Pakar Obstetrik dan Ginekologi Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Tan Niap Hong berkata, kehamilan berisiko tinggi adalah kehamilan yang memberi kemudaratan lebih tinggi kepada ibu atau bayi berbanding kehamilan normal.

“Situasi yang membawa kepada kehamilan berisiko tinggi, perkara yang melibatkan kehamilan berisiko tinggi dan rawatan yang diperlukan perlu difahami oleh setiap orang,” katanya dalam satu kenyataan.

Berikut maklumat yang perlu difahami setiap orang mengenai kehamilan berisiko tinggi.

1. Apakah faktor yang mengundang kehamilan berisiko tinggi?

Tiada garis panduan sebenar, cuma risiko yang dihadapi adalah lebih tinggi berbanding biasa. Misalnya, risiko usia tetapi kita tidak dapat menentukan umurnya.

Beberapa tahun lalu, usia 35 tahun adalah umur maksimum bagi wanita yang ingin hamil. Namun, hari ini wanita merancang kehamilan pada usia yang lebih lewat adalah perkara biasa.

2. Adakah punca tertentu yang menyebabkan kehamilan berisiko tinggi?

Kebanyakan kes tidak berpunca daripada satu faktor. Terdapat berbilang faktor iaitu kombinasi kecenderungan genetik, faktor persekitaran dan pemilihan gaya hidup.

Contohnya, individu yang mudah dipengaruhi glukosa sering mengambil gula dalam kadar yang tinggi dan akhirnya mengundang masalah obesiti dan diabetes.

Sementara itu, individu yang kurang dipengaruhi glukosa, mengambil gula dalam kadar yang sama, namun tiada apa-apa yang berlaku kepada mereka. Begitu juga kes di mana tidak semua perokok akan menghidap kanser paru-paru.

3. Apakah keadaan atau kategori lazim bagi kehamilan berisiko tinggi?

Terdapat tiga kumpulan utama iaitu tekanan darah tinggi, diabetes dan kelahiran pramatang. Di pihak wanita hamil, usia serta masalah kesihatan yang sudah wujud seperti masalah buah pinggang, tiroid atau penyakit autoimun boleh menjadi faktor.

Tambahan lagi tabiat gaya hidup seperti pengambilan alkohol atau merokok turut mempengaruhi kehamilan berisiko tinggi.

Di pihak bayi pula, kurang faktor lazim kerana keabnormalan fetus hanya terjadi sebanyak satu hingga dua peratus bagi semua kehamilan. Faktor penyumbang adalah seperti gangguan kromosom, gangguan genetik atau berbilang faktor. Contohnya, sindrom down disebabkan gangguan kromosom, kekerdilan disebabkan gangguan genetik manakala bibir atau lelangit rekah disebabkan berbilang faktor.

4. Apakah nasihat doktor bagi mengurangkan kemungkinan kehamilan berisiko tinggi?

Pilih gaya hidup yang sihat iaitu dengan pengambilan makanan seimbang, mengurangkan kadar pengambilan gula dan melakukan amalan beriadah. BMI anda merupakan penunjuk penting, maka pastikan tahap BMI kekal pada kadar normal kerana BMI yang rendah dan tinggi bermakna risiko komplikasi ketika hamil adalah tinggi.

5. Apakah langkah seterusnya yang perlu diambil selepas diagnosis?

Sejurus selepas seseorang didiagnosis, sama ada risiko tinggi disebabkan ibu atau bayi, rawatan yang boleh dilakukan sentiasa dipertimbangkan terlebih dahulu.

Contohnya, jika ibu menghidap tekanan darah tinggi atau kencing manis, rawatan yang boleh diambil ialah mengawal tekanan darah dan kadar gula dalam darah. Seterusnya lawatan ke klinik perlu lebih kerap dilakukan bagi mengawasi perkembangan kandungan agar sentiasa normal.

Di samping itu, tempat dan masa yang terbaik untuk bersalin perlu dipertimbangkan disebabkan faktor risiko. Jika bayi dikesan mengalami masalah jantung, ibu tidak dibenarkan bersalin di hospital kecil yang kekurangan bantuan kardiologi pediatrik.

Malah, ibu yang mengalami diabetes gestasi dinasihatkan tidak melebihi tempoh kehamilan. Justeru, jika perkembangan bayi dan ibu kelihatan normal pada usia kandungan 38 atau 39 minggu, proses kelahiran secara cetusan atau elektif akan dipertimbangkan.

6. Boleh doktor jelaskan lagi bagaimana faktor gaya hidup seperti merokok dan minum alkohol mempengaruhi kehamilan?

Ibu yang masih mengambil alkohol sejak peringkat awal kehamilan boleh mengundang sindrom bayi alkohol yang mengakibatkan kecacatan pada bayi.

Manakala merokok boleh mengurangkan oksigen dalam darah lalu meningkatkan kebarangkalian bayi pramatang dan membantutkan perkembangan janin. Pasangan yang berusaha untuk hamil dinasihatkan untuk berhenti meminum alkohol dan merokok.

7Boleh doktor jelaskan dengan lebih terperinci tentang kehamilan berisiko tinggi yang berakhir dengan pengguguran?

Biasanya hal ini berlaku jika risiko terlalu tinggi iaitu dengan meneruskan kehamilan boleh mengancam nyawa ibu atau bayi. Contohnya, jika pesakit jantung wanita disahkan hamil, walaupun pernah dinasihati pakar kardiologi agar tidak hamil, pesakit itu boleh terancam nyawanya kerana jantungnya perlu bekerja lebih keras sepanjang kehamilan. Satu lagi kes yang pernah didokumenkan di mana ibu terpaksa menggugurkan kandungan kerana dijangkiti rubela dalam tempoh trimester pertama kehamilan. Dalam kes-kes seperti ini, sebanyak 90 peratus kemungkinan bayi akan abnormal dalam pelbagai cara. Inilah situasi yang sangat jelas di mana pasangan terpaksa mengambil keputusan menggugurkan kandungan. Walau bagaimanapun, kebanyakan kes tidak terlalu jelas. Biasanya doktor akan membenarkan kehamilan diteruskan jika keadaan tidak terlalu berisiko.

8. Bolehkah wanita yang hamil normal tiba-tiba mengalami keadaan yang mengubah kehamilannya kepada berisiko tinggi?

Adalah perkara biasa bagi wanita sihat pada awal kehamilan mendapat tekanan darah tinggi dan kencing manis sepanjang hamil. Tiada punca tunggal bagi kehamilan berisiko tinggi. Semuanya berbilang faktor.

9. Jika kehamilan pertama berisiko tinggi, adakah kehamilan kedua juga berisiko tinggi?

Kemungkinan tinggi bagi hal ini terjadi. Disebabkan kebanyakan kes adalah berbilang faktor, pasangan yang sudah mengubah faktor persekitaran dan tabiat gaya hidup masih memiliki kecenderungan genetik. Sebanyak empat peratus peluang bagi ibu untuk menghidap tekanan darah tinggi semasa hamil kali pertama.

Seterusnya risiko meningkat sebanyak 14 peratus jika hamil kali kedua dan hampir 30 peratus jika hamil anak ketiga. Bagi ibu hamil yang tidak menghidap tekanan darah tinggi akan berisiko sebanyak satu peratus pada kehamilan seterusnya. Ini menunjukkan bahawa faktor genetik adalah sangat penting.

10. Adakah terdapat kaedah bagi mengesan jika kehamilan seseorang wanita itu akan berisiko tinggi?

Ya. Terdapat kes di mana tekanan darah tinggi berpotensi untuk meningkat semasa hamil. Tekanan darah tinggi boleh dikesan sekitar 12 minggu (sebanyak 80 hingga 90 peratus peningkatan) menggunakan kombinasi ujian darah, pengawasan tekanan darah, rekod sejarah dan pengukur saluran darah janin. Jika dikesan berisiko tinggi menghidap praeklampsia (keadaan di mana tekanan darah terlalu tinggi ketika hamil), terdapat rawatan pencegahan yang mudah dan berkesan. Jika pesakit mula mengambil aspirin dalam dos yang rendah sebelum mencapai usia kandungan 16 minggu, peluang pencegahan adalah sebanyak 75 peratus. Walau bagaimanapun, rawatan ini jarang digunakan di Malaysia dan perlu dilakukan seawal usia kandungan 11 hingga 13 minggu.

Bagi kelahiran pramatang, penyaringan boleh dilakukan pada 20 hingga 24 minggu ketika imbasan ultrabunyi dilakukan. Alat ultrabunyi akan dimasukkan melalui faraj untuk mengukur kepanjangan serviks. Pemantauan perlu dilakukan kerana serviks yang semakin pendek mungkin bermaksud kelahiran pramatang.

11. Tadi doktor ada menyebut tentang aspirin dos rendah akan diberikan bagi kes tekanan darah tinggi. Adakah ini bermakna aspirin dengan dos normal (digunakan untuk sakit kepala) boleh memberi kesan kepada kandungan?

Jika seseorang mengambil aspirin dengan dos tinggi yang biasa digunakan untuk sakit kepala, saluran jantung bayi boleh terjejas. Jadi, aspirin yang digunakan untuk mencegah praeklampsia datang dalam bentuk tablet dengan dos rendah yang perlu diambil setiap hari. Kajian juga mendapati bahawa ia tidak memberi kesan kepada kesihatan bayi dalam pelbagai bentuk.