Bagaimanakah kanser hidung boleh dialami oleh seseorang, apatah lagi menyerang seorang jaguh badminton negara yang sentiasa aktif bersukan di samping menjalani kualiti kehidupan yang sihat dari segi diet dan pemakanan sebagai seorang atlet?

Bagi pemenang pingat perak temasya Sukan Olimpik Rio 2016 itu yang kini sedang mendapatkan rawatan kanser peringkat awal di Taiwan sejak Julai lalu, beliau tetap positif mampu sembuh dan bebas daripada penyakit tersebut.

Menurut Ahli Jawatankuasa Pusat Pertubuhan Doktor Islam Malaysia (PERDIM), Dr. Zubaidi Ahmad, sebarang penyakit kanser bermula di peringkat genetik di mana struktur DNA diganggu sehingga menjejaskan fungsi normal sel. Proses ini dinamakan mutasi DNA.

“NPC sangat sukar dikesan pada peringkat awal. Selalunya penyakit ini dikesan setelah kanser ini terlalu besar. Pesakit telah mengalami tanda-tanda yang lebih serius, berkemungkinan kanser sudah menjadi lebih teruk.

“Ia juga boleh bermula dengan pembengkakan kelenjar pada leher. Oleh itu pesakit yang mempunyai masalah batuk, selesema dan bengkakan kelenjar yang berlarutan agak lama, harus mendapatkan pemeriksaan doktor segera. Jangan bertangguh,” katanya.

Beliau berkata, NPC adalah kanser utama yang berlaku di kawasan nasopharynx (sebutan ‘nesofaring’) yang terletak di belakang hidung bahagian atas tekak.

Mengenai kaitan pemakanan pula, Dr. Zubaidi memberitahu mereka yang sering mengambil makanan bergaram seperti daging salai, ikan masin, lebih mudah mendapat penyakit NPC kerana faktor memproses makanan sebegini yang semakin tidak natural.

Menurut Dr. Zubaidi, belum ada pakar yang dapat menjawab soalan ini dengan tepat apakah punca penyakit NPC.

“Tetapi diperhatikan beberapa faktor di mana sebahagian pesakit mempunyai risiko yang lebih tinggi berbanding dengan orang lain untuk mendapat kanser pangkal hidung,” katanya.

Menurut Dr. Zubaidi, rawatan bagi NPC selalunya dalam bentuk radiotherapy, chemotherapy atau kombinasi keduanya.

“Rawatan untuk pesakit kanser yang masih di peringkat awal, adalah sangat baik. Bagi pesakit yang mengalami metastases (sel kanser telah pergi ke tempat lain), selalunya ia boleh berulang dan agak sukar dirawat,” katanya.

Beliau menasihatkan jika bekas pesakit NPC mengalami pendarahan hidung atau mempunyai bengkakan kelenjar di leher, pemeriksaan doktor harus dilakukan segera.

Selalunya pesakit datang ke klinik pakar ENT, apabila kanser ini telah membesar atau pergi ke tempat lain. Tanpa rawatan segera, NPC boleh membesar sehingga memenuhi rongga hidung dan tekak. Ia juga boleh mengubah struktur tulang di muka.

Selain itu, bagi penyakit NPC yang advanced, sel-sel kanser telah pergi jauh ke kelenjar sekeliling leher, masuk dalam tulang besar seperti tulang paha, organ hati dan kemungkinan ke otak.

“Bagi pesakit tahap tiga dan empat di mana sel kanser telah pergi jauh ke bahagian lain, prognosis (atau jangkaan hayat) pesakit tidak begitu baik,” akui Dr. Zubaidi lagi.