NRT menggantikan nikotina di dalam rokok untuk satu jangka masa dan dosnya akan dikurangkan mengikut keadaan individu dan akhirnya menghentikan rawatan. Mengikut kajian, individu yang menggunakan NRT mempunyai kebarangkalian dua kali ganda untuk berhenti merokok sepenuhnya berbanding tanpa penggunaan ubat-ubatan.

Paling utama, ia dapat mengurangkan kesan tarikan (withdrawal symptom) yang mungkin ada dan sebab utama kenapa perokok tidak dapat berhenti yang mana bertambah berat badan merupakan kesan tarikan jangka masa panjang yang biasa berlaku.

“Fakta ini penting terutama untuk golongan wanita yang merokok kerana walau jumlah mereka tidak ramai, tetapi perlu mereka tahu yang kesan tarikan pertambahan berat badan dapat dielakkan dengan NRT,” kata Dr. Amer Siddiq ketika ditemui di Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kajian di Jepun menunjukkan bahawa menggantikan rokok dengan NRT dapat membantu mengelakkan pertambahan berat badan berbanding memilih untuk berhenti merokok dengan sendiri. Anda perlu disiplin mengikut saranan ahli perubatan dalam penggunaan NRT bagi membantu ketagihan nikotina dengan penggantian nikotina yang minimum.

Program m-quit

Sama ada anda seorang perokok yang cuba untuk berhenti tabiat buruk itu atau mahu orang yang anda sayangi untuk berhenti merokok, anda pasti tahu fakta yang ia bukanlah sesuatu yang mudah. Ini semua kerana nikotina - bahan di dalam produk tembakau itu yang sangat menagihkan.

Nikotina sebenarnya mengubah kimia otak anda untuk membuat anda mengidamkan ia dengan lebih kuat. Ia juga membuatkan anda merasa gejala-gejala tarikan yang tidak menyenangkan apabila anda tidak mendapat jumlah nikotina yang ditagih tubuh anda.

Walaupun gejala tarikan biasanya hilang setelah anda berhenti merokok selama beberapa minggu, sesetengah orang mendapati menggunakan NRT memudahkan peralihan tersebut dan membuat berhenti merokok lebih mudah.

NRT merupakan cara yang paling berkesan dan sering digunakan mereka yang ingin berhenti merokok. Bahan pengganti nikotina yang berfungsi memberikan kandungan nikotina yang diperlukan oleh badan terdapat dalam bentuk gula-gula getah, pelekat badan dan semburan.

Ia merembes nikotina dalam dos yang terkawal dalam satu tempoh bagi membantu perokok menangani keinginan mereka terhadap nikotina dan simptom penarikan. Ia juga digunakan secara berkala sehingga badan benar-benar bebas daripada kebergantungan dengan kandungan nikotina.

Penggunaan NRT dapat mengurangkan atau menghilangkan terus simptom penarikan kerana pada mulanya individu akan diberikan dos nikotina dengan jumlah yang diperlukan.

Matlamatnya untuk mengurangkan pengambilan ubat tersebut secara perlahan dan akhirnya terus bebas nikotina tanpa sebarang ubat.

“Kami telah melatih kira-kira 3,000 ahli perubatan di seluruh Malaysia untuk membantu orang ramai berhenti merokok, khasnya melalui program M-Quit.

“Menerusi M-Quit, individu bukan sahaja mendapat konsultasi penggunaan dan dos yang sesuai NRT, mereka turut boleh mendapatkan sesi kaunseling yang membuatkan proses untuk berhenti lebih berkesan.

“Selain itu usaha kerajaan meluaskan kawasan larangan merokok merupakan usaha yang amat baik kerana dapat mengurangkan godaan untuk mereka yang mahu berusaha berhenti merokok di samping mengurangkan pendedahan tembakau kepada mereka yang tidak merokok,” ujar Dr. Amer.