HANNAH YEOH
HANNAH YEOH 

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata, ia diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya iaitu 42 kes dan Johor (39) bagi setiap 100,000 wanita.

“Kanser payudara merupakan kanser yang paling tinggi kadar insidennya dalam kalangan wanita di negara ini.

“Pulau Pinang mencatatkan kadar insiden tertinggi kes kanser payudara dan ia disebabkan tahap kesedaran yang tinggi dalam kalangan wanita di negeri ini yang melakukan pengesanan awal kanser payudara,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Keluarga Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), di sini hari ini.

Terdahulu, Hannah menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) program saringan mamogram percuma antara kerajaan negeri dan LPPKN.

Menurut Hannah, sehingga April 2019, sebanyak 358,514 ujian mamogram LPPKN telah dijalankan di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, katanya, seramai 43,114 orang wanita di negeri ini telah mendapat manfaat daripada program tersebut.

“Bagi tempoh 2012 hingga April 2019, program saringan ini telah berjaya mengesan sebanyak 356 kes abnormal di Pulau Pinang,” katanya.

Dalam pada itu, Hannah berkata, kerajaan negeri ini juga telah memperuntukkan sebanyak RM2.65 juta untuk program Mammo Penang bermula 1 Mac 2019 hingga 28 Februari 2022.

“Para wanita di negeri ini amat bertuah kerana disamping kuota mamogram sebanyak 1,500 daripada Kerajaan Pusat, kerajaan negeri juga bersetuju untuk membiayai 5,000 ujian mamogram percuma.

“Jumlah ini menjadikan seramai 6,500 wanita yang layak mendapat manfaat melalui saringan kanser payudara di negeri ini tahun ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE