Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ujian ‘Pulse Field Gel Electrophoresis’ (PFGE) yang dijalankan di Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan Sungai Buloh dan Makmal Keselamatan Kualiti Makanan Pulau Pinang pada Ahad mendapati bakteria tersebut dikesan dalam sampel klinikal pesakit serta sampel mi laksa.

Bakteria tersebut dikesan daripada mi laksa yang dibeli pada 4 Oktober 2018 dari gerai terbabit. Mi laksa tersebut dihasilkan di premis pemprosesan milik pengusaha yang juga tuan punya gerai. Faktor risiko yang menyumbang kepada kejadian keracunan makanan ini berkemungkinan berpunca daripada proses penyediaan dan penyimpanan mi laksa yang tidak bersih serta suhu penyediaan semasa pemprosesan selain suhu pemanasan semula mi laksa sebelum dimakan tidak mencukupi untuk menyahkuman.

Menurut Pakar Sakit Dalaman & Perubatan Respiratori KPJ Johor Specialist Hospital, Dr. Muhammad Redzwan S. Rashid Ali, bakteria salmonella merupakan salah satu bakteria yang berpunca daripada pencemaran silang daripada makanan dan daging mentah ke makanan yang telah dimasak semasa penyediaan atau penyimpanan oleh pengendali makanan.

“Jenis bakteria ‘salmonella enterica serovar weltevreden’ pula merupakan salah satu stereotaip bakteria ‘salmonella spp’ yang boleh menyebabkan gejala seperti demam, muntah, sakit perut dan cirit-birit berpunca daripada pencemaran makanan serta air,” katanya.

Bakteria ini juga dikatakan berpunca daripada penyediaan makanan yang tidak bersih. Kenapa penyediaan makanan perlu bersih?

Tambah Dr. Muhammad Redzwan, makanan yang bersih dan selamat ialah makanan yang bebas daripada pencemaran. Penyediaan makanan yang bersih dan selamat adalah penting untuk mencegah keracunan makanan. Bakteria keracunan makanan boleh dipindahkan kepada orang lain dalam sesuatu masa dan boleh ditemui di hidung, mulut, tangan, usus dan luka yang dijangkiti kuman.

“Bakteria keracunan makanan ini boleh disebarkan oleh orang yang menyediakan makanan melalui bersin, batuk ke dalam makanan dan dengan menyentuh makanan. Kebanyakan wabak keracunan makanan timbul akibat daripada pencemaran makanan semasa makanan disediakan oleh orang yang menyediakan makanan tersebut,” katanya.

Keracunan makanan ialah apa jua penyakit yang disebabkan oleh pengambilan makanan atau minuman yang tercemar. Kes ini menyebabkan gejala cirit-birit, muntah dan sakit perut. Dalam kes serius, ia juga boleh mengakibatkan kematian jika tidak mendapat rawatan awal. Antara sebab terjadinya keracunan makanan ialah;

* Makanan ditinggal pada suhu bilik untuk tempoh yang lama (lebih daripada empat jam).

* Makanan tidak dimasak dengan sempurna.

* Makanan tidak disimpan dengan baik dan tidak dipanaskan dengan sempurna.

* Amalan pengendalian makanan yang tidak bersih.

Dr. Muhammad Redzwan menjelaskan, keracunan makanan juga berpunca daripada bahan kimia seperti racun serangga dan racun rumpai, logam berat seperti tembaga, raksa dan plumbum, tumbuhan dan hasil laut yang beracun seperti kulat, cendawan dan hasilan laut bercengkerang seperti kekerang.

Beliau turut menasihatkan orang ramai mengenali tanda-tanda keracunan makanan yang bergantung kepada ejen penyebab keracunan tersebut iaitu amaun (dos) bakteria, virus atau toksin, umur dan sistem ketahanan badan (imuniti) seseorang.

“Kebiasaannya, pesakit itu mungkin akan mengalami rasa loya, cirit-birit, muntah-muntah, sakit perut, berpeluh atau demam, sakit kepala dan keletihan. Oleh itu, Pemilihan premis makanan yang bersih dan selamat amat penting bagi mengelakkan keracunan makanan.

Sekiranya anda makan di luar, pastikan diri anda selamat dan pilihlah premis makanan bersih dan kawasannya jauh daripada asap kenderaan, tempat pembuangan sampah, longkang tersumbat atau tangki septik,” jelasnya.

Tidak ketinggalan, anda perlu memilih makanan dan minuman dihidangkan dalam bekas yang sesuai, bersih dan bertutup. Lengkap dengan kemudahan asas seperti bekalan air yang bersih dan selamat, bekalan elektrik, saliran longkang yang baik dan tong sampah yang bertutup.

Pastikan juga premis tempat anda makan bebas daripada serangga, tikus dan lain-lain haiwan perosak. Premis juga perlu mempunyai peralatan bersih dan sempurna seperti meja yang bersih.

Dalam konteks ini, pengendali makanan ialah semua orang yang terlibat dalam penyediaan makanan dari mula hinggalah makanan itu diambil atau dimakan.