Peraturan larangan merokok ini pernah dicadangkan sejak 2015 lagi ketika kaji selidik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menunjukkan terdapat lima juta rakyat Malaysia merupakan perokok dalam kalangan umur 15 tahun ke atas. Malah, data menunjukkan 35 peratus kematian di hospital-hospital awam adalah penyakit yang berkaitan dengan asap rokok seperti jangkitan paru-paru, kanser, jantung dan lain-lain .

Menurut Pakar Sakit Dalaman dan Perubatan Respiratori Hospital Pakar KPJ Johor, Dr. Muhammad Redzwan S. Rashid Ali, asap rokok basi mengandungi kepekatan racun merbahaya yang sangat tinggi. Sesiapa yang terdedah kepada asap rokok samada secara aktif atau pasif boleh terkesan.

“Asap rokok basi memudaratkan janin dalam kandungan ibu sehingga boleh mengakibatkan keguguran, kecacatan bayi dan kelahiran bayi pramatang. Kanak-kanak yang terdedah kepada asap rokok basi mudah mendapat jangkitan telinga sementara orang dewasa akan berisiko mendapat pelbagai jenis kanser, penyakit jantung, penyakit paru-paru dan sebagainya,” katanya.

Bagi mereka yang berazam untuk berhenti merokok, Dr. Muhammmad Redzwan memberitahu, terdapat dua kaedah utama rawatan berhenti merokok iaitu kaunseling untuk perubahan tingkah laku dan ubat-ubatan bagi mengawal kesan gian (withdrawal).

Kesan buruk

Dalam pada itu, penguatkuasaan peraturan yang membabitkan vape dan shisha yang tidak mengandungi nikotin masih dalam peringkat perbincangan. Pun begitu, Dr. Muhammad Redzwan menganggap asap vape dan shisha masih mempunyai kesan buruk terhadap kesihatan sama seperti rokok. Apatah lagi, Malaysia kini mahu mewujudkan zon bebas asap rokok.

Beliau turut menjelaskan, produk tembakau sama ada dalam bentuk shisha atau apa jua bentuk yang lain mengandungi nikotin akan menyebabkan ketagihan.

“Menghisap shisha sama sahaja seperti anda menghisap 200 batang rokok biasa. Penghisap shisha berisiko menghidap kanser paru-paru, sakit dada, kerosakan koronari jantung dan mengalami kesan sampingan akibat pengambilan nikotin secara berlebihan. Selain itu, paip shisha juga boleh mendedahkan mereka kepada penyakit yang merebak melalui air liur seperti tuberkulosis atau tibi mungkin juga pengguna shisha sebelum itu atau pihak yang berkongsi paip dengan kita mengalami batuk, selesema atau demam,” jelasnya.

Dalam pada itu, vape direka untuk membantu penagih tembakau melepaskan diri dari pada merokok. Namun, penggunaan vape lebih berisiko tinggi terhadap tubuh badan manusia. Para penyelidik menyimpulkan vape tidak selamat dan tidak disyorkan sebagai gantian kepada rokok .