Jika berehat juga gagal menghilangkan keletihan tersebut maka anda kemungkinan menghidap sindrom keletihan kronik (CFS).

Menurut Pakar Perunding Neurologi Hospital Pakar Ampang Puteri, Dr. Lim Poh Hin, CFS merupakan sejenis penyakit kronik yang berpanjangan dan sukar disembuhkan.

DR. LIM POH HIN
DR. LIM POH HIN

Turut dikenali sebagai myalgic encephalomyelitis (ME) dan systemic exertion intolerance disease (SEID), penghidap CFS akan mengalami keletihan yang teruk jika terlibat dalam aktiviti fizikal atau mental malahan membaca atau berfikir terlalu lama turut memberi kesan sama kepada penghidap.

“Gejala paling utama pesakit CFS ialah rasa penat itu berpanjangan melebihi tempoh 24 jam dan tidak dapat dihilangkan walaupun mereka telah berehat dalam tempoh yang lama,’’ katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Selain itu, penghidap akan mudah merasa letih walaupun berjalan dalam jarak yang dekat selain kurang tumpuan dan mudah lupa. Mereka juga mengalami sakit sendi dan otot tanpa sebab yang jelas, sakit kepala dan tidur yang tidak menyegarkan iaitu bangun pagi dalam keadaan letih.

“Untuk mengesahkan seseorang itu penghidap CFS, mereka mestilah mengalami gejala berkenaan melebihi tempoh enam bulan. Tiada ujian yang mudah untuk membuktikan kewujudan penyakit ini,” katanya.

Ini kerana pihak perubatan perlu memastikan tiada sebab lain atau penyakit lain yang boleh memberi gejala yang sama, justeru sejarah kesihatan individu perlu diteliti.

Kata Dr. Poh Hin, penyakit lain yang menghasilkan gejala sama seperti CFS termasuklah sleep apnea, sindrom kaki resah, insomnia, anemia, diabetes, tiroid rendah, jantung lemah, penyakit paru-paru, penyakit Lyme, mononucleosis, multiple sclerosis, lupus, sindrom fibromyalgia dan obesiti.

Penyakit mental atau psikologi seperti kemurungan, kecelaruan keresahan, bipolar dan skizofrenia selain kesan sampingan terhadap pengambilan ubat seperti antihistamin, arak dan ubat tidur juga mempunyai gejala sama seperti CFS.

Jika mereka mengalami gejala-gejala berkenaan maka keletihan yang dialami bukanlah dikategorikan sebagai CFS.

Ujar beliau, mereka yang menghidap CFS, sebahagiannya akan mengalami kemurungan, keterasingan sosial, mengambil cuti sakit berpanjangan dan kurang melakukan aktiviti harian.

“Penyebab penyakit ini tidak diketahui secara spesifik malah tidak ada penyebab tertentu untuk mengesahkan. Pihak hospital hanya akan membuat pemantauan terhadap pesakit,’’ kata Dr. Poh Hin.

Terdapat faktor-faktor umum dialami oleh setiap penghidap CFS seperti sering mengadu merasa penat selepas menghidap jangkitan virus seperti Epstein-Barr Virus dan Human Herpus Virus 6.

Kemungkinan juga kata beliau, penyakit itu mempunyai kaitan dengan masalah sistem imun yang tidak kuat dalam diri penghidap CFS selain masalah hormon tidak seimbang.

Menurut beliau, golongan wanita adalah paling ramai menghidap CFS dengan majoritinya berumur lingkungan 40-an dan 50-an.

“Mengapa wanita lebih ramai menghidap CFS, sukar untuk kita pastikan cuma lazimnya golongan wanita lebih prihatin terhadap kesihatan manakala golongan lelaki sering mengambil mudah dan tidak mahu berjumpa doktor,’’ katanya.

Dr. Poh Hin berkata, tiada ubat spesifik untuk menghilangkan CFS namun penghidap akan diberi ubat kemurungan atau ubat untuk gejala kurang tidur atau kesakitan.

“Mereka juga disarankan agar mengikuti program terapi latihan kognitif melalui rawatan dengan kaunselor, melakukan senaman berperingkat melalui nasihat pakar fisioterapi bagi meningkatkan tahap aktiviti fizikal secara perlahan-lahan, mengurangkan tidur pada waktu siang, tidur dengan konsisten setiap hari, mengurangkan pengambilan kafein, rokok dan arak,’’ ujar beliau.