Menurut statistik, penyakit jantung iskemik (penyakit jantung) kekal punca utama kematian di Malaysia sepanjang 13 tahun kebelakangan ini. Faktor utama yang menyumbang kepada situasi ini ialah kolesterol tinggi selain faktor-faktor penyakit tidak berjangkit yang berkaitan seperti kencing manis, tekanan darah tinggi dan obesiti.

Realitinya, seorang daripada dua rakyat dewasa Malaysia menghidap kolesterol tinggi. Namun, lebih membimbangkan hampir 40 peratus daripada mereka tidak menyedari bahawa paras kolesterol mereka adalah tinggi. Kementerian Kesihatan baru-baru ini menegaskan bahawa sikap acuh tak acuh ini merupakan punca utama peningkatan kes-kes penyakit jantung dan menyeru rakyat supaya lebih bertanggungjawab terhadap kesihatan diri.

Berakhirnya Syawal wajar dijadikan titik permulaan perubahan sikap ke arah gaya hidup sihat dan aktif untuk mengawal tahap kolesterol supaya kesihatan jantung terpelihara. Umpama perjalanan 1,000 batu yang bermula dengan langkah pertama, begitu juga perjalanan ke arah jantung lebih sihat yang bermula dengan perubahan kecil, namun meninggalkan kesan yang positif.

Motivasi aplikasi

Terdapat pelbagai aplikasi telefon pintar berkaitan kesihatan sedia untuk dimuat turun secara percuma yang dapat memberikan motivasi dalam perjalanan menuju gaya hidup sihat di hujung jari anda. Cuba aplikasi MyNutriDiari 2 oleh Kementerian Kesihatan yang menyediakan maklumat tentang pemakanan dan aktiviti fizikal serta fungsi berguna seperti diari pengambilan makanan harian dan kalkulator indeks jisim tubuh (BMI).

Jangan takut untuk makan

Makan semua makanan daripada pelbagai kumpulan dalam piramid makanan, tetapi dalam saiz hidangan yang sederhana. Pilih pelbagai jenis makanan daripada setiap kumpulan makanan. Dalam erti kata lain, amalkan tabiat makan berpandukan keseimbangan, kesederhanaan, dan kepelbagaian.

Jadikan Model Pinggan Sihat Malaysia atau konsep ‘Suku-Suku-Separuh’ panduan dalam membuat pilihan makanan seharian. Isikan suku pinggan pertama dengan sumber karbohidrat seperti nasi, mi dan bijirin, suku kedua dengan protein (ikan, ayam, daging, telur dan kekacang) manakala separuh pinggan pula dipenuhi sayur-sayuran dan buah-buahan.

Amalkan tabiat pemakanan ‘jantung sihat’

Kekerapan pengambilan makanan yang berlemak dan berkolesterol tinggi meningkatkan faktor risiko penyakit jantung. Oleh itu, kurangkan makanan bergoreng, pilih makanan yang dikukus, dipanggang atau dibakar. Hadkan juga makanan yang tinggi dengan gula, minyak dan garam. Tingkatkan pengambilan serat makanan yang dapat membantu mengawal paras kolesterol dan glukosa dalam darah, mengekalkan berat badan sihat dan mengurangkan risiko penyakit jantung.

Kekal aktif

Aktiviti fizikal, terutama senaman aerobik membantu menguatkan otot jantung, mengurangkan stres, memperbaiki metabolisme dan meningkatkan paras kolesterol baik. Kementerian Kesihatan menyarankan senaman selama 30 minit sehari, sekurang-kurangnya lima hari seminggu. Jika terasa keberatan, mulakan dengan aktiviti harian seperti menggunakan tangga berbanding lif, berulang-alik ke tempat kerja dengan menaiki pengangkutan awam atau berjalan pergi dan balik dari makan tengah hari atau kedai berhampiran berbanding menaiki kereta. Pada hujung minggu, cuba luangkan sedikit masa untuk aktiviti riadah seperti berjalan pantas di taman.

Kekalkan berat badan sihat

Indeks jisim tubuh atau body mass index (BMI) merupakan ukuran yang menilai kesesuaian berat badan berbanding dengan ketinggian. Berat badan yang sihat adalah BMI di antara 18.5 dan 24.9. Mengekalkan berat badan yang sihat dapat membantu mengawal tahap gula darah dan tekanan darah. Anda disaran mengurangkan berat badan jika BMI melebihi 25. Selain itu, ukur lilit pinggang 90 sentimeter (35 inci) ke atas bagi lelaki atau 80 sentimeter (32 inci) ke atas bagi wanita dikaitkan dengan peningkatan risiko kencing manis, penyakit jantung dan tekanan darah tinggi.

Ketahui status kolesterol

Penyakit jantung sering dikenali sebagai pembunuh senyap kerana simptom penyakit yang tidak mudah dikenal pasti secara fizikal. Oleh itu, saringan kesihatan secara berkala adalah penting untuk mengesan paras kolesterol tinggi.

Terdapat banyak pihak mengadakan pelbagai program bagi membantu kita mengamalkan gaya hidup sihat. Antaranya program Sahut Cabaran 30 Hari Nestle Omega Plus dan katakan #BUKANSAYA untuk kolesterol tinggi. Program ini menawarkan ujian darah kolesterol yang menyeluruh termasuk LDL atau lipoprotein berketumpatan rendah (kolesterol tidak baik), HDL atau lipoprotein berketumpatan tinggi (kolesterol baik) serta trigliserida.

Matlamat cabaran ini adalah untuk mencari individu yang berjaya menurunkan tahap LDL dan trigliserida serta mengekalkan paras HDL yang tinggi. Pemenang hadiah utama berpeluang menikmati pakej percutian ke New Zealand bernilai RM20,000. Cabaran berakhir pada 30 September 2019. Untuk maklumat lanjut, layari: www.facebook.com/NestleOmegaPlus.