Ini disebabkan kebanyakan daripada ketulan tiada risiko untuk menjadi kanser payudara.

Bagaimanapun, sering kali kaum wanita menjadi resah apabila menyedari terdapat ketulan atau bonjolan di buah dada mereka.

Disebabkan penyebaran maklumat kesihatan melalui media yang banyak memberi penekanan terhadap barah payudara, maka kebanyakan mereka ini tidak berani berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan.

Sebenarnya sebanyak 80-85 peratus daripada ketumbuhan pada payudara adalah bersifat benigna, iaitu tidak mempunyai ciri-ciri kanser dan membesar dengan kadar yang perlahan, terutama pada wanita yang berusia di bawah 40 tahun.

Walaupun begitu, sekiranya anda mempunyai ketulan pada payudara, perlu menjalani pemeriksaan pihak doktor untuk memastikan ianya ketulan dari jenis bukan kanser.

Terdapat banyak jenis ketulan payudara bersifat bukan kanser. Antara ciri-ciri penting adalah ketulan pada payudara ini akan berubah mengikut kitaran haid masing-masing. Ketulan ini akan membesar pada waktu haid dan mengecil pada waktu yang lain.

Pada kebiasaannya, mereka akan merasakan sakit pada buah dada tersebut semasa haid datang. Dua jenis ketulan yang biasa dialami wanita terutama yang masih muda adalah fibroadenoma dan perubahan fibrosista (fibrocystic) pada payudara.

Fibroadenoma adalah gejala payudara yang paling kerap pada wanita muda. Dalam kebanyakan kes, fibroadenoma ini tidak memerlukan rawatan kerana ia mempunyai kadar pembesaran yang perlahan dan bersaiz kecil sahaja (kurang 2 sentimeter (cm)).

Dalam beberapa kes, ketulan ini boleh mengecut dan hilang tanpa rawatan. Sekiranya ketulan ini bersaiz melebihi dari 3 cm, fibroadenoma boleh dikeluarkan melalui pembedahan yang ringkas dan mudah tanpa perlu bermalam di hospital.

Fibroadenoma tidak bersifat seperti kanser payudara, yang tumbuh lebih besar dari semasa ke semasa dan boleh menyebar ke organ lain, tetapi ia kekal di dalam tisu payudara.

Biasanya, fibroadenoma tidak menyebabkan sebarang kesakitan. Ia berbentuk bulat atau bujur, kenyal dan bergerak di sekeliling kulit sekiranya disentuh.

Sekiranya doktor merasakan bahawa ia adalah ketulan fibroadenoma, beberapa pemeriksaan tambahan perlu dilakukan termasuklah pemgimejan ultrasound dan pengambilan sampel tisu dari ketulan tersebut.

Fibrosista adalah perubahan payudara yang lebih disebabkan oleh perubahan hormon di dalam tubuh.

Perubahan fibrosis ini adalah pembentukan tisu penghubung tambahan pada payudara dan ia adalah tisu yang sama yang membentuk ligamen dan tisu parut.

Kebanyakan daripada perubahan fibrosis ini terjadi pada wanita yang berusia antara 30 hingga 60 tahun. Sista (cystic) pula adalah kantung berisi cecair kecil, yang biasanya bulat dan boleh bergerak pada sekitar payudara anda.

Kelazimannya sista-sista ini bersaiz kecil (kurang daripada 1 cm) dan wanita akan merasakan ketulan kecil pada payudaranya. Mereka akan sering rasa sakit pada waktu kitaran haid akibat pengaruh hormon kerana pada waktu ini, sista ini akan membesar.

Selalunya pembentukan sista ini lebih berhubung kait dengan perubahan fibrosis dan kehadiran kedua-dua bentuk perubahan ini dipanggil fibrosista pada payudara.

Payudara yang mempunyai perubahan ini akan berasa lebih padat dan keras. Ia tidak memerlukan sebarang rawatan atau pembedahan.

Perubahan ini juga tidak membawa risiko kepada kanser payudara melainkan sekiranya ia dalam bentuk kompleks fibrosista, yang mana sista tersebut mengandungi gabungan cecair dan tisu di dalamnya.

Dalam hal ini, ketulan tersebut mesti diambil sampelnya kerana mempunyai risiko kanser yang rendah.

Dalam hal di atas, kedua-dua jenis ketulan tersebut tidak dapat dipastikan punca terjadinya perubahan tersebut.

Doktor mengandaikan, ia berpunca daripada perubahan hormon semasa kitaran haid.

Walau pun kedua-duanya tidak membawa risiko kanser atau risiko yang kecil sahaja, wanita yang mempunyai ketulan ini wajib pergi berjumpa doktor untuk mengesahkan ia bukan kanser dan mendapatkan pandangan tentang rawatan seterusnya.

Dua jenis ketulan payudara bukan kanser

Fibroadenoma

  • Bersaiz kecil
l Paling kerap pada wanita muda

  • Boleh mengecut dan hilang begitu sahaja

  • Berbentuk bulat atau bujur dan kenyal
l Bergerak di sekeliling kulit

Fibrosista

  • Disebabkan hormon dalam tubuh

  • Terjadi pada wanita berusia (30-60 tahun)

  • Bentuk kantung bersaiz kecil