Perkara itu didedahkan Pengerusi Program Pemakanan dan Dietetik Pusat Pengajian Sains Kesihatan Kesihatan (PPSK) Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. Hamid Jan Mohamed ketika ditemui dalam program Hari Dietitian Malaysia Kelantan 2018 di Kampus Kesihatan USM Kubang Kerian, di sini hari ini.

Dr. Hamid berkata, kajian Kementerian Kesihatan tahun lalu menunjukkan masalah tumbesaran kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah di negeri ini adalah yang kedua tertinggi dalam negara.

Beliau berkata, seorang ibu yang hamil serta menyusu memerlukan pengambilan kira-kira 2,500 kalori setiap hari iaitu melebihi 500 kalori daripada individu biasa dan perkara ini sudah tentu mustahil bagi golongan yang tidak berkemampuan.

"Kebanyakan anak-anak yang mengalami masalah tumbesaran kerana ibu mereka miskin, ibu tunggal dan tidak memiliki pelajaran tinggi, mereka tidak dapat ikut cara pemakanan yang betul hingga melahirkan anak yang bantut.

 

"Kita berharap kerajaan dapat memikirkan cara untuk membantu ibu hamil contohnya mengikut kaedah Thailand yang menyediakan kad baucer makanan mereka di mana ia khusus untuk membeli makanan tertentu sahaja seperti daging, susu, beras dan roti sesuai untuk keperluan ibu," katanya.

Hari Dietitian Malaysia Kelantan 2018 dirasmikan oleh bekas Timbalan Dekan PPSK USM, Prof. Madya Dr Lim Boon Huat.

Program itu anjuran USM bersama kerajaan negeri; Bahagian Perkhidmatan Dietetik Klinikal, Jabatan Kesihatan negeri; Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik); Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) negeri dan Malaysian Dietitian Association (MDA). - UTUSAN ONLINE