka yang berusia 18 tahun ke bawah,” jelasnya.

Ujar beliau, patah tulang dalam kalangan kanak-kanak selalunya berlaku di bahagian siku, tangan dan paha. Terdapat pelbagai punca termasuk jatuh, bergurau (tolak-menolak) atau penderaan. Apabila meningkat remaja, golongan ini sering mengalami kepatahan tulang apabila bersukan kemalangan jalan raya kerana menunggang motosikal tanpa lesen.

Berbeza dengan golongan dewasa, tulang kanak-kanak diselaputi oleh selaput tulang atau periosteum yang lebih tebal. Lapisan periosteum yang tebal ini menyalurkan banyak darah dan nutrisi kepada tulang kanak-kanak dan ini membolehkan tulang yang patah cepat sembuh. Periosteum yang tebal ini juga menyebabkan tulang patah tidak banyak beralih dan rawatan lebih mudah kerana majoriti boleh sembuh dengan sendiri tanpa memerlukan pembedahan.

Tulang kanak-kanak lebih banyak liang daripada orang dewasa, sebab itulah ia kurang padat berbanding dewasa dan menyebabkan ia lebih lembut dan cenderung membengkok sebelum patah. Sementara itu, jenis-jenis patah berbeza kerana ia boleh melibatkan plet pertumbuhan (fisis). Sekiranya ini berlaku boleh menjejaskan tumbesaran tulang tersebut.

SENTIASA amalkan langkah keselamatan dalam apa jua aktiviti yang dilakukan.
SENTIASA amalkan langkah keselamatan dalam apa jua aktiviti yang dilakukan.

Dr. Azfar Rizal memberitahu, kepatahan kanak-kanak didiagnosis menggunakan imbasan sinar-X. Imbasan CT atau MRI jarang digunakan sebagai panduan untuk rawatan, melainkan kepatahan itu adalah kepatahan teruk dan melibatkan sendi atau melibatkan saraf.

“Selain penggunaan radiologi untuk diagnosis dan prognosis, pemeriksaan klinikal juga penting untuk mengenal pasti masalah-masalah yang melibatkan vaskular atau saraf. Jika ini berlaku, pembedahan kecemasan terpaksa dilakukan untuk memulihkan masalah tekanan pada salur darah atau pada saraf.

“Disebabkan oleh faktor pertumbuhan tulang yang pesat, rawatan pembetulan tulang patah bagi kanak-kanak tidak perlu terlalu tepat seperti pesakit dewasa. Tulang kanak-kanak yang sembuh akan meneruskan tumbesarannya dan pada masa sama akan membetulkan sendiri (remodelling) masalah bengkok mahupun masalah kependekan yang tidak ketara. Lebih muda kanak-kanak terbabit, lebih banyak masa untuk tulang patah pulih kembali,” jelasnya lagi.

Katanya, majoriti patah tulang pada kanak-kanak tidak perlu dirawat dengan pembedahan dan hanya perlu dibetulkan kembali kepada kedudukan asal sebelum dibelat dengan bahan belat. Bergantung juga kepada tahap kepatahan tulang, doktor akan membuat pilihan sama ada untuk membelat sepenuhnya atau separa. Simen kapur dan gentian kaca ialah bahan belat yang biasa digunakan untuk membalut tangan.

Walaupun majoriti kes tulang kanak-kanak boleh dirawat secara konservatif, ada juga kepatahan pada kanak-kanak yang terpaksa dibedah.

Justeru, sekiranya kanak-kanak ini terjatuh dan mengadu rasa sakit pada bahagian siku atau siku kelihatan bengkak dan bengkok, segeralah bawa mereka ke hospital bagi pemeriksaan lanjut.