Namun, jarang sekali ibu bapa melihat fizikal rendah dari aspek masalah kesihatan, malah sering beranggapan jika ketinggian tidak mencapai paras normal hanya disebabkan faktor keturunan, genetik dan mungkin akan mencapai ketinggian diharapkan apabila dewasa nanti.

Hakikatnya, rendah merupakan satu tanda aras yang penting buat kanak-kanak dalam menilai tahap kesihatan mereka, tambahan pula jika paras ketinggian itu tidak sama dengan kanak-kanak sebaya mereka.

Menurut Pakar Perunding Pediatrik Endokrinologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Muhammad Yazid Jalaludin, tumbesaran adalah penanda aras utama kepada seseorang kanak-kanak daripada segi kesihatan dan kesejahteraan.

Katanya, terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan kanak-kanak menjadi pendek, misalnya genetik, penyakit, ubat-ubatan, pemakanan, hormon serta persekitaran psikososial.

“Tumbesaran perlahan pada kanak-kanak biasanya jelas kelihatan di antara usia dua hingga lima tahun. Cara paling mudah untuk mengesan adalah merekodkan dengan tepat tentang perkembangan ketinggian anak-anak dalam laporan tumbesaran. Ia harus dilakukan dengan teliti untuk memudahkan pengesanan awal masalah tumbesaran.

“Oleh itu, jika selepas berusia lima tahun, kanak-kanak itu membesar kurang daripada lima sentimeter atau kadar tumbesaran menurun sebanyak dua peratus atau lebih dalam carta tumbesaran, ibu bapa perlu mencari bantuan untuk menangani masalah ketinggian yang tidak bertambah,” katanya pada pelancaran kempen kesedaran, Bukan Sekadar Ketinggian Tapi Juga Kesihatan anjuran Novo Nordisk Pharma (M) Sdn. Bhd. di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah Dr. Muhammad Yazid, ibu bapa digalakkan untuk meminta pandangan daripada pakar pediatrik jika mengesyaki paras ketinggian anak-anak berbeza mereka rakan sebaya.

Jelasnya, jika kanak-kanak berkenaan mengalami masalah hormon, maka mereka perlu dirujuk kepada pakar endokrinologi pediatrik untuk mendapatkan rawatan dan pandangan.

“Ujian darah perlu dilakukan untuk menentukan garis dasar. Ujian rangsangan juga boleh dilakukan untuk menilai jika tumbesaran perlahan adalah disebabkan kekurangan hormon tumbesaran.

“Hormon pertumbuhan ialah sejenis protein yang dikeluarkan oleh pituitari (kelenjar kecil yang terletak di bawah otak di tengah kepala dan di belakang hidung), yang merangsang tumbesaran ketinggian kanak-kanak dan remaja. Ia membantu tumbesaran tubuh seperti penjagaan otot dan jisim tulang, penurunan tisu lemak, di samping mempengaruhi tahap lipid darah seperti kolesterol dan trigliserida.

“Kanak-kanak yang gemuk serta mempunyai ketinggian yang rendah antara golongan yang perlu dirujuk kepada pakar kerana jelas mereka mengalami masalah hormon,” katanya.

Selain daripada gangguan hormon tumbesaran (GHD), antara gangguan lain yang boleh menyebabkan kanak-kanak tidak cukup tinggi ialah Sindrom Turner (keadaan kromosom yang mempengaruhi perkembangan wanita, yang mana ciri-ciri ketara ialah ketinggian yang pendek) dan bayi menjadi kecil untuk usia kehamilan (SGA), iaitu bayi lebih kecil atau kurang besar daripada normal berdasarkan jantina bayi dan usia kehamilan.

Sementara itu, Pakar Psikologi Klinikal Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Firdaus Mukhtar berkata, kanak-kanak yang mempunyai masalah ketinggian juga mengalami kualiti kehidupan yang lebih rendah berbanding dengan rakan sebaya mereka.

Katanya, kanak-kanak itu mungkin berdepan dengan tekanan emosi akibat fizikal mereka, selain gangguan dalam pencapaian akademik, kemahiran motor visual, perkembangan psikomotor serta masalah sikap.

“Biasanya, apabila anak-anak mula masuk ke sekolah rendah, ibu bapa baru perasaan anak mereka mempunyai paras ketinggian yang rendah dan di situ bermula cabaran dan rasa bimbang.

“Kanak-kanak yang rendah cenderung menjadi mangsa ejekan dan buli di sekolah, selain kurang keyakinan dan menghadapi lebih cabaran fizikal serta sosial. Lazimnya kanak-kanak yang mempunyai ketinggian yang normal lebih mudah diiktiraf serta mempunyai kemampuan yang lebih baik,” jelasnya.

Dalam usaha membantu kanak-kanak yang berdepan dengan keadaan itu, ibu bapa harus mengambil berat tentang sebarang aduan atau luahan kanak-kanak tentang fizikal mereka agar mereka tidak rasa diabaikan.

Dr. Firdaus berkata, ibu bapa dinasihatkan agar tidak membandingkan kanak-kanak berkenaan dengan rakan-rakan yang lain, usah terlalu menunjukkan rasa risau tentang keadaan anak-anak secara terlampau serta mendapatkan rawatan dengan segera.