Oleh itu, perlu dididik hati dan diri dengan melakukan lima perkara yang memang sukar hendak dilaksanakan. Pertama, ringan tulang membantu dan murah hati untuk memberi. Kedua, mengakui kesilapan sendiri. Ketiga, sebut kebaikan orang lain. Keempat, bela orang yang diumpat, bukan menokok tambah umpatan itu. Kelima, buat baik dengan orang yang buat jahat dengan kita. Hal ini hanya boleh dilakukan oleh individu yang hatinya bersih dan hatinya penuh kehambaan kepada Allah SWT, serta berserah diri sepenuhnya kepada Yang Maha Esa dengan reda.

Empat hasil kehidupan yang positif pula diukur daripada empat perkara, iaitu ketenangan, kebahagiaan, kesihatan dan kekayaan. Pertama, untuk mendapatkan ketenangan perlu tingkatkan ketakwaan. Orang tenang sentiasa menang. Kedua, untuk mendapatkan kebahagiaan, jaga silaturahim. Bahagia dan membahagiakan. Ketiga, untuk mendapatkan kesihatan, pilih pemakanan iaitu makan makanan sihat, bukan menikmati makanan sedap. Keempat, untuk mendapatkan kekayaan, gigih dalam pekerjaan kerana wang boleh menjadi alat untuk meningkatkan ketakwaan.

Namun begitu, tidak semua orang berjaya mendapat keempat-empat perkara tersebut dalam hidup mereka. Ada orang memiliki wang dan harta yang banyak tetapi hidup mereka tidak tenang dan bahagia kerana menghidapi penyakit kronik. Sebanyak mana wang dan harta yang ada tidak akan dapat mengubati penyakit, sebaliknya hidup mereka hanya mengira hari kematian. Ingatlah wang dan harta tidak mampu membahagiakan apabila jatuh sakit.

Pada masa sama, ada orang miskin tetapi hidup mereka bahagia dan tenang. Sebabnya, Allah anugerahkan mereka kesihatan yang baik. Walaupun segala-galanya memerlukan wang tetapi tidak semua masalah boleh diselesaikan dengannya. Ada orang yang kaya-raya hidup mereka namun hidup tidak tenang kerana takut hilang kekayaan dan lebih malang lagi semakin tamak dengan kekayaan duniawi. Mereka sentiasa tidak berpuas hati dengan apa yang ada. Dapat satu hendak dua, dapat dua hendak tiga dan seterusnya. Hingga sanggup berbuat apa sahaja meskipun menyalahi hukum agama dan undang-undang.

Sebaliknya ada orang yang miskin tetapi sentiasa bersyukur dan reda dengan apa yang dimiliki dan tidak pernah persoalkan apa yang tiada. Ingatlah bahawa wang akan membuka topeng seseorang sama ada dengan wang tersebut dia akan menjadi orang yang lebih beriman atau sebaliknya. Jangan jadikan wang bersultan pada mata dan bersultan pada hati tetapi jadikannya sebagai alat untuk menjadi insan lebih bertakwa dan lebih pemurah. Kebahagiaan yang hakiki adalah apabila kita membuat sesuatu yang bermakna dengan penuh makna. Hakikatnya, fikiran yang mengawal diri seseorang.

Sehubungan itu. wajarkah kita boleh menyalahkan orang lain atas keadaan sekarang? Kita yang memilih fikiran dan respons atas setiap yang berlaku. Jika kita sentiasa berfikir hanya untuk mendapat dan tidak memberi, kebahagiaan tidak akan dikecapi sampai bila-bila pun. Sekiranya seseorang itu hanya memilih-milih untuk memberi kebaikan kepada orang tertentu, dia juga sebenarnya belum cukup baik. Percayalah, kebahagiaan yang sebenar adalah ketika seseorang mampu melakukan kebaikan dengan semua orang, tanpa mengharapkan balasan, tanpa mengira sama ada orang berkenaan pernah menyakitkan hatinya atau tidak. Carilah kebahagiaan dengan memberi kebahagiaan kepada orang lain.

Jom audit diri. Ketika bangun pagi adakah kita berasa bahagia atau tidak? Kalau merasa tidak bahagia, cuba fikir dan renung kembali apa yang telah dilakukan semalam sehingga menyebabkan kebahagiaan hilang pada pagi hari yang penuh barakah itu? Lebih membuatkan kita murung, apabila mengenangkan apa yang dirancang, semuanya tidak menjadi.

Cuba pandang anak-anak, biasanya mereka bangun pagi dengan penuh keceriaan. Jika malam tadi mereka bergaduh adik-beradik kerana berebut mainan, bangun pagi masing-masing sudah melupakan kisah perbalahan semalam. Contohi juga kanak-kanak umur bawah dua tahun ini. Bangun bertatih berjalan, walaupun jatuh, bangun lagi, berjalan lagi. Mengapakah mereka tidak pernah berasa serik?

Sebab cuma satu, mereka hanya fokus kepada proses dan mereka tidak fokus pun kepada hasil.

Manakala orang dewasa apabila berbuat sesuatu terlalu memikirkan sesuatu, berhati-hati, takut gagal dan terlalu fokus kepada hasil. Oleh sebab itu untuk bahagia, setiap saat fikirkan proses membuat sesuatu dengan niat yang tulus, usaha yang lurus tanpa terlalu fokus kepada hasil. Jika tidak capai sasaran kita mesti berlapang dada menerima ketentuan Allah. Dengan cara ini kita tenang dan bahagia.

Apabila tenang, kita akan bahagia. Apabila bahagia kita akan gembira. Walau berlaku sesuatu yang tidak diingini sekalipun, kita tidak akan terkesan. Akhirnya kita akan tahu suatu hari nanti diri ini akan kembali bertemu Allah dengan membawa jiwa yang tenang. Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak.