Berbeza pula kepada kanak-kanak yang dilihat lebih sukar untuk melalui proses kehilangan insan yang disayangi terutama ahli keluarga terdekat atau haiwan peliharaan, yang boleh menyebabkan kemurungan jika tidak diurus dengan baik.

Jika anda merupakan penjaga kepada kanak-kanak yang berdepan dengan kematian, ada perkara yang perlu diambil berat, kerana membiarkan kanak-kanak di dalam dunia meratapi kesedihan terlalu lama adalah tidak baik untuk kesihatan mental mereka.

Hakikatnya, memberikan ruang untuk kanak-kanak berkenaan meluahkan perasaan sedih mereka bagus bagi memberikan daya tahan berdepan situasi sama apabila dewasa kelak, namun ia harus dengan cara yang betul.

Menurut Pakar Perunding Psikiatri Kanak-kanak dan Remaja Doktorbudak.com, Dr. Norharlina Bahar, kefahaman konsep mengenai kematian dan cara kanak-kanak bersedih (grief) bergantung kepada umur mereka.

Katanya, bermula umur dua tahun hingga empat tahun kematian dilihat sebagai proses yang boleh balik (reversible), manakala pada usia lima tahun hingga tujuh tahun mereka mula merasakan kematian adalah satu yang sudah berakhir dan si mati tidak akan kembali lagi, selain berasa bertanggungjawab di atas kematian seseorang.

“Misalnya, jika ibunya mati, kanak-kanak berkenaan akan merasakan ibunya mati kerana dia tidak melakukan apa yang disuruh ibunya.

“Berbeza pula kanak-kanak berusia tujuh tahun hingga 11 tahun, yang mana mereka sedar tentang kematian itu bukanlah yang terakhir, tetapi si mati tidak akan kembali, selain berasakan kematian sebagai satu hukuman,” katanya.

Lazimnya, kanak-kanak berusia 11 tahun hingga 18 tahun telah memahami konsep kematian, serta berkebolehan berfikir secara abstrak.

Jelas Dr. Norhalina, setiap kanak-kanak mengendalikan penerimaan kematian atau bersedih adalah berbeza serta bergantung kepada umur mereka.

Tambahnya, usia dua tahun hingga empat merupakan usia yang lebih mudah untuk diuruskan berbanding kanak-kanak berusia 11 tahun hingga 18 tahun yang lebih ekstrem dalam menerima perkhabaran kematian.

“Bagi kanak-kanak (terutama yang mereka yang masih sangat kecil), pengalaman kehilangan seseorang disebabkan oleh kematian sangat bergantung kepada bagaimana reaksi orang dewasa di sekeliling mereka terhadap kematian dan kehilangan.

“Reaksi orang dewasa kadangkala lebih mempengaruhi emosi kanak-kanak berbanding kematian itu sendiri,” ujarnya.

Jelasnya, pengendalian kanak-kanak dalam berdepan dengan kematian ahli keluarga perlu dilakukan mengikut peringkat usia mereka dan sama ada perlu hadir ketika pengebumian, juga perlu bergantung kepada umur dan keadaan kanak-kanak itu.

Tambah Dr. Norhalina, kesedihan selepas kematian adalah satu proses yang perlu dialami semua termasuk kanak-kanak walaupun mereka masih belum memahaminya.

“Pun begitu, sekiranya proses ini terganggu iaitu tidak berlaku langsung kesedihan selepas kematian atau kesedihan terlalu lama, boleh menyebabkan berlakunya komplikasi lebih berisiko,” ujarnya.