Perlukah antibiotik untuk semua penyakit yang dihidapi? Tahukah anda antibiotik ialah ubat yang digunakan untuk merawat jangkitan yang disebabkan oleh bakteria?

Antibiotik tidak berkesan terhadap jangkitan virus seperti demam biasa, selesema dan bronkitis akut iaitu sejenis keradangan atau kerengsaan pada saluran pernafasan (tiub bronkiul) di dalam paru-paru. Penggunaan antibiotik secara tidak tepat atau berlebihan akan menyebabkan kerintangan antibiotik (AMR).

AMR berlaku apabila antibiotik hilang keupayaan untuk membunuh bakteria. Oleh itu antibiotik tidak lagi berkesan untuk merawat jangkitan bakteria. Kerintangan terhadap antibiotik terjadi apabila bakteria mengubah dirinya sebagai cara untuk mengurangkan atau menghapuskan keberkesanan antibiotik.

Menurut Ketua Penyakit Berjangkit, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Hospital Sungai Buloh, Datuk Dr. Christopher Lee, kerintangan antibiotik adalah disebabkan oleh penggunaan antibiotik yang berlebihan dan tidak tepat contohnya merawat jangkitan yang disebabkan oleh virus dengan antibiotik dalam kebanyakan jangkitan bahagian atas salur pernafasan seperti sakit tekak dan batuk biasa.

“AMR boleh memberi kesan kepada sesiapa sahaja, tidak kira umur atau negara. Ia berlaku apabila patogen berubah dan mencari cara untuk menentang keberkesanan antibiotik. Patogen berkenaan akan membesar dan menyebarkan kadar rintangannya.

“Proses adaptasi ini akan menyebabkan AMR. Jika tiada penyelesaian boleh dijumpa, AMR boleh membawa kesan yang buruk. Jangkitan dan kecederaan kecil boleh membawa maut, dan jangkitan serius seperti radang paru-paru mungkin akan menjadi mustahil untuk dirawat Selain itu, banyak prosedur perubatan rutin akan menjadi terlalu berisiko untuk dilakukan kerana risiko dijangkiti oleh patogen yang telah menjadi kebal terhadap ubat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Minggu Kesedaran Antibiotik Sedunia (WAAW) yang dibawakan oleh Pfizer Malaysia. Kempen ini menekankan kepentingan memerangi AMR kerana ia berpotensi memberi kesan kepada orang ramai di semua peringkat umur, di mana-mana negara, serta industri penjagaan kesihatan, veterinar, dan pertanian, menjadikannya salah satu masalah kesihatan yang paling kritikal di dunia.

Dalam pada itu, Setiausaha Persatuan Penyakit Berjangkit dan Kemoterapi Malaysia, Prof. Madya Dr. Syafinaz Amin Nordin berkata, tanpa antibiotik yang berkesan, kadar kejayaan pembedahan besar dan rawatan kemoterapi akan merosot. AMR juga akan meningkatkan kos penjagaan kesihatan dengan memanjangkan tempoh penginapan di hospital serta meningkatkan keperluan penjagaan yang lebih intensif.

“Oleh itu, penekanan harus diberikan dalam penggunaan antibiotik yang bijak dengan antibiotik yang baru dan sedia ada termasuk penggunaan ubat-ubatan dengan lebih bijak dalam bidang ternakan,” jelasnya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Farmasi Malaysia, Amrahi Buang berkata, penyebaran mesej dan informasi merupakan faktor penting dalam menangani isu ini dan para ahli farmasi boleh membantu dalam penyampaian mesej ini kepada orang awam.

“Sebagai ahli farmasi, kami merupakan sebahagian daripada masyarakat. Ahli-ahli farmasi berjumpa dengan berjuta orang awam di seluruh negara pada setiap hari. Hubungan dengan komuniti ini boleh dijadikan senjata utama kami dalam memerangi AMR,” katanya.

Dalam konteks ini, hanya doktor yang boleh menentukan sama ada anda atau anak anda memerlukan antibiotik atau tidak. Mereka akan memberi preskripsi antibiotik untuk anda atau anak anda. Strategi yang selamat dan berkesan dalam penggunaan antibiotik ialah mempreskrib antibiotik apabila diperlukan sahaja. Antibiotik yang dipilih hendaklah berkesan pada dos yang betul dengan spektrum yang sempit, mempunyai kesan sampingan paling rendah dan kos yang murah.