Persoalannya adalah apa yang menyebabkan situasi tersebut berlaku? Jawapannya ialah daya tahan atau rintangan antimikrob (AMR) berlaku apabila mikroorganisma (bakteria, kulat, virus dan parasit) bertukar selepas pendedahan kepada ubat antimikrob (antibiotik, antikulat, antivirus, antimalaria dan antelmintik).

DR. SASHEELA
DR. SASHEELA 

Akibatnya, rawatan tidak lagi berkesan dan jangkitan berlarutan menyebabkan risiko penyebaran kepada orang lain. Pakar Perunding Penyakit Berjangkit, Prof. Madya Dr. Sasheela a/p Sri La Sri Ponnampalavanar dari Jabatan Kawalan Penyakit, Fakulti Perubatan Universiti Malaya berkata, kesan jangkitan akibat bakteria yang mempunyai daya tahan terhadap pelbagai jenis ubat boleh membawa bencana besar.

Menurutnya, tanpa ubat antimikrob yang berkesan, banyak rawatan perubatan piawaian gagal atau menjadi prosedur berisiko tinggi. Katanya, ia menghalang kemajuan perubatan moden, menjejaskan kejayaan pemindahan organ, kemoterapi kanser dan pembedahan besar.

“Penerbitan The Review on Antimicrobial Resistance menjelaskan jika kita tidak mengambil langkah segera, masa depan kesihatan awam kita akan terancam. Menjelang 2050 dianggarkan kira-kira 10 juta orang akan meninggal dunia akibat AMR. Kadar itu lebih tinggi daripada kadar kematian tergabung semasa bagi penyakit kanser, diabetes dan kemalangan jalan raya. Negara-negara Asia akan menghadapi kesan paling besar dengan 4,730,000 kematian menjelang 2050,” katanya dalam satu kenyataan.

Antibiotik tergolong di bawah kategori ubat antimikrob. Daya tahan atau rintangan dicapai apabila kuman seperti bakteria dan kulat membangunkan keupayaan untuk menentang ubat yang direka untuk membunuhnya.

Kegagalan bertindak balas kepada antibiotik boleh menyebabkan penyakit berpanjangan, kos lebih tinggi dan risiko kematian lebih tinggi. Dr. Sasheela berkata, pihaknya menghadapi cabaran kerana pesakit mempunyai salah tanggapan bahawa antibiotik boleh menangani sebarang bentuk jangkitan.

“Ubat ini hanya bertujuan merawat jangkitan yang disebabkan bakteria seperti jangkitan tekak streptokokus dan batuk kokol. Antibiotik tiada kesan terhadap jangkitan virus seperti influenza, selesema biasa dan demam denggi.

“Ia bukan sahaja tidak berkesan untuk melawan virus tetapi juga boleh menyerang bakteria berguna yang sensitif kepada antibiotik di dalam badan seterusnya menggalakkan pertumbuhan berlebihan bakteria yang berdaya tahan.

“Tambahan lagi bakteria berdaya tahan boleh memindahkan gen berdaya tahannya kepada bakteria sensitif dalam badan kita,” tambahnya.

Menurutnya, cabaran yang timbul daripada daya tahan antibiotik adalah kita kini melihat lebih banyak jangkitan yang tidak bertindak balas terhadap kebanyakan antibiotik dan ada yang langsung tidak terkesan oleh sebarang antibiotik.

Malah, lebih buruk lagi katanya, ketika daya tahan antibiotik global meningkat, pembangunan antibiotik baharu sekarang semakin berkurangan. Terdapat hanya beberapa pilihan untuk merawat patogen yang berdaya tahan dan kadangkala kita tidak mempunyai sebarang pilihan.

“Saya secara peribadi pernah merawat pesakit yang mengalami AMR. Kebanyakan mereka telah terdedah kepada berbilang rawatan antibiotik. Apabila seseorang diberikan antibiotik dan daya tahan terhadapnya terbentuk, maka daya tahan tersebut akan kekal dalam badan untuk jangka masa lama kadang-kala lebih setahun. Pesakit terbabit lebih sukar dirawat. Mereka memerlukan terapi antibiotikintravena berpanjangan dan keputusan umumnya kurang baik.

“Antibiotik juga dikenali sebagai ‘societal drugs’ kerana rintangan antibiotik boleh dipindahkan daripada satu bakteria kepada bakteria lain dan jangkitan bakteria berdaya tahan boleh dipindahkan dari seorang kepada orang lain,” katanya.

Beliau berkata, apabila antibiotik digunakan dalam manusia atau binatang, kira-kira 80 hingga 90 peratus daripada antibiotik yang diambil tidak terurai tetapi menyusuri sistem badan dalam bentuk seadanya sebelum dikumuhkan dan memasuki alam sekitar sebagai sisa buangan.

“Ia mengekalkan keupayaan mempengaruhi bakteria dan menggalakkan rintangan antibiotik walaupun selepas bakteria itu memasuki tanah atau air sebagai produk sisa.

“Justeru penggunaan antibiotik dan daya tahan terhadap antibiotik boleh mempengaruhi seluruh masyarakat,” ujarnya.

MENCEGAH AMR

Jika anda mengalami jangkitan bakteria, anda hendaklah melengkapkan pengambilan antibiotik yang diberikan oleh doktor untuk mencegah kemunculan bakteria berdaya tahan dan rawatan jangkitan.

Penggunaan antibiotik mesti dikawal secara keseluruhan. Pakar perubatan, ahli farmasi dan orang ramai mesti mengelakkan penggunaan cuai ubat berharga ini. Antibiotik mesti diberikan hanya untuk jangkitan bakteria dan dalam dos sewajarnya dan untuk tempoh masa yang betul.

Pesakit sepatutnya kekal dengan satu doktor sehingga masalah jangkitan diselesaikan dan tidak bertukar-tukar doktor. Mereka harus bertanya doktor, apakah preskripsi yang diberikan dan mengapa.

Menurut undang-undang, nama antibiotik (atau sebarang ubat preskripsi) mesti ditulis dengan jelas pada pek preskripsi bersama dos dan tempohnya.

“Apabila menggunakan antibiotik, anda perlu mengambil semua ubat yang diberikan. Jangan simpan antibiotik untuk digunakan pada masa lain. Anda perlu sedar bahawa bukan semua antibiotik adalah sama, setiap satu mempunyai mekanisme tindakan yang berbeza. Hakikatnya doktor perlu mengenal pasti tapak jangkitan dan menentukan jika jangkitan disebabkan oleh

DR. LIM EE TANG
DR. LIM EE TANG 

bakteria sebelum memberikan atau mengesyorkan antibiotik,” katanya.

PERANAN PENGIMUNAN

Pertubuhan Kesihatan Sedunia menegaskan bahawa pemvaksinan adalah satu cara penting untuk mengatasi daya tahan antibiotik.Memandangkan AMR terus berleluasa, kelas antibiotik baharu dalam tempoh 25 tahun lalu sukar ditemukan. Mengandaikan bahawa inisiatif perancangan produk baharu mencapai kejayaan, daya tahan masih boleh berlaku ke atas ubat baharu ini.

Sementara itu Pakar Runding Pediatrik Hospital Tung Shin, Pudu, Dr. Lim Ee Tang berkata, bukan semua bayi dilahirkan sihat terutama bayi pramatang.

Malangnya sesetengah mereka mungkin mengalami jangkitan kongenital yang biasanya disebabkan bakteria yang dinamakan Streptokokus Kumpulan B (GBS).

“Bakteria ini ditemukan dalam salur lahir ibu. Ia boleh dipindahkan kepada bayi baru lahir sebelum atau semasa bersalin dan mungkin menyebabkan kerumitan seperti sepsis (jangkitan darah), pneumonia (jangkitan paru-paru) dan meningitis (jangkitan otak),” katanya.

Pakar pediatrik lazimnya memilih antibiotik untuk merawat GBS kerana ia merupakan jangkitan bakteria dan tanpa ubat ini bayi mungkin mengalami kerumitan tersebut.

Mengulas penggunaan antibiotik yang betul dalam kalangan kanak-kanak katanya, ibu bapa hendaklah memastikan anak mereka menyempurnakan seluruh rawatan antibiotik untuk membunuh semua bakteria.

Jangan simpan antibiotik untuk digunakan apabila anak anda sakit kerana setiap antibiotik adalah unik dan menyasarkan bakteria khusus yang tiada kesan terhadap penyakit lain.

“Tambahan pula, pengambilan ubat yang salah boleh memburukkan lagi keadaan kanak-kanak apabila mereka mengalami kesan sampingan yang tidak diingini seperti sakit perut, cirit-birit dan ruam kulit,”katanya.