Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad menegaskan, mereka juga perlu menolak terhadap kepercayaan atau terapi tertentu yang tiada bukti keberkesanan dengan dikatakan mampu merawat penyebab kedua tertinggi kematian rakyat Malaysia itu.

Ujar beliau, dianggarkan 60 peratus kanser dikesan dalam kalangan rakyat Malaysia pada tahap yang lewat iaitu ketiga dan keempat dan ia disebabkan oleh kurangnya kesedaran menjalani ujian pengesanan awal.

“Sebaliknya Kementerian Kesihatan telah menyediakan perkhidmatan saringan untuk empat jenis kanser iaitu payudara, serviks, kolorektal dan oral di klinik kesihatan. Manakala saringan bagi individu berisiko tinggi untuk kanser tertentu seperti hati, prostat dan nasofarinks (terletak antara tekak dan hidung) pula boleh dilakukan di hospital kerajaan.

“Oleh demikian usaha kerajaan memperkenalkan Skim Perlindungan Nasional B40 (mySalam) dan Skim Peduli Kesihatan (Peka B40) bertujuan untuk memperluaskan akses kepada perkhidmatan kesihatan diperlukan dan mengurangkan beban kos rawatan pelbagai penyakit termasuk melibatkan kanser,” katanya dalam kenyataan bersempena Hari Kanser Sedunia 2019 hari ini.

Pada masa sama, Dzulkefly memaklumkan, tiga jenis kanser tertinggi terdapat dalam kalangan lelaki rakyat Malaysia adalah kolorektal iaitu 16.4 peratus, paru-paru (15.8 peratus) dan nasofarinks (8.1 peratus) manakala wanita pula adalah payudara (32.1 peratus), kolorektal (10.7 peratus) dan serviks (7.7 peratus).

“Beban penyakit kanser dijangka akan meningkat disebabkan oleh faktor-faktor risiko penyakit tidak berjangkit atau NCD yang tinggi dan populasi penuaan di negara.

“Oleh itu, setiap rakyat Malaysia perlu memainkan peranan masing-masing demi mengurangkan beban kanser yang saban tahun semakin meningkat,” katanya.

Menurut beliau, Hari Kanser Sedunia 2019 yang disambut setiap 4 Februari yang kali ini membawa tema ‘Saya Akan dan Saya Boleh’ bertujuan untuk mengesa semua individu dalam menyuarakan komitmen masing-masing memerangi kanser.

“Hari Kanser Sedunia sebuah inisiatif peringkat global bertujuan untuk menyatukan komuniti dunia memerangi wabak kanser selain bertujuan mencegah berjuta-juta kematian akibat penyakit itu yang boleh dielakkan dengan meningkatkan kesedaran dan pengetahuan dalam kalangan individu, keluarga dan komuniti,” katanya.-UTUSAN ONLINE