Jika dahulu kanta lekap digunakan sebagai alternatif menggantikan penggunaan cermin mata untuk menyelesaikan masalah rabun, namun kini, penggunaannya menjadi semakin popular sebagai alat kosmetik.

Menurut Pakar Perunding Oftalmologi, Pantai Hospital, Klang, Dr. Mohamad Sharif Fahruddin, mengenakan kanta lekap tidak semudah meletakkannya pada mata, kerana cara penggunaan yang salah boleh meningkatkan risiko jangkitan yang serius.

Jelasnya, antara kesilapan yang sering dilakukan oleh pengguna kanta lekap ialah tidak menurut peraturan pemakaian, misalnya menggunakan kanta lekap harian lebih sehari, tidak menjaga kebersihan tangan semasa mengenakan atau menanggalkannya, tidak menjaga kebersihan peralatan kanta lekap dan masih terus menggunakannya walaupun mata merah, sakit atau pedih.

“Sebenarnya, pengguna harus tahu, salah guna kanta lekap boleh membawa kepada jangkitan bakteria atau virus kepada mata. Sekiranya jangkitan berkenaan merebak ke kelopak mata, individu itu akan mengalami konjunktivitis (pink eye).

“Jika jangkitan merebak ke kornea pula, individu itu berkemungkinan tinggi mengalami keratitis atau ulser kornea. Keratitis yang teruk boleh menyebabkan pelbagai komplikasi serius yang merosakkan penglihatan secara kekal,” jelasnya.

Dr. Muhamad Sharif memberitahu, pengguna harus tahu mereka sedang dijangkiti mata sekiranya mengalami simptom-simptom mata merah, banyak tahi mata terutama waktu bangun tidur, penglihatan kabur, mata rasa berpasir dan gatal.

Katanya, sekiranya pengguna mengesyaki mengalami jangkitan mata, mereka perlu segera berjumpa doktor untuk menerima rawatan.

Pengguna juga perlu menggunakan kanta lekap berkualiti yang hanya boleh didapati di pusat pakar optometris, kedai optikal, farmasi, yang mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan.

Jelasnya, pengguna perlu bijak mengetahui cara yang betul menggunakan kanta lekap supaya tidak berlaku kemudaratan kepada mata.

“Ramai dalam kalangan pengguna kanta lekap tidak mengamalkan langkah-langkah betul dari segi penggunaan, mungkin kerana tidak pernah diberitahu oleh pakar atau doktor mata.

“Sayangi mata anda dan jangan sesekali membeli kanta lekap tiruan.

"Jangan melakukan penggunaan yang berubah-ubah tanpa bertanya pakar mata terlebih dahulu, dan segera berjumpa doktor sekiranya terdapat masalah dengan mata anda,” katanya.

Dr. Mohamad Shariff memberitahu, selain kanta lekap, mata juga boleh mengalami jangkitan atau kerengsaan akibat penggunaan komputer yang melampau dan pendedahan langsung kepada cahaya matahari dan juga alahan.

Apabila ditanya apakah jangkitan boleh terjadi akibat penggunaan telefon bimbit secara berterusan dia menegaskan, penggunaan telefon bimbit bukan penyebab utama kepada jangkitan mata, sekiranya berlaku, mungkin secara kebetulan.

“Namun, apabila membaca tulisan pada telefon bimbit di dalam tempat yang gelap, anda berkemungkinan tinggi mengalami masalah mata tegang, pedih dan sukar untuk tidur.

“Begitu juga apabila membaca tulisan yang halus pada skrin telefon akan menyebabkan kita terpaksa memusatkan pandangan dan kadangkala kita akan rasa berpinar.

"Ini terjadi kerana mata mudah menjadi penat dan kering kerana deria ini bekerja keras untuk lebih fokus," katanya.

Tambahnya, penggunaan gajet yang terlalu lama oleh kanak-kanak dan orang dewasa juga boleh menyebabkan penglihatan menjadi kabur sementara disebabkan mata menjadi tegang.