DR. LIM POH HIN
DR. LIM POH HIN 

Pakar Perunding Neurologi Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri, Dr. Lim Poh Hin berkata, RLS juga dikenali sebagai penyakit Willis-Ekbom merupakan sejenis penyakit neurologi atau saraf yang menyebabkan pesakit mengalami rasa tidak selesa pada kaki seperti tapak kaki atau betis dan ada kalanya pada bahagian lain dalam badan seperti tangan.

Walaupun rasa tidak selesa, keadaan itu boleh dikurangkan untuk seketika dengan menggerakkan kaki atau berjalan tetapi rasa tersebut akan berulang apabila pesakit berehat semula malah gejala ini amat ketara pada waktu petang dan malam.

``Lazimnya pesakit akan memaklumkan kepada doktor yang mereka mempunyai keinginan kuat untuk menggerakkan kaki, biasanya merasa lenguh, kaki seperti ditarik, kebas atau semut-semut dan merasa tidak selesa sehingga merasa bisa-bisa pada kaki,’’ katanya.

Kata Dr. Poh Hin, oleh kerana tidur sering terganggu, pesakit tidak akan memperoleh tidur mencukupi sehingga boleh mengganggu prestasi kerja masing-masing.

Sebanyak 80 peratus pesakit RLS kerap mengalami pergerakan kaki atau tangan berkala seperti ditarik semasa tidur yang berlangsung selama 15 sehingga 40 saat bagi tempoh singkat atau sepanjang waktu tidur mereka dan kadang kala tidak disedari pesakit.

Kebanyakan pesakit yang mengalami penyakit ini merupakan individu dalam usia pertengahan dan warga emas tetapi lazimnya berlaku kepada golongan wanita.

Namun sehingga kini masih belum diketahui punca penyakit ini berlaku namun dipercayai RLS merupakan penyakit keturunan dan biasanya pesakit akan mula mengalaminya sebelum memasuki usia 40-an.

``Kita tidak pasti apa puncanya namun kita merasakan ia berpunca daripada otak yang terganggu apabila ada rasa gelisah dan terasa mahu menggerak kaki kerana merasa lenguh,’’ ujar beliau.

Katanya, terdapat bukti pesakit yang mengalami kekurangan zat besi dalam otak boleh menyumbang kepada RLS dan juga penyakit yang melibatkan sebahagian otak `basal ganglia’ iaitu sekumpulan neuron yang menggunakan bahan kimia dopamina yang terlibat mengawal pergerakan.

Pesakit yang mempunyai penyakit Parkinson, salah satu penyakit kekurangan dopamina mempunyai risiko tinggi menghidap RLS.

``Saya mempunyai seorang pesakit warga emas berusia 70 tahun yang memberitahu dia tidak pernah tidur lebih 20 minit dalam satu hari rasa sejak 20 tahun dan sering merasa tidak selesa. Setiap kali cuba berehat atau baring, dia pantas berdiri semula dan berjalan kerana merasa tidak selesa pada kaki,’’ katanya.

Lazimnya, pesakit akan mengalami RLS beberapa kali dalam tempoh seminggu namun ada yang mengalaminya setiap hari menyebabkan mereka sentiasa menggerakkan badan tanpa henti selain suka mundar mandir dan berbaring dalam keadaan resah dalam tempoh yang lama.

Menurut Dr. Poh Hin, sebelum memberi rawatan, doktor biasanya akan menyiasat latar belakang dan sejarah penyakit pesakit jika mempunyai ciri-ciri RLS terutama mempunyai keinginan kuat untuk menggerakkan kaki dan akan merasa gelisah jika tidak bergerak.

``Biasanya perasan ini lebih teruk pada waktu petang atau waktu tidur namun kita akan memastikan tidak ada penyakit lain seperti sawan, kebas akibat penyakit diabetes kerana jika pesakit mempunyai penyakit ini maka rasa gelisah itu bukan RLS kerana ciri penting RLS ialah bila bergerak, rasa gelisah itu akan berkurangan,’’ ujarnya.

Terdapat dua pendekatan rawatan dilakukan terhadap pesakit iaitu rawatan tanpa ubat dan rawatan ubat. Rawatan tanpa ubat adalah dengan melihat gaya hidup dan pemakanan pesakit termasuk tahap kualiti tidur mereka.

Jelas Dr. Poh Hin, doktor tidak akan memberi ubat-ubatan kepada pesakit namun ia hanya akan diberi jika RLS menjadi teruk sehingga mengganggu tidur ataupun jika rawatan pembetulan gaya hidup gagal membantu pesakit.

``Kita tidak mempunyai ubat untuk menyembuh RLS kerana penyakit keturunan biasanya tiada ubat untuk membetulkannya. Lagipun penyakit ini tidak berlaku sepanjang masa dan ada kalanya boleh hilang. Kemungkinan besar juga akan kembali dan boleh jadi lebih teruk apabila semakin tua atau pada usia pertengahan,’’ katanya.

Dr. Poh Hin menasihatkan individu atau ahli keluarga mereka yang susah tidur atau mundar-mandir sebelum tidur agar mendapatkan rawatan daripada pakar neuorologi kerana kemungkinan mereka mengalami RLS.