Tindakan tegas tersebut diambil semasa pemeriksaan rutin ke atas lima premis menjual makanan di sekitar Bandar Saujana Putra bertujuan memastikan peniaga-peniaga di daerah ini mematuhi syarat ditetapkan.

Yang Dipertua MDKL, Mohamad Zain A. Hamid berkata, pemeriksaan diketuai Penolong Pegawai Kesihatan, Noor Hayati Ibrahim bersama tujuh anggota.

“Semasa pemeriksaan dijalankan, anggota Bahagian Kesihatan berjaya menangkap beberapa ekor lipas di sekitar kawasan memasak dan penyimpanan makanan. Selain itu, premis ini juga didapati mengabaikan soal penjagaan kebersihan hingga menyebabkan pembiakan lipas berleluasa,

“Kedua-dua premis makanan ini disita di bawah Undang-undang Kecil 62, Undang-undang Kecil Pelesenan Establisymen Makanan (MDKL) 2007. Pemilik premis diberi tempoh 14 hari untuk melakukan kerja-kerja pembersihan dan penambahbaikan seperti yang telah diarahkan,” katanya di sini, hari ini.

Mohamad Zain menambah, dalam pemeriksaan sama, sebanyak 11 notis kesalahan dikeluarkan dengan pelbagai kesalahan.

MENU LIPAS LAGI
 

Menurutnya, antara kesalahan dilakukan adalah tidak memakai apron dan penutup kepala di bawah Seksyen 8(5) Undang-undang Kecil Pengendali Makanan (MDKL) 2007.

“Kesalahan tidak menyediakan perangkap makanan hingga menyebabkan sisa makanan dan minyak terus masuk ke dalam longkang dikuatkuasakan di bawah Seksyen 19(1)(d) Undang-undang Kecil Establisymen Makanan (MDKL) 2007.

“Manakala meletakkan kerusi dan meja di petak letak kereta hingga menyebabkan halangan awam dikenakan tindakan di bawah Seksyen 46(1)(d) Akta 133, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974. Sementara itu tidak mendapatkan imunisasi demam kepialu di bawah Seksyen 9(f) Undang-undang Kecil Pengendali Makanan (MDKL) 2007 dan juga tidak menyediakan alat pemadam api yang diselenggara dengan baik di premis perniagaan (tamat tempoh) di bawah Undang-undang Kecil 28(1)(9) Undang-undang Kecil Tred Perniagaan dan Perindustrian,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, dua notis pemberitahuan dikeluarkan kepada pemilik-pemilik premis kerana didapati tidak mendapatkan imunisasi demam kepialu (tiada salinan di premis) di bawah Seksyen 9(f) Undang-undang Kecil Pengendali Makanan (MDKL) 2007 dalam tempoh tujuh hari dan tidak menyelenggara premis dalam keadaan baik dan bersih pada setiap masa di bawah Seksyen 15 Undang-undang Kecil Establisymen Makanan (MDKL) 2007) di mana tindakan pembersihan hendaklah dilakukan serta-merta.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan para peniaga agar sentiasa mematuhi garis panduan dan syarat-syarat seperti yang terdapat di dalam kelulusan lesen perniagaan kerana pemeriksaan akan dilakukan dari semasa ke semasa. - UTUSAN ONLINE