Malah, ekspedisi yang akan dilakukan kali ini lebih mencabar kerana beliau akan berbasikal di zon maut iaitu atas permukaan ais sejauh 200 kilometer dengan suhu ekstrem mencecah -35 darjah Celsius.

Ekspedisi yang diberi nama KAAR Expedition: Road to Minus 35 Degree itu akan dilakukan di Chadar Trek iaitu trek ais di Sungai Zanskar, Ladakh, Utara India yang membeku.

Menurut Khairil Aslan, kebiasaannya pengembara hanya melakukan ekspedisi di Chadar Trek dengan berjalan kaki (hiking), namun beliau mahu melakukan kelainan iaitu dengan berbasikal di trek tersebut.

Sekiranya ekspedisi itu berjaya, beliau akan menjadi orang pertama di dunia yang melakukan ekspedisi berbasikal di Chadar Trek.

Kata bapa kepada empat anak itu, selain suhu ekstrem antara -35 dan -40 darjah Celsius, beliau juga bakal berdepan cabaran kandungan oksigen yang nipis iaitu sekitar 45 hingga 55 peratus.

“Setakat ini tiada lagi rekod ekspedisi berbasikal di Chadar Trek. Jadi, apabila saya orang pertama yang hendak melakukannya, pasti akan ada lebih banyak cabaran menanti.

“Cabaran itu hanya akan diketahui apabila saya memulakan ekspedisi nanti. Sebagai contoh, bagaimana nak menyesuaikan tekanan tayar supaya mendapat lebih cengkaman ketika berkayuh atas ais.

“Selain itu, permukaan Chadar Trek juga tidak sama, ada bahagian rata dan ada bahagian bergelombang. Ia terhasil daripada gelombang sungai yang membeku,” katanya yang akan menggunakan basikal jenis fatbike dalam ekspedisi itu.

Khairil Aslan yang juga aktif mendaki gunung di dalam dan luar negara, memiliki pengalaman luas dalam kembara berbasikal.

Pada 2016, beliau berkayuh mengelilingi Semenanjung serta tiga pulau iaitu Pulau Pangkor, Pulau Pinang dan Pulau Langkawi dengan jarak keseluruhan 2,700 kilometer selama 30 hari.

Pada pertengahan Mei lalu, beliau menamatkan ekspedisi berbasikal merentas Borneo meliputi Sarawak, Brunei dan Sabah selepas berkayuh sejauh 3,200 kilometer selama sebulan.

Menurut Khairil Aslan, beliau memulakan latihan intensif sejak Oktober lalu sekembalinya dari India selepas menamatkan ekspedisi mendaki tiga puncak di Himalaya iaitu Gunung Stok Kangri, Gunung Chandra Bhaga (CB) 13 dan Gunung CB 14.

Setiap hari, beliau berkayuh sejauh antara 70 sehingga 100 kilometer sama ada dari Bangi ke Hulu Langat atau Bangi ke Bagan Lalang.

Menggunakan basikal jenis fatbike yang sememangnya berat kerana tayarnya besar dan lebar, beliau biasanya akan menambah lagi bebanan pada jentera dua roda itu dalam sesi latihan.

Ini kerana dalam ekspedisi sebenar, Khairil Aslan perlu membawa kesemua kelengkapan termasuk khemah dan makanan sepanjang perjalanan yang dianggar memakan masa hampir 20 hari.

“Ekspedisi ini mendapat sokongan daripada kerajaan India kerana dilihat dapat membantu mempromosikan kawasan-kawasan pelancongan di bahagian Utara India khususnya Sungai Zanskar atau Chadar Trek ini.

“Ekspedisi ini saya lakukan untuk memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia. Dalam masa sama membuka mata dunia bahawa kita juga mampu melakukan ekspedisi-ekspedisi ekstrem yang jarang atau tidak pernah dilakukan orang lain,” katanya.

Dalam pada itu, Khairil Aslan berkata, beliau kini masih memerlukan dana kira-kira RM12,000 bagi urusan logistik sepanjang ekspedisi tersebut.

Sehubungan itu, beliau amat berharap agar ada pihak yang sudi memberi sumbangan bagi membolehkan ekspedisi itu berjalan lancar.

“Ekspedisi ini telah dirancang sejak tiga tahun lalu. Sehingga kini, saya sudah ada sedikit dana yang disumbangkan oleh pihak-pihak seperti HHH My Bike Trading, United Fitness and Leisure Sdn. Bhd. (UFL) serta teman-teman rapat.

“Saya masih memerlukan kira-kira RM12,000 untuk urusan logistik di sana. Saya akan terus mencari dana walaupun hanya tinggal kira-kira dua minggu sebelum berlepas,” katanya yang dijadualkan berlepas ke India pada 4 Januari depan.