Saya pernah didatangi oleh seorang isteri berumur 48 tahun dan mempunyai empat orang anak. Wanita ini berkerjaya malah kelihatan menarik dengan berpakaian dan bertudung moden. Namun di sebalik itu isteri ini merasakan dirinya tidak sehebat dulu. Semuanya gara-gara wujudnya situasi tidak selesa seperti ada sesuatu dalam vagina yang mengganggu apabila bersama suami. Dia sering menolak ajakan suami dan ini mengecewakan si suami. Dia juga sering merasa rendah diri dengan keadaan dirinya yang kurang sempurna. Setelah melalui pemeriksaan didapati dia mengalami masalah uterine prolapse atau rahim jatuh peringkat awal.

Ramai yang pernah mendengar tentang ‘rahim jatuh’ atau dikenali sebagai uterine prolapse tetapi masih menganggap perkara ini tidak serius. Bagaimana ini berlaku? Perkara itu terjadi kerana otot-otot dan tisu pada kawasan pelvik telah menjadi lemah. Disebabkan otot pelvik yang lemah ini sokongan kepada rahim terkeluar daripada kedudukan asal dan menyebabkan rasa seperti ada sesuatu pada bahagian vagina. Ada juga yang menamakannya tombol atau tombong jatuh.

Peringkat-peringkat 
rahim jatuh;

Peringkat 1: Rahim turun di paras atas separuh vagina.

Peringkat 2: Rahim turun hampir ke permukaan pembukaan faraj.

Peringkat 3: Rahim menonjol keluar daripada faraj.

Peringkat 4: Rahim benar-benar keluar daripada faraj sepenuhnya.

Terdapat beberapa punca yang menyebabkan masalah ini;

  • Kehamilan dan bersalin melalui vagina.
  • Kelahiran bayi yang besar.
  • Fibroid yang besar.
  • Proses penuaan.
  • Menopaus disebabkan kekurangan hormon estrogen.
  • Obesiti atau kegemukan.
  • Batuk yang lama.
  • Sembelit berpanjangan.
  • Mengangkat barang-barang yang berat.
  • Mempunyai sejarah pembedahan di bahagian tersebut.

Simptom

  • Rasa seperti ada objek yang terkeluar daripada vagina.
  • Masalah kencing yang tidak terkawal atau terkucil terutama ketika batuk atau ketawa.
  • Masalah sembelit atau sukar membuang air besar secara lancar.
  • Rasa seperti otot longgar ketika hubungan intim atau rasa tidak selesa ketika bersama pasangan. Malah ada yang rasakan sakit ketika bersama.
  • Sakit belakang terutama peringkat yang teruk.

Ubahlah cara hidup anda;

  • Elakkan sembelit dengan mengambil makanan berfiber tinggi dan buah-buahan serta pengambilan air yang banyak.
  • Elakkan mengangkat barang-barang berat.
  • Dapatkan rawatan segera sekiranya anda mengalami batuk berpanjangan.
  • Cuba kurangkan berat badan. Dapatkan nasihat doktor sekiranya ingin melakukan pengurangan berat badan secara pantas.
  • Elakkan daripada kerap hamil atau mengandung pada jarak yang rapat antara satu-satu kelahiran. Dapatkan nasihat daripada doktor bagaimana untuk merancang kehamilan.

RAWATAN KONSERVATIF

  • Senaman kegel. Pesakit akan melakukan senaman dengan mengemutkan otot bahagian pelvik dan akan membantu menguatkan otot pelvik.
  • Vaginal pessary. Alat ini berbentuk seperti donut. Cara menggunakan alat tersebut adalah dengan meletakkannya di kawasan serviks. Alat itu akan tersekat di bahagian tersebut dan rahim tidak boleh turun ke bawah. Langkah ini dibuat di bawah pengawasan doktor.
  • Terapi penggantian estrogen. Pesakit akan diminta untuk mengambil hormon estrogen untuk mengelakkan otot dan ligamen menjadi lemah. Dapatkan nasihat doktor yang merawat anda.
  • Rawatan laser menguatkan otot pelvik iaitu rawatan moden yang paling selamat tanpa pembedahan.

Pembedahan

  • Pembedahan hysterectomy dan ia bergantung kepada tahap keseriusan rahim jatuh terutama peringkat ketiga dan keempat. Haruslah mendapat nasihat pakar sakit puan (obstetrik dan ginekologi) terlebih dahulu. Terdapat juga beberapa prosedur pembedahan yang lain. Pesakit perlulah membincangkan perkara ini dengan doktor yang merawat bagi memastikan kesesuaiannya dengan keadaan pesakit.