Sebaliknya, Rahmat memang akan mendermakan hatinya untuk Auliya dalam satu pembedahan yang akan dijalankan di Shanghai, China pada Februari ini.

Ia berikutan masalah kegagalan hati dihidapi Auliya sejak berumur 16 hari.

Namun, kos pembedahan itu bukanlah kecil. Rahmat dan isteri, Yussilawati Abu Bakar, 40, perlu menyediakan dana sebanyak kira-kira RM160,000 bagi membiayai pembedahan tersebut.

Sehubungan itu, pasangan tersebut sudah buntu memikirkan apakah cara lain untuk mengumpul duit bagi mengubati anaknya itu.

Maka, pasangan suami isteri itu mengambil keputusan membuang perasaan malu dengan memohon ihsan rakyat Malaysia untuk menyumbang sedikit wang bagi merealisasikan impian melihat puteri mereka sembuh kembali.

“Dengan taraf pekerjaan dan gaji bulanan kami, memang tidak mampu sediakan dana sebanyak itu.

“Namun demi Auliya, kami perlu juga berusaha mendapatkannya. Kami sangat berharap orang ramai dapat membantu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Yussilawati bekerja sebagai pembantu tadbir sebuah agensi kerajaan manakala Rahmat sebagai pengawal keselamatan.

Sebelum ini, Nor Auliya pernah menjalani pembedahan ketika berumur 66 hari namun hasilnya kurang memberangsangkan.

Keadaan itu menyebabkan mereka sekeluarga berulang-alik dari rumah di Beseri, Perlis ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah setiap hari selama tiga bulan bagi menjalani pemeriksaan rutin.

“Selepas itu Auliya dirujuk ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan menyarankan kami ke China menjalankan pembedahan pemindahan hati oleh doktor pakar di sana,” katanya.

Mereka yang prihatin dengan nasib anak kecil itu dan ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank milik Yussilawati bernombor 162302515482 atau menghubunginya di talian 017-551 4590. - UTUSAN ONLINE