Sebenarnya, tabiat membawa anak berjumpa doktor gigi pada peringkat awal digalakkan. Mungkin sekadar membawa anak-anak mengucapkan hello kepada doktor gigi dan duduk sebentar di atas kerusi rawatan sambil membuka mulut untuk doktor gigi sekadar mengira berapa batang gigi yang telah tumbuh. Anak-anak seawal tiga tahun sudah boleh dibawa ke klinik gigi untuk salam perkenalan begini. Ini bertujuan supaya mereka tidak menganggap doktor gigi sebagai musuh atau raksasa yang menakutkan bersenjatakan jarum dan peralatan tajam yang lain.

Apabila sudah biasa dan berani dengan suasana klinik gigi, doktor gigi akan mula memperkenalkan alatan dan mesin rawatan gigi pada anak anda, mungkin sekadar memberus gigi di klinik menggunakan polishing brush dan prophylaxy paste yang selalunya berperisa buah atau menyembur air dan menyembur kering gigi di dalam mulut untuk mengurangkan rasa takut kepada rawatan.

Dalam keadaan anak-anak sudah percaya dan yakin yang doktor giginya ialah kawan dan tidak akan membuat dia berasa sakit, lebih mudah untuk doktor memberikan rawatan yang sempurna bagi mereka pada masa akan datang.

Pemeriksaan berkala setiap enam bulan gigi anak-anak seawal usia lima tahun akan mengurangkan risiko gigi berlubang dan rawatan kompleks kerana doktor gigi akan dapat mengesan jika terdapat masalah atau lubang di peringkat awal pembentukan.

Doktor juga boleh melakukan rawatan topical floride jika dilihat gigi anak anda cenderung untuk berlubang. Rawatan ini akan menyebabkan gigi lebih rentan terhadap karies.

Bagi kanak-kanak tiga tahun, penjagaan gigi di rumah perlu dititikberatkan. Pastikan jadual anak-anak memberus gigi dua kali sehari dan wajib memberus gigi sebelum tidur. Berus gigi yang digunakan haruslah bersesuaian.

Golongan kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah, carilah berus gigi dengan pemegang yang agak besar dan bulat supaya mudah tangan kecil dan comel itu memegangnya.

Kepala berus gigi haruslah kecil dan tirus supaya dapat membersihkan gigi yang kecil dan pendek. Bulu berus juga haruslah lembut supaya tidak mencederakan gusi anak-anak.

Selain itu, ajarkan anak-anak teknik memberus gigi yang betul dengan memberuskan gigi anak kecil anda di hadapan cermin. Apabila mereka membesar, latih mereka memegang berus gigi sendiri dan perhatikan agar mereka memberus gigi dengan betul dan teliti.

Ubat gigi yang berflourida baik untuk mengelakkan gigi daripada berlubang. Anak-anak yang sudah pandai meludah boleh menggunakan ubat gigi berflourida dengan meletakkan ubat gigi bersaiz kacang pada berus gigi.

Flourida menguatkan kristal enamel dan penting untuk remineralisasi gigi yang cenderung mendapat karies. Tapi bagi kanak-kanak yang belum pandai meludah dan berkumur, gunakan ubat gigi tanpa flourida kerana dikhuatiri mereka tertelan ubat gigi berflourida. Ini akan menyebabkan risiko gigi yang mempunyai flourosis iaitu warna coklat pada gigi kekal.

Oleh itu, kurangkan makanan manis pada anak-anak. Coklat dan gula-gula toffee yang melekit, senang melekat pada celah-celah gigi yang boleh menyebabkan karies gigi.

Tanamkan gaya pemakanan dan sukakan snek sihat pada anak-anak. Berilah anak-anak snek buah-buahan seperti epal pada waktu senggang. Biasakan anak-anak minum air kosong setelah makan dan berkumur membersihkan sisa makanan setiap kali selepas makan.