Namun kerana minat dan keseronokan serta kepuasan tersendiri, itulah yang menjadi pilihan mereka meskipun banyak pihak yang menganggapnya sebagai kerja sia-sia dan hanya membuang masa

Begitupun, kelab ini tidak pernah lupa tanggungjawab dan keprihatinan mereka kepada masyarakat kurang bernasib baik apatah lagi ketika umat Islam menjalani ibadat puasa dan seterusnya menyambut Aidilfitri.

Semalam, kira-kira 70 ahli kelab itu menjengah 14 keluarga miskin di lima kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) menyertai Program Amal Ziarah Ramadan untuk menyampaikan bantuan berupa wang tunai dan barangan makanan keperluan harian.

Pengerusi Biro Kebajikan kelab itu, Saiful Bahri Muhammad berkata, progam tahunan itu mendapat perhatian ahli dan orang ramai yang menyumbang wang tunai dan makanan keperluan harian untuk diagihkan kepada golongan miskin.

Katanya, untuk program itu, pihaknya berjaya mengumpulkan derma ahli dan orang ramai berjumlah melebihi RM8,000 yang kemudian diagihkan kepada keluarga miskin dalam bentuk wang tunai dan makanan keperluan harian.

Menurutnya, setiap keluarga menerima makanan keperluan harian bernilai RM100 dan wang tunai RM400 bagi menampung perbelanjaan harian dan persiapan menyambut Aidilfitri nanti.

Sumbangan disampaikan oleh penaung kelab itu, Datuk Muhammad Pehimi Yusof yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh yang mahu bersama-sama melihat dari dekat kehidupan penerima.

Saiful berkata, dari sudut ahli kelab yang kini berjumlah hampir 200 orang termasuk dari kaum Cina dan Siam, tidak sedikitpun merasa kekok untuk bersama-sama menjengah keluarga yang disenaraikan itu.

Malah tambahnya, mereka juga tidak keberatan untuk menghulurkan sumbangan bagi membantu meringankan kehidupan keluarga berkenaan yang kesemuanya terdiri daripada keturunan dan agama yang berbeza daripada mereka. - UTUSAN ONLINE