Timbalan Menterinya, Dr Lee Boon Chye berkata, pihaknya sebaliknya hanya menetapkan spesifikasi papan tanda itu perlu berukuran sekurang-kurangnya 40x50 sentimeter.

Beliau berkata, para peniaga boleh membuat papan tanda sendiri tanpa menuntut sebarang kos kepada kementerian.

“Ada yang bertanya kepada saya, boleh ke tidak jika logo rokok itu pandang ke kanan atau ke kiri, tetapi pada saya itu tidak penting, asalkan ada papan tanda.

“Ada juga yang tanya, boleh ke tambah bahasa Cina, Tamil atau Inggeris serta tambah perkataan ‘dilarang merokok denda RM10,000’, itu pun tiada masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program gotong-royong membanteras wabak denggi bersama-sama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Jabatan Kesihatan negeri di Padang Taman Rasa Sayang di sini hari ini.

Dalam pada itu, Boon Chye berkata, adalah memadai untuk para peniaga mempamerkan hanya satu papan tanda larangan merokok di premis perniagaan masing-masing dan tidak perlu dipaparkan logo Kementerian Kesihatan.

Beliau berkata, kegagalan mempamerkan papan tanda itu membolehkan para peniaga dikenakan denda maksimum RM3,000 sementara perokok yang melanggar peraturan, boleh didenda tidak melebihi RM10,000.

Terdahulu, Boon Chye berkata, peraturan baharu berkaitan perluasan kawasan larangan merokok yang melibatkan restoran tidak berhawa dingin itu antara lain bertujuan mengurangkan jumlah perokok selain mempertahankan hak golongan bukan perokok supaya bebas daripada asap rokok.

Selain itu katanya, di Malaysia, dianggarkan lebih 20,000 orang mati akibat penyakit berkaitan merokok dan sebanyak RM7.4 bilion diperlukan untuk kos rawatannya pada setiap tahun. - UTUSAN ONLINE