Menurut Pakar Onkologi Klinikal Pusat Perubatan Pakar Sri Kota, Klang, Dr. Malwinder Singh, kanak-kanak lelaki mempunyai risiko dua kali lebih tinggi menghidap kanser ini berbanding kanak-kanak perempuan namun ia tidak melibatkan penyakit genetik.

“Kanser ini selalunya lambat dikesan kerana pesakit biasanya memandang remeh tentang pembengkakan tulang yang tidak sakit selain kanser ini juga mengambil masa untuk didiagnosis dengan tepat dalam tempoh yang singkat,” katanya.

Lazimnya pesakit sudah pun mengalami simptom kanser lebih tiga bulan, dilanjutkan lagi masa untuk dibuat kajian bagi mendapat diagnosis yang tepat dan ini menyebabkan rawatan lambat dimulakan. Berkemungkinan kanser tersebut telah merebak ketika rawatan awal dimulakan.

Kata beliau, ketika itu tahap kanser pada pesakit kemungkinan telah merebak pada paru-paru dan tidak mustahil turut melibatkan organ lain.

Menjelas lebih lanjut Dr. Malwinder berkata, kanser Ewing sarcoma adalah sejenis kanser yang biasanya berasal daripada tulang namun boleh juga berpunca daripada tisu-tisu lain yang bersebelahan dengan tulang seperti tulang rawan dan otot.

Bahagian tulang yang kerap diserang dengan kanser ini ialah tulang kaki, tangan, pinggul, tengkorak dan tulang belakang manakala tisu-tisu lain pula adalah pada dada, tangan, kaki, kepala, leher dan dalam abdomen.

Menurut beliau, kanser Ewing sarcoma boleh dikategorikan kepada tiga jenis iaitu:

 Kanser yang kerap berlaku berpunca daripada tulang anggota badan terutama tulang paha kaki dan tangan serta boleh juga berlaku pada tulang pelvis.

 Berlaku pada tisu-tisu bersebelahan dengan tulang iaitu tulang rawan dan otot dikenali Extraosseous Ewing sarcoma.

 Kanser Ewing sarcoma yang jarang berlaku dikenali sebagai Peripheral primitive neuroectodermal tumor (PPNET). Kanser ini berlaku pada organ yang menyelaputi tulang iaitu pada bahagian saraf bukan pada tulang itu sendiri dan askin tumor, sekiranya PPNET berlaku pada kawasan tulang dada.

Ujar Dr. Malwinder, kanser ini boleh dikesan apabila pesakit sering mengalami pembengkakan pada bahagian tulang tertentu.

“Pesakit juga boleh mengalami kesakitan pada bahagian terlibat namun adakalanya boleh menjadi parah. Kadang-kadang pesakit mengalami simptom tulang patah secara tiba-tiba atau tidak sengaja semasa melakukan aktiviti biasa tanpa sebarang trauma,” katanya.

Menurut beliau, kanser ini boleh berlaku apabila gen dalam badan iaitu pada tulang mengalami ketidakstabilan atau mutasi dan bertukar menjadi kanser.

“Perubahan protein pada kromosom 11 dan 22 menyebabkan protein EWS/FLI-1 terlebih dalam badan dan menjadi kanser. Namun jika ditanya mengapa gen ini menjadi tidak stabil maka masih belum diketahui dan yang pasti bukan kerana penyakit keturunan,’’ kata beliau lagi.

Ditanya tentang rawatan untuk pesakit, Dr. Malwinder berkata, terdapat pelbagai cara melibatkan banyak bidang kepakaran untuk merawat kanser merangkumi rawatan kimoterapi pada peringkat awal kemudian disusuli pembedahan pembuangan kanser.

“Ini kemudian diteruskan dengan rawatan kimoterapi atau radioterapi sekiranya didapati kanser tidak memberi respons baik kepada kimoterapi dan pembedahan yang telah dilakukan dan lazimnya rawatan akan mengambil masa lebih kurang setahun,’’ katanya.

Beliau memberitahu, peratusan kanser ini menyerang semula selepas dirawat adalah bergantung kepada tahap semasa ia dikesan.

“Sekiranya dikesan pada peringkat awal dan menjalani rawatan yang disyorkan iaitu kimoterapi, pembedahan dan radioterapi maka 70 peratus sehingga 80 peratus pesakit mampu mencapai status bebas kanser selama lima tahun,” katanya lagi.

Bagaimanapun sekiranya dikesan pada tahap empat, peratusan bebas daripada simptom kanser adalah antara 20 peratus sehingga 40 peratus untuk tempoh yang sama.

Beliau juga menjelaskan, faktor pemakanan dan nutrisi yang seimbang memainkan peranan penting semasa pesakit menjalani rawatan kimoterapi.

Katanya, apabila berat badan berkurangan atau nutrien dalam badan berkurangan disebabkan pemilihan makanan tertentu, ia akan menyebabkan pesakit mendapat kesan sampingan yang berlebihan semasa rawatan kimoterapi.