Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, jumlah itu merekodkan peningkatan 274.8 peratus berbanding 206 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu.

“Daerah Kuala Terengganu mencatatkan kes terbanyak iaitu 200 kes, diikuti Marang (124 kes), Dungun (108), Setiu (96), Kuala Nerus (88), Besut (72), Hulu Terengganu (52) dan Kemaman (32).

“Sebanyak 15 wabak HFMD dilaporkan dalam tempoh tersebut iaitu lima di Kuala Terengganu, Setiu (dua), Marang (empat), Kuala Nerus (dua) dan masing-masing satu di Hulu Terengganu dan Besut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Terbuka Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini hari ini. Yang turut hadir, Pengarah HSNZ, Dr. Nor Azimi Yunus.

Menurut beliau, pihak Jabatan Kesihatan telah melakukan pelbagai aktiviti untuk mencegah penularan penyakit ini termasuk pemeriksaan di premis seperti rumah kediaman, taska, tadika, tabika dan sekolah rendah.

“Jabatan turut menjalankan aktiviti disinfeksi di premis-premis tersebut selain mengambil sampel untuk dianalisis dan memberikan pendidikan kesihatan dengan mengedarkan risalah, ceramah kepada umum di samping khidmat nasihat kepada keluarga pesakit.

“Setakat ini, semua premis yang diarah tutup sebelum ini sudah pun beroperasi seperti biasa,”ujar beliau.

Dr. Alias berkata, kes HFMD paling banyak berlaku di premis kediaman iaitu 422 kes diikuti kanak-kanak yang tinggal di taska (128), rumah pengasuh (112 kes), tadika (41), prasekolah (24), sekolah rendah (24), Tadika Pasti (17), tabika (tiga) dan madrasah (satu). - UTUSAN ONLINE